kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Sukan kita terus kelas tiga

Malaysia boleh, tapi tak mahu. Akibatnya makin hari cogan kata itu makin tak bermakna, makin kosong. Dalam bahasa semasa, dah jadi klise. Maaf cakap kalau Kunta Kinte kata, itulah yang dah jadi dengan sukan negara kita. Makin hari makin ke belakang.

Contoh terbaharu Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland yang baru tamat. Pencapaian kontinjen Malaysia kali ini adalah antara yang paling teruk sejak kita jadi tuan rumah sukan itu pada tahun 1998. Harapan kita tak tinggi mana pun. Tujuh pingat emas saja. Tu pun tak tercapai. Boleh jadi juga sebab cita-cita kita rendah maka pencapaian kita lagi rendah.


Suka tak suka, Kunta Kinte kena setuju dengan rintihan bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Mazlan Ahmad, yang surat khabar kita siarkan pada 5 Ogos lalu. Dia sifatkan enam pingat emas yang pasukan kita dapat di Glasgow sebagai penanda aras yang mendukacitakan.

Kunta Kinte kata, lebih daripada mendukacitakan. Ia memalukan. Apatah bila Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin ada bersama untuk suntik semangat.

Kalau Kunta Kinte ambil prestasi kita itu sebagai penanda aras, maaf cakaplah Kunta Kinte kena kata, pencapaian Khairy sebagai Menteri Belia dan Sukan belum cukup standard. Apatah lagilah cemerlang. Minta maaf saja belum cukup. Kena perbaiki pencapaian.

Pencapaian kelas tiga

Tapi macam biasa, pemimpin dan pegawai sukan kita tidaklah kurang alasan untuk pertahankan pencapaian kelas tiga kita itu. Faham sajalah. Pasal cari alasan, kita di Malaysia kelas dunia. Jadi Kunta Kinte minta izin nak bantu mereka bagi lebih banyak sebab dan alasan kepada pencapaian kelas tiga itu.

Pertama, mereka boleh kata, pencapaian kita bukanlah teruk sangat. Daripada 21 negara dan wilayah yang dapat pingat dalam sukan itu, kita jatuh nombor 12. Ok la tu. Kita dapat 19 pingat – enam emas, tujuh perak dan enam gangsa. Ok la tu.

Tak apalah England dapat nombor satu dengan 174 pingat – 58 emas, 59 perak dan 57 gangsa – sebab penduduknya lebih ramai daripada kita dan ia jauh lebih maju. Macam itu jugalah dengan Australia, Kanada, Scotland dan New Zealand. Mereka negara dan negeri maju juga.

Kalah kepada Afrika Selatan, Nigeria dan Kenya pun tak apa sebab mereka lebih besar walaupun lebih mundur daripada kita dari segi ekonomi. Tapi kalah kepada Jamaica dan Singapura malu sikit la kot. Jamaica kecil dan miskin. Penduduk hanya 2.7 juta dan duduk nombor 103 dari segi pendapatan perkapita ikut Bank Dunia. Kita nombor 54.

Singapura ada 5.31 juta orang penduduk dan kaya. Tapi kita tak anggap Singapura negara sukan. Malah kita anggap rakyat Singapura lembik dan manja. Itu pun kita kalah juga.

Sindrom Nicol David

Satu lagi penyakit kita ialah kita suka cari jalan mudah dan popular. Jadi johan saja dapat duit, dapat tanah, dapat rumah dan dapat gelaran Datuk. Yang dapat lompat seronok, yang tak dapat moyok, hilang semangat dan merajuk.

Kalau seseorang ahli sukan berjaya, segala harapan diletakkan ke atas bahu dia seolah-olah dia akan jadi juara sampai kiamat. Yang ini Kunta Kinte panggil sindrom Nicol David. Sebab dia hebat dalam sukan skuasy, kita pun bergantung pada dia dan rasa tak berapa penting nak cari pewaris.

Akibatnya kita tengok sajalah apa yang jadi dengan bola, badminton, hoki dan banyak lagi sukan. Yang jelas kita hantar terkuat dalam Sukan Komanwel macam badminton dan hoki pun hancur. Kita patutnya monopoli badminton tapi dapat tiga pingat emas saja daripada beregu lelaki, wanita dan campuran.

Pasal cakap kita memang pandai. Kita dengar ada orang kata dalam hal bola sepak kita kena ikut Jerman, juara Piala Dunia baru-baru ini. Mereka kata cara Jerman hebat.

Tapi adakah kita buat atau akan buat macam Jerman buat? Jerman sanggup gugurkan pemain lama yang dah berusia dan letih. Mereka ambil risiko tubuh pasukan baharu yang muda dan bersemangat. Akhirnya mereka menang jadi juara. Adakah kita latih Harimau Muda kita macam Jerman?

Kurang perancangan strategik

Kita banyak cakap, banyak main politik dan banyak songel tapi kurang perancangan strategik. Tengok sajalah pemimpin sukan kita. Kalau boleh nak tongkat langit. Mereka lebih rela singsing lengan berebut jawatan daripada turun padang majukan sukan. Cakap tak serupa bikin. Dalam politik pun lebih kurang sama.

Minta maaf banyak-banyaklah kalau Kunta Kinte kata, orang politik, orang istana dan orang korporat lebih cantik jadi penaung, penderma dan mentor sukan daripada berebut jawatan.

Kalau inilah cara kita pimpin dan memajukan sukan, tunggu sajalah Sukan Komanwel akan datang. Kalau boleh pertahan kedudukan kita macam di Glasgow pun dah boleh kira baik. Berita Harian Kolumnis 2014/08/09 - 02:33:15 AM Kunta Kinte
Tags: politik, sukan
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments