You are viewing kheru2006

Previous Entry | Next Entry


PELBAGAI isu berkaitan profesion perguruan mula menarik perhatian khalayak dengan ramai pihak cuba mengutarakan idea juga pandangan untuk penambahbaikan profesion perguruan di negara kita.

Profesion ini dilihat sebagai antara satu kerjaya cukup penting dalam mengembleng aspirasi pembangunan negara kerana guru bertanggungjawab membentuk, mendidik dan melahirkan modal insan keperluan negara. Dengan kata lain, guru komponen utama dalam sistem pendidikan negara yang meliputi komponen lain seperti Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), sekolah, pelajar dan ibu bapa. 

Hakikatnya, jika komponen guru ini gagal berfungsi dengan baik, keseluruhan sistem pendidikan kita tidak dapat bergerak untuk mencapai matlamat ditetapkan. 

Untuk mengelakkan masalah itu, segala usaha dilakukan kerajaan secara berterusan demi menambah baik kerjaya mulia ini, antaranya mengumumkan peluang kenaikan pangkat serta gaji yang lebih menarik.

Sebelum ini, kerajaan cuba mewujudkan sistem kerja sembilan jam selepas melaksanakan kaji selidik di 19 buah sekolah di Melaka Tengah. Kajian ini dilaksanakan melalui jawatankuasa dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), serta wakil Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) sebagai usaha memantapkan perkhidmatan perguruan di negara kita. Hasil daripada kajian itu kerajaan bersetuju untuk melaksanakan projek perintis bekerja sembilan jam di empat buah negeri iaitu Pahang, Melaka, Johor dan Sarawak.


Lantaran cadangan ini, pelbagai pihak meliputi individu guru serta kesatuan perguruan dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) bukan saja dari empat buah negeri terbabit tapi dari seluruh negara melontarkan rasa tidak puas hati serta keberatan untuk bersetuju dengan pelbagai alasan dan justifikasi logik dan wajar. 

Dan akhirnya polemik projek perintis yang mewajibkan guru bekerja sembilan jam di empat buah negeri menemui titik noktah apabila Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran mengumumkan projek berkenaan tidak akan diteruskan. 

Pengumuman itu sekali gus dilihat cukup melegakan golongan ini di seluruh negara biarpun projek perintis ini dikatakan bertujuan memantapkan lagi perkhidmatan perguruan. 

Keputusan ini juga membuktikan betapa kerajaan prihatin dan bersedia untuk mendengar denyut nadi pelbagai lapisan rakyat walaupun sesuatu keputusan itu sudah dibuat dan hanya menunggu masa untuk dilaksanakan. 

Ternyata kerajaan sekali lagi bijak menangani isu berkepentingan awam dengan berhemah dengan melihat profesion perguruan ada keistimewaannya tersendiri. Ia berbeza dengan perkhidmatan awam lain justeru guru tidak boleh dibebankan lagi dengan perkara lain. 

Walaupun ramai yang masih bertanggapan bahawa kerja guru mudah, boleh balik awal, kerja separuh hari dan mempunyai cuti yang panjang namun tidak ramai sedar, tahu dan menyelami hakikat sebenar tugas seorang pendidik. 

Tidak ramai sedar guru perlu bekerja hingga lewat petang walaupun mengajar sesi pagi, terpaksa bekerja di hujung minggu serta melayan pelbagai kerenah pelajar dan ibu bapa sepanjang masa. 

Itu belum lagi soal tugas perkeranian yang semakin bertambah dan hakikatnya waktu kerja guru bukanlah mengikut jadual kerja seperti penjawat awam tapi berterusan 24 jam sehari. 

Kita juga seharusnya mengalu-alukan usaha KPM yang begitu berusaha keras untuk melaksanakan pelbagai perubahan demi memantap dan memartabatkan profesion perguruan di negara kita. Untuk menjayakannya, diharap KPM akan dan sentiasa tampil dengan satu pelan transformasi profesion perguruan lebih komprehensif, menyeluruh dan berpandangan jauh. 

Pelan ini penting agar kita dapat terus memantau dan menambahbaik kerjaya guru dari semasa ke semasa mengikut peredaran zaman dan keperluan hakiki. Sewajarnya elemen seperti kelayakan asas u, perjalanan kerjaya perguruan merangkumi sistem pembelajaran sepanjang hayat dan kenaikan pangkat serta kaedah pengajaran dan jadual waktu kerja dijadikan komponen utama dalam pelan transformasi terbabit. 

Dan bagi menjayakannya pihak kesatuan perguruan, NGO dan guru wajar dibabitkan bersama selain diharap akan menyokong segala cadangan dan usaha pembaharuan ingin dilaksanakan sekali gus memantapkan lagi profesion perguruan dan sistem pendidikan negara. 



Noor Mohamad Shakil Hameed.  Ketua Bahagian Perancangan Korporat, Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor. Warga kampus yang mempunyai pandangan mengenai pelbagai isu semasa boleh menghantarnya ke ruangan ini dan e-mel kepada ruhaizarusmin@hmetro.com.my



Noor Mohamad Shakil Hameed rencana@hmetro.com.my myMetro Variasi Bestari Ahad, 23 Disember 2012

Tags:

Profile

kheru2006
kheru2006

Latest Month

Tags

Powered by LiveJournal.com
Designed by Tiffany Chow