kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Benarkah SJKC yang 'baharu' diwujudkan mampu gugat perpaduan?

MEMANG ketika ini semakin bercambah kewujudan pelbagai sekolah vernakular, dan perkembangannya semakin menggusarkan dalam 10 tahun kebelakangan ini.

Ia tumbuh dengan kurikulum, falsafah negara dan pedagogi, sistem, struktur organisasi dan kewangan diberi status urus tadbir sendiri.

Tetapi malangnya, desakan sama rata dari aspek sistem persekolahan, bahasa pengantar, sukatan pelajaran, kokurikulum, kemudahan prasarana, tenaga pengajar dan jenis sekolah menjadi hakikat melebarkan jurang perpaduan.

Lebih dibimbangi lagi, dijadikan alat pula untuk mendesak pemerintah. Ini selagi setiap dalam tempoh lima tahun belum diumum pembubaran Parlimen, selagi itulah bermacam-macam tuntutan termasuk tidak munasabah dan terdesak akan berlingkar. Ini terutama dalam tempoh beberapa bulan kritikal menjelang mandat kerajaan berakhir.

Kerana itu penulis cukup faham mengapa Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim membangkitkan isu sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) yang baharu.

Beliau telah nampak impak tidak sihat pembinaan SJKC yang baharu kerana kewujudannya memang tidak akan menyumbang apa-apa kepada perpaduan nasional, bahkan mampu meretakkan hubungan antara kaum. Razali dalam usia matang 40-an ini sudah mencium kesan tidak baik kepada negara dalam 10 tahun mendatang, justeru berpendapat sudah tiba masanya perkara itu dipertimbangkan memandangkan keharmonian antara kaum ketika ini semakin renggang dengan pelbagai isu.

Bukan kerana mahu popular memandangkan penulis yakin kerana Pilihan Raya Umum Ke-14 pun tarikhnya masih jauh tiga tahun lagi. Tetapi sebaliknya anak kelahiran Johor ini percaya selagi permohonan menambah SJKC ditunaikan, maka semakin retak hubungan kaum dan akhirnya akan menggagalkan usaha memupuk perpaduan nasional.

Katanya, pembentukan perpaduan antara kaum perlu dilakukan di peringkat sekolah rendah. Dan ini perlu dilakukan di Sekolah Wawasan iaitu sekolah rendah berkonsepkan belajar bersama-sama dalam satu kawasan yang sama tanpa mengira kaum atau agama.

Ironisnya, hanya Malaysia satu-satunya di dunia yang ada sekolah vernakular. Di negara lain tidak ada. Di Singapura tidak ada sekolah Cina pun. Kerajaan yang ada di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya yang juga Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin cukup adil - tidak pernah menganaktirikan SJKC dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT). Setiap tahun kerajaan memperuntukkan RM1.8 bilion untuk SJKC dan RM600 juta bagi SJKT untuk membiayai gaji guru-guru sekolah terbabit di seluruh negara.

Dalam konteks ini, bahasa Cina sebenarnya pun bukanlah bahasa kebangsaan. Tindakan pertubuhan cauvinis Cina, Dong Zong yang obses memperjuangkan kecinaan dalam pendidikan termasuk 'isu-isu remeh' di SJKC hanya akan menggugat perlahan-lahan keharmonian masyarakat majmuk.

Apa yang Razali bangkitkan mengenai kesan buruk kewujudan 'SJKC yang baharu', boleh diterimapakai hujahnya. Sama ada mahu diakui atau tidak, masih ramai dalam kalangan masyarakat Cina tidak mahir bertutur dan tidak menggunakan bahasa kebangsaan dalam majlis bersifat formal. Apalagi dalam program anjuran pihak swasta dan perniagaan.

Benar! kaum-kaum lain juga ada hak membela kepentingan dan kebajikan masing-masing, meskipun masyarakat Melayu dilihat mengalah dengan nilai tolak ansur dan kekitaan cukup tinggi.

Apa yang dibimbangi Razali adalah kemungkinan tiap-tiap kaum akhirnya akan duduk berasingan dan hanya bercampur-gaul sesama sendiri. Hal ini ini memang ketara sekarang, cuma khuatir memburuk dalam sedekad ini.

Realitinya di China sendiri tidak akan ada tuntutan-tuntutan yang dilakukan oleh Dong Zong. Cuba buktikan secara fakta. Apa yang ditetapkan oleh kerajaannya, itulah juga dasar kebangsaan yang mesti dipatuhi. Singapura pun begitu juga. Tetapi di sini, Malaysia, lain.

Ketika ini, terdapat kira-kira 1,300 buah SJKC di seluruh negara termasuklah sekolah SJKC baharu dibina di Puchong, Serdang, Kuala Lumpur dan Johor. Daripada jumlah 1,300 sekolah ini, sebanyak 455 adalah sekolah kurang murid (kurang 150 murid).

Renung-renungkanlah. Zulkifli Jalil Utusan/Rencana/20140808

Tags: sekolah, sjkc
Subscribe

  • Menteri

    Peranan menteri pendidikan dan kesihatan sangat penting untuk mengembangkan modal insan yang penting untuk pembangunan ekonomi yang mampan.…

  • Adakah inflasi gred baik atau buruk

    Anda tentunya mahu memperoleh gred yang baik di sekolah, kolej atau universiti. Dengan keputusan peperiksaan yang baik atau cemerlang pastinya…

  • SPM 2020: 3 persoalan kejayaan sistem pendidikan negara

    TAHNIAH diucapkan kepada 401,105 murid-murid yang telah mendapat keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mereka hari ini untuk tahun…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments