?

Log in

Previous Entry | Next Entry

Inflasi penggredan menjadi isu panas sejak kebelakangan ini dan menjadi lebih signifikan apabila banyak keputusan peperiksaan di institusi pengajian tinggi di negara kita dipertikaikan terutamanya apabila graduan didapati mempunyai kelulusan tinggi, namun tidak mampu untuk menterjemahkan kemampuan itu.

Tahap inflasi penggredan terutama di kolej dan universiti memang mengejutkan. Namun tidaklah menjadi kejutan jika Universiti Harvard (1992) menunjukkan 91 peratus daripada lulusan sarjana muda memperoleh B- atau gred lebih tinggi. Pada 1993, hampir 86.3 peratus lulusan Harvard memperoleh gred kepujian. Di Stanford didapati hanya enam peratus saja daripada lulusan mereka mendapat gred C dan Stanford juga tidak membenarkan atau mengadakan gred F (bagi lulusannya).

Di Malaysia tidak kurang hebatnya bahkan pernah kedengaran jika mahukan jaminan A, hanya perlu mendapatkan tempat pengajian di institusi tertentu.

Inflasi penggredan ialah corak gred yang berubah agar majoriti besar pelajar institusi pengajian rendah atau tinggi akan menerima atau memperoleh gred lebih tinggi bagi kuantiti dan kualiti yang sama atas kerja dijalankan pelajar sebelumnya. Versi yang lebih kurang persamaannya ialah ‘deflasi atau kecutan kandungan’ di mana calon pelajar memperoleh gred yang sama seperti pelajar sebelumnya tanpa berusaha dengan lebih dan tanpa perlu belajar dengan baik.


Sebenarnya inflasi penggredan bukanlah sesuatu yang norma dalam pendidikan tinggi. Menurut rekod, dari 1955 hingga 1965, dikatakan era ‘deflasi kandungan’. Purata gred kekal statik walaupun keputusan peperiksaan menunjukkan skoran bagi calon pelajar adalah tinggi. Ketika tempoh ini, penggredan tidak memberi kelebihan kepada calon pelajar yang mempunyai keputusan lebih baik.


Antara sebabnya ialah tekanan dari pihak institusi untuk mengekal bilangan pelajar. Jemaah pengajar, jabatan, kolej dan bahkan mana-mana institusi pengajian secara tersirat percaya dengan memberi pelajar markah yang tinggi akan meningkatkan status pengekalan dan memberi tarikan terhadap kuliah dan program kursus.

Selain itu, untuk meningkatkan perhatian dan kepekaan terhadap situasi krisis personal pelajar. Contoh paling ketara adalah ketika zaman perang . Bagi pelajar yang memperoleh gred rendah, kebanyakannya akan beralih kepada bidang ketenteraan. Kebanyakan pengajar dan institusi akan memberi atau mengguna pakai polisi penggredan yang liberal bagi meminimakan kemungkinan gred yang rendah.

Turut dijadikan faktor ialah peningkatan penggunaan motivasi dan subjektif dalam penggredan. Faktor-faktor seperti usaha pelajar, kegigihan dan kehadiran pelajar ke kuliah biasanya memihak kepada yang memenuhi ciri-ciri diingini. Ini akan menyebabkan corak penggredan melencong ke atas.

Turut menyumbang ialah sikap pusat pengajian dan tenaga pengajar yang percaya bahawa dengan memberi gred yang baik dan tinggi kepada calon adalah salah satu usaha untuk dikatakan ‘tenaga pengajar yang baik’. Terdapat juga di mana tekanan diletakkan ke atas pihak pentadbir ujian yang dikatakan sebagai gagal melaksanakan tanggungjawab sebagai tempat pengajian. Implikasinya adalah lebih mudah dan senang atau beri saja ‘gred yang baik’ daripada ‘menyusahkan keadaan’.

Kegigihan pusat dan institusi pengajian terhadap inflasi penggredan sejak kebelakangan ini menghasilkan beberapa implikasi penting antaranya nilai menurun dan kepentingannya terhadap kelulusan akademik kolej dan pusat pengajian, maklumat tidak konsisten dan tepat kepada bakal majikan mengenai kemahiran lulusan pusat pengajian, pelajar tidak dimaklumkan tindak balas sebenar terhadap kekuatan dan kelemahan akademik mereka dan kelemahan berterusan terhadap kualiti dan mutu pembelajaran kerana tenaga pengajar tidak mempunyai kekuatan untuk mengatasi atau melawan keadaan semasa.

Tentu sekali penyelesaian yang jelas untuk perdebatan ini adalah institusi haruslah berbincang secara serius mengenai gred dan penggredan. Beberapa perbincangan mengenai jangkaan gred bagi pelajar akan membantu pusat pengajian menentukan polisi penggredan. Namun ada juga beberapa institusi yang cuba membuat pemindaan terhadap bentuk menggred dengan harapan dapat menyampaikan dengan jelas pencapaian pelajar sebenar.

Beberapa perubahan yang berkemungkinan termasuklah penggunaan skala gred yang lebih mantap. Penggunaan lima jenis kategori gred (A-F) sedikit sebanyak menyumbang kepada inflasi penggredan. Pihak pentadbir ujian tentunya dan pastinya akan mengubah markah dan gred pelajar ‘atas-pagar’ kepada gred yang lebih tinggi. Penggunaan sistem penggredan ‘campur-tolak’ boleh membantu menyegarkan kecenderungan inflasi ini dan turut dijangka akan memberi pengukuran yang lebih tepat relatif kepada pencapaian pelajar.

Penggunaan gred kelas keseluruhan dengan beberapa pusat pengajian mengambil usaha menganotasikan transkrip dengan menambahkan beberapa perspektif gred. Salah satu variasi adalah mencatatkan gred individu dengan tambahan makluman ‘min dan median kelas serta bilangan di dalam kelas’. Salah satu variasi lagi adalah menggunakan sistem gred di mana gred kelas dibahagikan kepada dua. Nombor pertama adalah gred pelajar dan nombor kedua adalah gred keseluruhan kelas. Oleh itu gred dan transkrip akan kelihatan seperti 3.0/2.7. Ini bermaksud, pelajar mendapat gred B dalam kelas di mana keseluruhan gred kelas adalah 2.7.

Harian Metro Bestari Pena Kampus V5 Isnin 28 Oktober 2013
Klik Gambar Untuk Pembesaran atau Klik Link di Harian Metro Bestari 28/10/2013

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Keputusantinggitetapigagalterjemahkemampuan/Article/index_html

Azizi Ahmad pensyarah di Institut Pendidikan Guru Malaysia, Kuala Lumpur. Warga kampus yang ingin berkongsi penulisan mengenai isu semasa boleh menghantarnya ke ruhaizarusmin@hmetro.com.my atau rencana@hmetro.com.my Harian Metro Bestari 28/10/2013

Latest Month

July 2017
S M T W T F S
      1
2345678
9101112131415
16171819202122
23242526272829
3031     

Tags

Powered by LiveJournal.com
Designed by Tiffany Chow