kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Bertemu, berkahwin setelah berpisah 20 tahun

TIDAK semua kisah cinta berakhir dengan kegembiraan dan tidak semua cinta akan menyatukan pasangan yang berkasih kerana jodoh, pertemuan dan maut ditentukan oleh Allah.

Ada cinta yang bertahan dan mampu ke jenjang pelamin dan ada yang patah di tengah jalan kerana masing-masing bertemu jodoh dengan orang lain.

Namun jika ditakdirkan jodoh itu sangat kuat dan ada keserasian, sampai masa akan bertaut kembali.

Begitu kisah cinta unik Amira (bukan nama sebenar) bersama pasangannya, Amirul (bukan nama sebenar).

Pasangan ini mula bercinta semasa di sekolah menengah membawa sehingga ke menara gading. Namun jodoh mereka tidak ada ketika itu, Amira bernikah dengan orang lain setelah Amirul melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Hampir 20 tahun mereka tidak berjumpa. Takdir Allah menentukan pertemuan semula mereka dalam keadaan masing-masing berstatus bapa dan ibu tunggal.

Ingin tahu kisah selanjutnya, kita ikuti kisah cinta ini yang diceritakan oleh Amira kepada saya.

Begini kisahnya.

"Saya berusia awal 40-an, seorang ibu tunggal yang mempunyai sepasang anak berusia 15 dan 18 tahun. Suami telah meninggal dunia tiga tahun lalu.

"Saya seorang penjawat awam dan masih bekerja. Anak-anak masih belajar dan saya tidak menghadapi masalah membesarkan mereka kerana masih bekerja dan arwah suami meninggalkan wang dan harta yang cukup untuk kami tiga beranak meneruskan hidup.

"Keinginan untuk berumah tangga tidak ada setelah kematian suami kerana saya amat sayangkan dia. Seorang suami yang baik, penyayang dan menjaga saya dan anak-anak dengan sempurna.

"Namun kita hanya merancang, Allah juga yang jadi penentu. Awal tahun 2012, saya berjumpa semula dengan bekas kekasih, Amirul yang telah meninggalkan saya kira-kira 20 tahun lalu.

"Kami berpisah kerana Amirul melanjutkan pelajaran di luar negara. Saya tidak mahu menunggu kerana Amirul tidak dapat memberi jaminan tentang jodoh kami. Walaupun sedih dengan perpisahan itu, saya terima dengan hati terbuka.

"Alhamdulillah saya bertemu jodoh dengan orang lain selepas tamat pengajian. Amirul pula bertemu jodoh dengan orang baharu yang ditemuinya di luar negara. Setelah itu, saya tidak pernah berjumpa dengannya lagi.

"Tapi seperti yang saya ceritakan, ketentuan Allah tidak siapa boleh menghalang. Saya bertemu semula dengan Amirul di satu majlis anjuran jabatan tempat kerja saya. Itu pun secara tidak sengaja. Rupa-rupanya dia juga penjawat awam tetapi selalu di luar negara sebelum kembali ke Malaysia.

"Dia yang nampak saya dan datang menegur untuk memastikan saya adalah orang yang dicarinya selama ini. Walaupun terkejut yang amat sangat, saya buat macam tidak ada apa yang berlaku.

"Bohonglah kalau saya katakan hati tidak terusik. Saya kawal perasaan dan diri, bimbang dia datang bersama isterinya. Tapi dia cepat-cepat beritahu saya, dia datang seorang, isteri sudah tak ada. Mungkin dia perasan kegelisahan saya untuk bercakap dengannya.

"Berderau darah saya dengan kata-katanya itu. Tidak ada maknanya sudah berpisah atau sudah meninggal dunia? Hati kecil saya tertanya-tanya.

"Pengakuannya masih meragukan saya tetapi saya buat-buat tak faham. Tapi dia terus mencuba berbaik-baik dengan saya. Dalam pertemuan itu juga, dia bercerita sedikit sebanyak tentang sejarah silamnya.

"Saya hanya mendengar. Kami bertukar-tukar nombor telefon dengan harapan dapat berjumpa lagi selepas itu. Malam itu, saya pulang dengan dada yang berdebar-debar. Entah kenapa saya sangat gembira dan teruja untuk berjumpa dengannya lagi.

"Dua minggu kemudian, kami berjumpa. Saya berusaha untuk mendapatkan cerita sebenar tentang kehidupannya sekarang sambil tidak lupa bercerita tentang masa silam saya dan status saya sekarang. Alhamdulillah, dia datang bersama anak sulungnya, seorang gadis yang cantik dan tinggi lampai.

"Kami diperkenalkan. Saya gementar tetapi saya kawal perasaan supaya tidak nampak ketara di mata dua beranak itu. Banyak yang kami bualkan. Tentang masa silamnya dan saya.

"Dia minta maaf kerana membawa anak daranya bertemu saya. Katanya, supaya saya percaya dengan apa yang ingin dia jelaskan. Rupa-rupanya dia juga telah kehilangan isteri yang meninggal dalam nahas jalan raya lima tahun lalu.

"Astagfirullah..... Allah Maha Penyayang dan Maha Mengetahui. Nasib kami sama. Saya sebak seketika. Pertemuan itu mencetuskan satu perasaan baharu dalam diri saya. Bukan saya sudah melupakan arwah suami tetapi saya yakin ada hikmah yang Allah ingin hadiahkan untuk saya.

"Selepas itu, hubungan kami makin rapat. Amirul melahirkan hajat untuk memperisterikan saya. Saya minta tempoh untuk berfikir tentang lamarannya itu demi anak-anak.

"Saya mahu dapatkan kebenaran mereka sebelum membuat keputusan. Kalau anak-anak tidak setuju, saya tidak akan teruskan niat saya. Bagi tujuan itu, saya dan Amirul merancang mempertemukan anak-anak kami bagi mendapatkan kebenaran mereka.

"Sempena hari ibu dan bapa tahun lalu, kami temukan mereka di sebuah pusat peranginan. Kami ceritakan segala-galanya. Kami mahu mereka faham dan berfikir tentang hajat kami menyatukan keluarga ini.

"Dalam pertemuan itu, saya perhatikan anak-anak Amirul dan anak-anak saya sangat rapat. Mereka boleh duduk bersama dan bergurau senda. Anak-anak Amirul seramai tiga orang, seorang lelaki dan dua perempuan nampak pandai bergaul dengan anak dara saya. Begitu juga yang lelaki. Alhamdulillah, menitis air mata saya melihat anugerah Allah ini.

"Kami tidak mengambil masa yang lama untuk menjadi suami isteri. Dua minggu selepas pertemuan itu, saya dilamar oleh Amirul. Walaupun sudah berumur, saya tetap mahu ia dilakukan mengikut adat kerana ibu bapa saya masih ada.

"Dan sebelum Ramadan tahun lalu, kami disatukan. Segala-galanya dipermudahkan oleh Allah. Majlis berjalan lancar. Kini kami sah bergelar suami isteri. Saya tidak tahu hendak cerita bagaimana perasaan saya.

"Ini Aidilfitri kedua yang kami sambut bersama-sama... betapa bahagianya saya. Melihat dua keluarga bersatu mengecap nikmat Allah yang tidak pernah saya duga.

"Duka yang dahulu ditinggalkan oleh Amirul seperti hilang ditiup angin. Kini, saya merasa bahagia yang amat sangat terutama kerana pernikahan saya ini direstui oleh anak-anak kami.

"Inilah nikmat yang Allah berikan kepada saya. Syukur sangat-sangat dengan nikmat ini. Saya mendoakan agar rumah tangga yang dibina ini akan berkekalan hingga ke Jannah.

"Kini, kami tinggal di bawah satu bumbung. Amirul membeli sebuah rumah yang besar untuk kami tinggal bersama. Walaupun baru setahun, saya sudah merasakan kebahagiaan bersama keluarga baru saya ini.

"Dalam hati, saya masih tetap tidak lupa mensyukuri pengorbanan arwah suami pertama yang mengajar saya tentang kasih sayang dan pengorbanan menjadi wanita, isteri dan ibu.

"Semoga rohnya dan roh isteri Amirul dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang beriman,'' Amira menamatkan ceritanya dengan linangan air mata. Sedih sungguh dia nampaknya. Saya juga sebak.

Sepertinya, saya sedang menonton drama di televisyen pula rasanya. Tapi ini adalah realiti bukan cerita rekaan. Di hadapan saya, Amira bercerita tentang kisah hidupnya dengan air mata yang berlinangan di pipi.

Sesungguhnya betul jodoh, pertemuan dan maut itu di tangan Allah, kita hanya merancang Dia juga jadi penentu. Saya doakan rumah tangga yang dibina oleh Amira dan Amirul akan kekal selamanya, di samping anak-anak yang menambah seri keluarga bahagia ini.

Menutup kata, pesanan telus saya, bahagia itu tidak perlu dicari, ia akan datang sendiri dengan perjalanan yang disusun oleh Allah SWT. Sesungguhnya Allah beri kita ujian dan mengembalikannya dengan nikmat yang berganda.

Salam Syawal Utusan/Keluarga/20140809

Tags: keluarga
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments