?

Log in

No account? Create an account

Previous Entry | Next Entry

Penolong guru atau pembantu guru?

Artikel ini di siarkan pada Sinar Harian Pendapat 03 Januari 2015.

Penulis: Azizi Ahmad
Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Antarabangsa Lembah Pantai

INISIATIF penempatan pembantu guru yang dilaksanakan di bawah Program Rintis Pemantapan Profesion Guru (PPG) yang juga antara usaha dilaksanakan Kementerian Pendidikan dalam menangani beban tugas guru secara komprehensif, kini melalui projek perintis di Melaka dan Kedah.

Di bawah inisiatif itu, pembantu guru yang terdiri daripada Pembantu Tadbir (Pentadbiran/Operasi) Gred N17 (PT N17) dan Juruteknik Komputer Gred FT17 (JK FT17) telah ditempatkan di sekolah untuk mengurangkan beban tugas operasi dan pentadbiran serta teknikal ICT Guru Tugas Khas iaitu Guru Data (GD), Guru Perpustakaan dan Media (GPM) serta Guru Penyelaras Bestari (GPB).

Gambar hiasan. Sumber internet.

Jawatan ini disandang oleh lepasan pemegang SPM dan memerlukan penjawat menjalankan tugas pentadbiran dan operasi. Membandingkan tugas dan kelayakan dari negara-negara maju, seseorang itu memerlukan kelayakan pra-profesional atau kelayakan yang diiktiraf dan disahkan oleh badan yang diberi kuasa.

Penolong guru dan pembantu guru adalah pembantu di sekolah-sekolah dan dianggap sebagai separa-profesional.

Kamus mentakrifkan separa-profesional sebagai “seseorang yang memiliki suatu aspek tertentu terhadap sesuatu tugas profesional tetapi tidak mempunyai lesen untuk menjalankan amalan sebagai seorang yang memenuhi syarat profesional.”

Di bawah pengawasan seorang guru, kedua-dua penjawat bekerja untuk mengukuhkan arahan yang diberikan oleh guru di prasekolah, sekolah rendah, sekolah menengah dan sekolah tinggi.

Berdasarkan sumber-sumber yang sedia ada, terdapat perbezaan pendapat tentang jawatan penolong guru dan pembantu guru. Bagi agensi Biro Buruh Statistik Amerika Syarikat (The U.S. Bureau of Labor Statistics), mereka menganggap kedua-dua kerjaya sebagai sama.

Menurut agensi itu, penolong guru dan pembantu guru melaksanakan kerja-kerja yang melibatkan perhatian tambahan dan arahan kepada pelajar di bawah jagaan mereka.

Sebagai contoh, mereka turut menyemak pelajaran murid-murid, membantu guru dalam aktiviti pembentangan dan persembahan kumpulan-kumpulan kecil atau dengan setiap individu. Mereka juga menyemak kehadiran dan membantu guru-guru mengira gred.

Mereka juga mendapatkan bahan-bahan dan persediaan peralatan mengajar untuk guru. Selain itu, penolong guru dan pembantu guru juga membantu memastikan peraturan sekolah dan bilik darjah dipatuhi. Mereka juga membantu guru-guru di luar bilik darjah, seperti menyelia waktu rehat atau mengiringi murid dalam lawatan dan gerak-kerja luar.

Jabatan Pelajaran Negeri New York (New York State Education Department - NYSED), bagaimanapun, membezakan antara seorang penolong guru dan pembantu guru. Ia mentakrifkan pembantu guru sebagai orang yang “menyediakan perkhidmatan pengajaran kepada pelajar-pelajar di bawah penyeliaan am seorang guru berlesen atau yang berkelayakan.”

Sementara penolong guru pula ditakrifkan sebagai, “melaksanakan tugas bukan pengajaran di bawah pengawasan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan mengikut Undang-undang Perkhidmatan Awam New York".

Tambahan pula, NYSED memerlukan pembantu guru untuk mendapatkan pensijilan Tahap I, Tahap II, Tingkat III, pensijilan  Pra-Profesional Sementara atau Sijil Pengajaran Berterusan Penolong Guru. Walau bagaimanapun, pensijilan tidak diperlukan untuk penolong guru mengikut Undang-undang Perkhidmatan Awam di New York.

NYSED turut menggariskan tugas penolong guru dan pembantu guru. Pembantu guru boleh bekerja dengan pelajar-pelajar individu atau kumpulan atau “projek pengajaran khas” jabatan.

Mereka juga membantu dan menyediakan guru-guru dengan maklumat dan butiran mengenai pelajar-pelajar, sesuai dengan perkembangan umur, tingkah laku,  aktiviti dan gaya pembelajaran pelajar. Selain itu, pembantu mengajar juga membantu pelajar menggunakan sumber-sumber pengajaran yang disediakan dengan betul. Mereka juga boleh membantu dalam membangunkan bahan-bahan pengajaran.

Penolong  guru pula, terlibat dengan tugas-tugas bukan pengajaran.

Sebagai contoh, mereka boleh membantu dengan penjagaan fizikal dan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan kesihatan dan juga membantu guru-guru dengan keperluan tingkah laku atau pengurusan pelajar.

Mereka juga membantu guru di dalam makmal dengan mendapatkan peralatan makmal dan bahan-bahan persediaan serta membantu pelajar melaksanakan eksperimen.

Mereka juga membantu dalam ujian dan peperiksaan, membantu menyemak kertas ujian, merekod gred dan mentadbir fail pelajar.

Tidak kira apa tugas kerja yang khusus, penolong guru mahupun pembantu guru, kedua-duanya memerlukan kesabaran. Namun sifat yang paling penting adalah penolong guru mahupun pembantu guru perlu mempunyai sifat ikhlas dan tulen untuk kebajikan pelajar di bawah jagaan mereka.

* Azizi Ahmad, Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Antarabangsa Lembah Pantai

* Ini adalah pendapat peribadi penulis sendiri dan tidak semestinya mewakili pandangan Sinar Harian Online.

Posts from This Journal by “guru” Tag

Latest Month

November 2017
S M T W T F S
   1234
567891011
12131415161718
19202122232425
2627282930  

Tags

Powered by LiveJournal.com
Designed by Tiffany Chow