?

Log in

No account? Create an account

Previous Entry | Next Entry

Kredibiliti menekankan komitmen kepada kebenaran, keadilan dan objektiviti.

KOMEN

Apabila berbincang mengenai kredibiliti, kita mungkin akan berkata “saya tahu apabila saya melihatnya” seperti mana kita menterjemahkan perkataan mesra atau menyukai.

KredibilitiOleh Azizi Ahmad

Jangan tertipu dengan berfikir dan mengatakan ini adalah satu persoalan akademik atau tidak penting. Kredibiliti berhubung rapat dengan kebolehpercayaan positif kepada kejayaan dalam setiap aspek kehidupan.

Jika anda tidak boleh mendefinisikan kredibiliti atau mengenal pasti unsur-unsurnya, anda tidak boleh mengambil kesempatan daripada peluang-peluang untuk meningkatkan kredibiliti anda dan kejayaan anda.

Mengenal pasti unsur-unsur yang membentuk kredibiliti adalah penting kerana skor tinggi pada satu atau dua elemen tidak menjamin kedudukan kredibiliti yang tinggi. Ia adalah perkaitan di antara unsur-unsur penting.

Sebaik sahaja anda tahu unsur-unsurnya dan melihat kekuatan dan kelemahan anda, anda boleh mengambil langkah-langkah positif untuk meningkatkan kredibiliti anda daripada pandangan orang lain.

Elemen penting kredibiliti melibatkan ketelusan, amanah dan kebolehramalan moral. Frasa “apa yang anda lihat adalah apa yang anda dapat” merupakan satu frasa baik mengenai kredibiliti.

Dari perspektif Kamus Webster, integriti merupakan elemen penting. Definisi kamus Webster menyatakan kredibiliti adalah ‘kuasa yang menginspirasikan kepercayaan”. Kredibiliti menekankan komitmen kepada kebenaran, keadilan dan objektiviti.

Kita tidak boleh memandang rendah kepentingan kejujuran dan integriti di tempat kerja. Mereka yang mempunyai rekod prestasi objektif dan benar dilihat sebagai lebih boleh dipercayai berbanding mereka yang tidak.

Organisasi yang bersikap terbuka dengan kakitangan mereka lebih boleh dipercayai daripada mereka yang tidak. Sesuatu keputusan yang didasarkan daripada siasatan saintifik atau sistematik adalah kesimpulan yang boleh dipercayai.

Bagi meningkatkan tahap kredibiliti di tempat kerja anda, elemen-elemen seperti meluangkan masa untuk mengenal pasti nilai-nilai dan memperbetulkan sikap yang perlu diperbaiki, membina reputasi baik terhadap kejujuran dan etika adalah digalakkan. Jika anda melakukan kesilapan, berlaku jujurlah terhadapnya daripada menyembunyikannya atau “menyapunya di bawah tikar”.

Mereka yang dikategorikan sebagai ‘ahli pakar’ menikmati tahap kredibiliti lebih tinggi daripada mereka yang tidak mempunyai kepakaran. Kita akan lebih mempercayai pandangan dan pendapat ‘ahli pakar’ untuk memahami skop sesuatu isu atau projek, tahu soalan betul untuk ditanya dan mengetahui bagaimana untuk mencari jawapan kepada persoalan dikemukakan.

Kepakaran terhasil daripada gabungan pendidikan dan pengalaman seseorang. Orang yang mempunyai ijazah kedoktoran dalam bidang spesifik pastinya diakui mempunyai kredibiliti lebih daripada mereka yang mempunyai kelayakan lebih rendah. Benarkah ini?

Pada masa sama, orang-orang yang mempunyai pengalaman atau “yang dinaikkan pangkat berdasarkan tahun dan pengalaman bekerja” atau telah bekerja dalam pelbagai pekerjaan dalam industri juga boleh dianggap sebagai pakar. Mereka ini pastinya dan biasanya lebih pakar berbanding mereka yang baru sahaja tamat pengajian dari kolej atau universiti.

Kepakaran bertukar menjadi kecekapan apabila ia diuji. Seseorang yang berjaya dalam melaksanakan tugasan dan projek dari masa ke masa turut dikatakan mempunyai kredibiliti. Rekod kejayaan seseorang dalam menggunakan pengetahuan dan kesediaan untuk terus meningkatkan tahap pembelajaran akan meningkatkan kredibiliti.

Anda mungkin diperlukan untuk mendapatkan kelayakan dan pengiktirafan tambahan seperti mendapatkan lesen atau sijil amalan profesional yang bersesuaian dengan bidang anda ceburi, memohon untuk mendapatkan projek atau tugasan bertaraf tinggi untuk mewujudkan rekod kerja atau memohon untuk dilibatkan dalam tugasan kerja berprofil tinggi dalam organisasi anda agar mereka boleh mengiktiraf kompetensi atau kecekapan anda.

Sebagaimana seseorang kawan atau rakan boleh diharap untuk mendengar dan menyokong anda membuat keputusan yang bijak, seseorang yang berkredibiliti boleh diharapkan untuk membantu dalam membuat penganalisaan situasi kompleks, mengutarakan soalan berbentuk intelek dan membuat keputusan bermakna.

Seseorang yang mampu membuat pertimbangan wajar biasanya dianugerahkan kebolehan kognitif dan intuitif yang tinggi. Orang seperti ini akan berupaya melihat gambaran lebih luas, besar dan mampu membuat jangkaan jangka panjang dan bukannya perspektif jangka pendek.

Seseorang ketua eksekutif yang hebat mungkin mempunyai bukti rekod keupayaan dalam mendapat dan melaksanakan tugasan seperti diharapkan. Orang seperti ini mempunyai rekod kejayaan membuat trend ramalan dan persediaan menghadapi cabaran masa depan.

Bagi meningkatkan elemen kredibiliti kecekapan membuat keputusan tepat, anda mungkin boleh mendapatkan maklum balas daripada rakan sekerja mengenai keputusan yang telah anda buat terutama mengenai impak atau kesan terhadap apa yang berlaku, mengelak daripada membuat keputusan terlalu cepat, memastikan anda mengikuti perkembangan mengenai industri dan tempat kerja anda.

Orang yang mempunyai kredibiliti tinggi tahu bagaimana untuk bertanya soalan tentang nilai dan kepentingan, mendengar dengan penuh minat dan empati dan untuk menarik serta membawa orang bersamanya. Mereka adalah manusia yang mempunyai dan memahami emosi tinggi untuk mengimbangi keangkuhan yang kadang-kadang datang dengan kepakaran.

Memetik petikan Jay Conger, seorang pakar dalam bidang ‘memujuk’, beliau berkata “dari sudut perhubungan antara manusia, mereka yang berkredibiliti tinggi biasanya akan menunjukkan mereka boleh dipercayai dan bekerjasama demi kepentingan orang lain. Mereka juga secara konsisten mempunyai kekuatan mengawal emosi dan berintegriti tinggi; dengan maksud, mereka bukanlah orang yang mudah dipengaruhi ‘mood’ keterlaluan atau prestasi tidak konsisten.”

Beliau akan membangunkan rekod perhubungan baik dengan cara sama beliau mengembangkan rekod prestasi untuk dirinya. Jika beliau dikenali melalui komitmen dan hubungan kerjasama yang membina, kerana beliau waras dan adil, semua orang tentu akan mahukan beliau dalam pasukan mereka.

Untuk meningkatkan elemen kredibiliti dalam perhubungan sensitif ini, tindakan seperti menunjukkan kesediaan dan sudi belajar daripada orang lain dan belajar daripada kesilapan sendiri menunjukkan keperihatinan terhadap nilai, matlamat dan objektif, mengambil masa untuk memahami pendapat dan pandangan orang lain dan seterusnya membuat keputusan menolak atau menerimanya.

Kajian penyelidikan secara konsisten yang dijalankan menunjukkan orang akan memberi tindak balas secara positif kepada orang lain yang mereka suka. Jika mereka mempercayai seseorang, mereka akan memberikan kerjasama kepada orang tersebut, mereka akan menyokong cadangan dikemukakan dan mereka akan bersetuju dengan pandangan dan pendapat dihasilkan.

Mitch Anthony, pengarang Selling with Emotional Intelligence secara ringkas menyatakan, “menyukai dan disenangi adalah sama pentingnya dengan kemampuan.”

Daniel Goleman serta pengarang bersama Boyatzis dan McKee yang mengingatkan kita betapa pentingnya perspektif keyakinan dan kemesraan di tempat kerja, menegaskan mereka yang mempunyai keupayaan untuk melahirkan minat dan emosi kegembiraan akan dapat menarik perhatian dan kerjasama orang lain.

Di samping itu, mereka juga mengingatkan kita yang senyuman (menunjukkan keramahan) adalah sesuatu yang baik, yang akan membuat orang lain untuk turut tersenyum sebagai tindak balas. Senyuman bagaimanapun boleh dipalsukan. Ketawa adalah terlalu kompleks untuk dikatakan sebagai berpura-pura dan pada satu tahap orang akan tahu ia bukanlah benar. Oleh itu, kita tentu akan lebih percaya (bagi menetapkan kredibiliti) dengan orang-orang yang ketawa bersama kita.

Bagi meningkatkan elemen kredibiliti agar ‘disenangi’, tindakan berikut boleh diambil seperti berkomunikasi dengan optimistik dengan menerangkan cabaran dan bukan masalah, cubalah untuk bermesra walaupun anda bukan seorang ‘ekstrovert’, cubalah berjenaka dan bertenang terutamanya dalam keadaan tertekan, tunjukkan kesyukuran dan penghargaan secara peribadi, terbuka dan bertulis.

Tiada elemen tertentu yang dapat menerang dan menjamin sesuatu itu merupakan ‘kredibiliti’. Lagipun, seorang pakar tanpa integriti mungkin boleh dilabelkan diktator. Seseorang yang disenangi tetapi tidak mampu membuat penghakiman atau keputusan bijak akan membuat keputusan bodoh.

Anda akan dianggap mempunyai tahap kredibiliti tinggi berdasarkan bagaimana orang lain menilai anda melalui unsur-unsur kredibiliti: integriti, kepakaran, pertimbangan wajar, kepekaan hubungan dan disenangi. Kredibiliti dilihat sebagai satu pakej.

Memahami unsur-unsur kredibiliti menyediakan anda dengan peluang-peluang untuk meningkatkan kredibiliti dan kejayaan anda. Anda mungkin boleh mengkaji unsur-unsur dan langkah-langkah tindakan yang dikemukakan dan memilih salah satu tindakan untuk digunakan dalam tugasan anda pada bila-bila.

Beri dan luangkan jangka masa dan lakukannya secara konsisten, anda boleh meningkatkan kredibiliti anda di tempat kerja dan dalam komuniti anda. Anda perlu tahu makna kredibiliti dan anda perlu prihatin terhadapnya.

fmt-logo-xparent-100.jpgAzizi Ahmad adalah seorang pendidik. Free Malaysia Today Opinion Bahasa July 1, 2016

Posts from This Journal by “credibility” Tag

Latest Month

December 2017
S M T W T F S
     12
3456789
10111213141516
17181920212223
24252627282930
31      

Tags

Powered by LiveJournal.com
Designed by Tiffany Chow