?

Log in

Previous Entry | Next Entry

Artikel ini disiarkan di The Malaysian Insider Rencana 7 February 2016 12:29 AM. Oleh Azizi Ahmad.

Transformasi pendidikan negara seperti yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 kini berada dalam Gelombang 3.

Program  Transformasi Pendidikan Gelombang 3 (2012-2025) memfokus kepada anjakan ke arah kecemerlangan dengan peningkatan keluwesan operasi, di mana pada permulaan gelombang ini, semua sekolah, guru dan pengetua/guru besar perlu menunjukkan prestasi melebihi standard minimum.

Dan dengan itu  pertambahan tugas bagi golongan pendidik semakin bertambah.

Dalam  Instrumen Penilaian Kompetensi Kumpulan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) (Guru Akademik) Bilangan  E3 ; Potensi A3.3 keinginan menimba pengetahuan turut dinyatakan deskripsi : menilai Keupayaan guru untuk : mempelajari perkara baharu, mendapat maklumat,  memperolehi pengetahuan untuk menyelesaikan sesuatu tugasan atau masalah, memperoleh pengetahuan untuk mewujudkan persekitaran pembelajaran dan menghasil Kertas kerja termasuklah menghadiri  Latihan dan Penulisan ilmiah / kreatif / non kreatif.

Walaupun kewajarannya hanyalah sekitar 5% -10% namun gesaan kepada kumpulan pendidik menjadi satu kemestian dan pendidik digalakkan untuk menghasilkan satu kajian tindakan dan satu penulisan bagi setiap tahun penilaian.
Kemestian yang dimaksudkan merupakan salah satu kriteria untuk memudahkan proses kenaikan pangkat.

Dengan bilangan melebihi 400,00 orang kumpulan pendidik di Malaysia, tentunya penghasilan penulisan bahan ilmiah, kajian dan penyelidikan merupakan sesuatu hasrat yang bersifat global.

Dari sudut realiti, dasar yang cuba dibawa ini seolah-olah sukar dipenuhi namun terpaksa “ditelan dan diterima” kumpulan pendidik.

Namun pendidik Malaysia harus menerima kenyataan pahit menghadapi 2 pilihan, menulis atau tidak akan dinaikkan  pangkat yang berpandukan kepada sebahagian keperluan menulis.

Dari satu sudut, kewarasan dasar ini tentu membebankan , namun dari sudut positif tentu ada manafaat dan pertimbangan matang yang melatarinya.

Kompetensi dan kebolehan menjadi kata kunci untuk pendidik harus mula membiasakan diri untuk menulis.

Seseorang pendidik harus mengorbankan 30% dari masa pengajaran dan pembelajaran untuk membaca, mengajar dan mengasah pemikiran  dan menterjemahkannya dalam bentuk penulisan.

Ramai yang tentunya tidak setuju dengan instrumen penilaian yang dikemukakan, mana lagi dengan bebanan tugas mengajar yang  padat, melaksanakan tugasan mengawal disiplin dan kokurikulum dan tugas selepas sekolah, mengapa harus ditambah beban mereka.

Namun, demi masa depan bangsa, agama dan negara seharusnya pendidik hendaklah melihat jauh ke depan.

Jika pendidik memiliki kemampuan menulis yang baik, kemudian menularkan kepada anak didik mereka, tentu akan lahir generasi berbakat yang di tangan mereka yang menentukan nasib bangsa yang juga akan mempengaruhi kehidupan pendidik kelak.

Dengan melatih diri untuk membiasakan pendidik menulis,  ia adalah merupakan satu pelaburan yang bijak .

Kelebihan dan kebaikan pendidik untuk menulis

Mendorong pendidik untuk banyak membaca
Seseorang yang banyak membaca tentunya memperolehi ilmu dan pengetahuan yang tinggi.
Seseorang yang kurang membaca tentunya tidak akan menjadi seorang penulis yang baik mahupun hebat.
Tahap pengetahuan, kandungan ilmu  dan kefahaman  seseorang ditentukan oleh apa yang dibacanya.
Otak kita adalah umpama sebuah gudang, dengan membaca keupayaan memasuk dan menyimpan bahan ilmu pengetahuan akan tersimpan ke dalam gudang yang dimaksudkan.
Bahan yang disimpan kemudiannya harus di keluarkan dalam bentuk penulisan jika kita tidak mahu ianya terperap atau melebihi had simpanan atau bahan menjadi berkarat atau rosak.
Jika diterjemahkan dalam bentuk penulisan biasanya ia berupaya menyegarkan semula ingatan.
Biasanya semakin banyak seseorang itu membaca akan semakin banyaklah pemilikan bahan  untuk ditulis

Berwawasan
Kebiasaannya membaca dan menulis adalah berhubungkait.
Seseorang yang gemar menulis biasanya adalah orang yang suka membaca.
Seseorang yang gemar membaca tentunya memiliki pengetahuan dan adalah seorang yang berwawasan.

Mampu menghasilkan bahan dan panduan pengajaran
Pendidik yang berkemahiran menulis akan dapat menghasilkan bahan dan panduan pengajaran tersendiri.
Bagi yang menghasilkan penulisan  tersendiri tentunya beliau faham fakta penting tentang pelajaran yang akan disampaikan kepada pelajarnya.
Beliau tentunya mempunyai rangka kerja dan struktur pengajaran yang jelas terhadap bahan dan panduan yang dihasilkan.

Menghayati ilmu dan pengetahuan
Hayatilah ilmu dengan menulis merupakan satu ungkapan tersendiri.
Dengan dokumentasi melalui penulisan, kita tentunya dapat mengetahui kejadian di masa lampau.
Sebagai contoh, melalui matapelajaran sejarah yang ditulis, fakta rangkaian dan peristiwa yang dihayati yang dicatat dan direkodkan kini menjadi bahan mata pelajaran.

Melatih kemampuan berbahasa
Seorang pendidik dikehendaki menguasai bahasa pertuturan dan penulisan yang baik dan betul kerana bahasa adalah jiwa bangsa.
Kemampuan dan kebolehan berbahasa dengan baik dan betul boleh dijanakan melalui menulis kerana setiap perkataan yang dicatatkan dihasilkan dari pemilihan pemikiran minda otak.

Melambatkan daya lupa
Berdasarkan kajian, salah satu faktor yang menyebabkan seseorang cepat “lupa” adalah kurang memaksimakan penggunaan dan pemikiran otak.
Membaca dan menulis merupakan salah satu cara memanafaatkan penggunaan otak agar sentiasa aktif.
Walaupun seseorang pendidik sudah bersara dari perkhidmatan tetapi jika beliau tetap rajin membaca dan menulis tentunya pemikiran dan mindanya tetap tajam.

Memotivasi pelajar
Jika seseorang pendidik itu merupakan seorang penulis, sedikit sebanyak ia akan dapat mengajak atau menarik minat pelajarnya untuk turut menulis. Pelajar yang mendapat bimbingan dari seorang pendidik yang juga seorang penulis tentunya terdorong untuk menulis kerana kelebihan dan manfaat menulis.
Tentunya jika bakat pelajar itu terserlah dalam bidang penulisan maka akan lahirlah generasi yang mampu melahirkan karya yang hebat.

Memperolehi pendapatan tambahan
Bagi sesetengah orang, mereka memilih menjadi penulis sebagai “profesion” atau pekerjaan.
Nama-nama seperti  JK Rowling dan Stephen King menjadikan “menulis” untuk meraih kejayaan dan kekayaan.
Kebiasaanya imbuhan berbentuk “honorarium” akan diberikan ke atas sesuatu penulisan yang diterbitkan atau disiarkan, dan jika seseorang itu serius dengan kerjaya penulisan yang diusahakan tentunya beliau akan memperolehi pendapatan tambahan.

Keperluan dan syarat kenaikan pangkat
Seperti yang dimaklumkan sebelum ini, penghasilan kertas kerja, menulis artikel dan jurnal , menjalankan kajian dan penyelidikan merupakan salah satu deskripsi tambahan keperluan dan syarat kenaikan pangkat.
Kelebihan calon yang berupaya menghasilkan penulisan merupakan satu sumbangan bagi peningkatan keberhasilan.
Rasmi alam, siapa yang berusaha lebih tentunya akan mendapat ganjaran yang lebih.

Meningkatkan martabat bangsa
Setidak-tidaknya dari jumlah lebih daripada  400,000 orang pendidik yang sedang berkhidmat dan jika 10 % daripada jumlah tersebut menjadikan penulisan sebagai sesuatu yang positif , maka  40,000 hasil penulisan akan dapat dihasilkan setahun.
Jika dalam setahun, penulis pendidik menghasilkan 2 penulisan seorang tentunya 80,000 hasil penulisan dapat dijanakan.
Tentunya martabat bangsa dapat ditingkatkan dengan golongan pendidik berlumba menghasilkan karya masing-masing melalui penulisan.

Yang Amat Berhormat, Timbalan Perdana Menteri  Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mencabar rakyat Malaysia terutama para sarjana, ahli akademik dan karyawan supaya menghasilkan karya bermutu tinggi yang mampu menjadi “siulan” masyarakat antarabangsa malah mampu memenangi hadiah Nobel.

Cabaran ini dilaungkan beliau pada majlis Apresiasi Tokoh Sarjana: Penerima Anugerah Buku Negara 2015.

Dengan kemampuan sedia ada dan usaha Majlis Buku Kebangsaan Malaysia mempelopori usaha membantu golongan penerbit menghasilkan karya penulisan menerusi “Program Pembangunan Pengkarya Guru Malaysia”, setidak-tidaknya  kesempatan usaha untuk melatih para pendidik menjadi penulis yang berketerampilan adalah satu langkah yang progresif.

Program latihan penulisan ini mampu memberi peluang kepada pengkarya pendidik untuk menghasikan karya yang dihasratkan.

Adalah menjadi satu harapan agar usaha ini dapat direalisasikan dan menjadi insiprasi bagi menjadikan generasi berilmu lagi kreatif.  – 7 Februari, 2016.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
See more at: http://www.themalaysianinsider.com/rencana/article/mengapa-pendidik-perlu-menulis-azizi-ahmad#sthash.cpgt803Q.dpuf

Posts from This Journal by “writing” Tag

Latest Month

July 2017
S M T W T F S
      1
2345678
9101112131415
16171819202122
23242526272829
3031     

Tags

Powered by LiveJournal.com
Designed by Tiffany Chow