?

Log in

No account? Create an account

Previous Entry | Next Entry

Kenali makhluk ‘virus’ di tempat kerja

17 OGOS — Dalam alam pekerjaan pastinya akan ada seorang (dua atau lebih) yang bersifat ‘virus’ atau ‘toksik’.

Orang jenis ini akan sentiasa menghimpit atau merapatkan diri dengan ‘orang nombor 1’ tidak kiralah dengan cara apa sekali pun tanpa mempedulikan rakan sekerja atau organisasi mana yang membayar gaji mereka.

Orang jenis ini pastinya tidak akan teragak untuk memperagakan kehebatan mereka dengan ‘berlakon baik’ dan ‘hebat’ dalam memastikan jawatan dan kenaikan pangkat adalah milik mereka.

Dalam bahasa mudah, mereka akan ‘memijak’ dan memastikan anda mahupun rakan sekerja lain tidak akan mendapat peluang atau hak diberikan kenaikan pangkat (dengan tidak perlu membuktikan kebolehan sebenar mereka).

Adakah anda membiarkan mereka yang tidak cekap dan amanah ini menjatuhkan reputasi anda? Namun anda perlu mengenal pasti rakan bersifat negatif sebelum ianya menjadi lebih parah.

Walaupun mungkin hanya seorang saja ‘virus’ yang bersikap buruk di tempat kerja anda, ianya boleh menjatuhkan moral organisasi secara keseluruhan.

Hakikatnya, pasti akan terdapat lebih dari seorang ‘virus’ yang akan cuba dan gemar menjatuhkan orang lain.

Bersikap tamak, pemalas, mementingkan diri sendiri dan menikam belakang adalah seperti lumrah dan budaya di mana sahaja.

Biasanya, mereka yang mempamerkan sikap yang dinyatakan tadi akan ‘menghancurkan’ keharmonian mereka yang cuba mencari sesuap nasi dengan jujurnya agar mereka dapat meneruskan niat dan hasrat buruk mereka.

Bagi virus yang bergelar ‘ahli politik’ mereka tidak akan menghargai ‘kenaikan pangkat berdasarkan merit atau usaha’.

Mereka lebih gemar melibatkan diri dalam politik pejabat; menampakkan dan menonjolkan diri mereka di pejabat atau bilik ‘ketua’ dengan kerapnya dan mencanangkan kehebatan diri.

‘Ahli politik’ mungkin sudah sebati dengan politik tempat kerja, dunia pekerjaan beliau umpama permainan untuk ‘memenangi’ tugasan, kenaikan atau projek, walaupun pada hakikatnya beliau hanya memberi sedikit atau tidak langsung memenuhi tanggungjawab sebenar yang ditetapkan.

Jika anda berhasrat untuk memperolehi kenaikan pangkat yang sepatutnya menjadi hak anda tanpa melibatkan politik pejabat, anda harus melihat dan menilai siapa ‘ketua’ anda dahulu.

Jika ‘ketua’ anda mempunyai ego yang tinggi (lebih kurang dengan sikap ‘ahli politik’) maka adalah sukar untuk mengalahkan ‘ahli politik’ kerana mereka lebih cekap dan mahir memainkan ego dan ‘menjilat’.

Sebaik sahaja anda tahu akan faktor motivasi ‘ketua’ anda barulah anda boleh menyaingi ‘ahli politik’ tanpa anda hilang tumpuan terhadap kerja anda.

Cara terbaik adalah dengan menyediakan fakta bertulis. Dokumentasi dan akauntabiliti adalah kelemahan bagi ‘ahli politik’.

Dengan memiliki dokumentasi yang betul, ‘ahli politik’ tidak akan mampu menyebarkan pembohongan kerana terdapat bukti yang menunjukkan siapa sebenarnya yang membuat kerja.

Simpan semua rekod e-mel dan ‘voicemail’ jika perlu, kerana anda akan memerlukannya.

Dalam memperkatakan mengenai dokumentasi, perlu diingat ‘ahli politik’ akan meminta anda agar salinan turut diberikan kepada mereka untuk ulasan, tetapi, mereka akan menghantarnya kepada ‘ketua’ anda dan mengaku bahawa e-mel tersebut adalah daripada mereka.

Maka, adalah lebih baik anda terus menghantar e-mel kerja anda terus kepada ‘ketua’ anda.

Tidak salah mengangkat diri sendiri, tonjolkan diri anda, angkatlah nilai diri anda kerana politik sihat mungkin membantu anda.

Karaktr menarik berikutnya, saya namakan sebagai ‘ayam kokok’. Mereka ini akan ‘berkokok’ mengenai kehebatan diri mereka dan mereka juga akan ‘bersikap diatas pagar’ apabila diminta membantu dalam membuat keputusan.

Si ‘ayam kokok’ biasanya bersikap ‘ego’ dan menjejaskan kebolehan beliau membuat keputusan.

Beliau pastinya risau jika egonya tercalar dan keputusan yang diambilnya tidak baik.

Beliau mungkin juga akan mengaku kekurangan pada diri beliau dan ini menyebabkan beliau lebih suka bersikap di atas pagar.

Jarang sekali beliau akan membantu dalam menyokong keputusan kerana bagi beliau lambat laun keputusan akan dinyatakan.

Pendekatan pasif ini membolehkan beliau mengekalkan tahap penafian.

Si ‘ayam kokok’ akan cepat menunding jari kepada orang lain. Beliau lebih  cenderung dan gemar mencari dan menyalahkan orang yang bertanggungjawab terhadap masalah daripada membantu menyelesaikan masalah.

Beliau lebih suka menghindari masalah dan berharap semua masalah akan selesai begitu sahaja.

Jika anda terpaksa bekerja dengan beliau, paksa beliau untuk membuat keputusan atau robohkan pagar dan biarkan beliau berlari tanpa arah. Anda perlu kesabaran yang tinggi apabila bekerja dengannya.

‘Pengarah pengebumian’ merupakan kelompok yang hidup dengan tenaga negatif dan bermotivasi dengan krisis. Mereka merupakan ‘pelakon drama’ yang hebat.

Walaupun mereka mempunyai masa yang mencukupi untuk menyelesaikan tugasan, namun, mereka akan tetap melengahkan atau melambatkan urusan kerja sehingga akan berlaku ‘krisis’ sehingga ‘sesuatu perlu dilakukan’.

Apa saja tugasan yang diberikan kepada mereka terpaksalah anda ‘menunggu hingga ke hujung dunia’ sebelum ia selesai.

Apabila bekerja dengan ‘pengarah pengebumian’, anda perlulah merubah penjadualan dengan memastikan tarikh akhir penghantaran dipercepatkan dari tarikh yang diperlukan bagi mengelak krisis ini bukan milik anda.

Pernahkah anda terfikir siapakah yang sering menyebar khabar angin berterusan? Atau bagaimana ‘ketua’ anda tahu mengenai kesilapan kecil anda dan rakan anda sebaik sahaja sesuatu perkara berlaku?

Tentunya tiada orang lain kecuali ‘si penglipur dongeng’. Sesetengah orang lebih suka menyampaikan berita yang baik tetapi bukan ‘si penglipur dongeng’.

Mereka akan ‘menglipurkan’ perkhabaran negatif, gosip, atau apa saja maklumat yang mereka fikirkan boleh membantu dan gunakan untuk memburukkan keadaan.

Mereka gemar berkongsi berita tidak baik, asalkan berita buruk itu mengenai orang lain dan bukan mereka.

Dengan mereka ini, adalah lebih baik mendiamkan diri dan jangan menceritakan apa yang anda tidak mahu orang lain tahu.

Apa yang anda boleh percaya tentang mereka adalah mereka akan mula ‘menglibur’ apa saja yang anda ceritakan kepada mereka jika perbuatan tersebut akan menaikkan mereka di mata pihak pengurusan. Beringatlah, apa sahaja yang anda ceritakan kepada mereka, boleh dan akan digunakan terhadap anda!

Namun, penglipur mempunyai nilai diri tersendiri. Jika anda ingin menyampaikan maklumat, maklumkan kepada beliau dan ingatkan beliau bahawa maklumat tersebut adalah sulit.

Pastinya beliau tidak akan dapat menahan desakan, dan mesej yang anda berikan akan diketahui oleh seluruh warga organisasi anda.

Turut merisaukan mana-mana organisasi adalah dengan adanya mereka yang asyik risau tentang apa yang orang lain sedang lakukan, sementelah mereka akan asyik merungut bahawa tiada siapa pun di tempat kerja yang bekerja dengan baik dan mereka pula dibebankan dengan tugasan yang diberikan. Golongan ini boleh digelar sebagai ‘pelaksana’.

Golongan ‘pelaksana’ akan cepat mengalihkan atau menyerahkan tugasan yang diberikan kepada orang lain untuk mengelak dari dipertanggungjawabkan, tetapi apabila selesai tugasan dilaksanakan, entah bagaimana ‘si pelaksana’ akan muncul untuk mengambil kredit terhadap tugasan yang diselesaikan.

Si pelaksana akan cuba menunjukkan bahawa beliau sahaja yang terbeban dengan sibukan.

Namun, yang sebenarnya beliau merupakan ‘aktor/aktres’ yang penuh dengan kepura-puraan, dan biasanya akan mengelak dari tugas hakiki.

Awas terhadap golongan ini, jarakkan diri dari beliau atau anda akan menanggung kerja beliau.

Si ‘mulut manis’ pula bersikap hampir sama dengan si pelaksana iaitu gemar meminta rakan sekerja membuat kerja untuk mereka.

Berselindung disebalik wajah yang kononnya baik (berpura-pura baik dan bagus), mereka lebih banyak bersosial untuk mencari mangsa untuk menyiapkan kerja mereka.

Molek jika menjauhi si mulut manis walaupun mereka ini rakan sekerja yang baik namun mereka akan meletakkan beban di atas bahu anda.

Bayangkan jika mereka dan golongan yang sejenis dengannya menguasai tempat kerja, tentunya produktiviti dan moral keseluruhan akan terjejas.

Yang penting, kita tidak dibelenggu dengan kehadiran mereka.

Carilah kaedah untuk melindungi anda dari mereka supaya anda memperolehi kredit yang anda patut perolehi dan tidak perlu anda memanjangkan waktu kerja anda untuk membantu mereka menyiapkan kerja mereka.

Bekerjalah dengan bijak dan anda pasti akan mendahului dalam semua bidang.


Azizi Ahmad Malay Mail Projek MMO Pendapat Ogos 17, 2017

Tags:

Latest Month

December 2017
S M T W T F S
     12
3456789
10111213141516
17181920212223
24252627282930
31      

Tags

Powered by LiveJournal.com
Designed by Tiffany Chow