kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Sekolah kebangsaan satukan rakyat pelbagai kaum

KUALA LUMPUR 8 Ogos - Ahli Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK), Senator Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yakin sekolah kebangsaan mampu menyatukan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Justeru katanya, usaha memperkasakan sekolah kebangsaan yang kini seolah-olah menjadi pilihan kedua kepada orang bukan Melayu dan golongan berpendapatan tinggi, perlu dilakukan agar sekolah itu menjadi pilihan utama rakyat.

Sebagai mewakili generasi pertama semasa pelaksanaan dasar Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM), beliau melihat kedua-dua kurikulum itu amat relevan kerana fokus utamanya adalah untuk perkembangan individu, berteraskan kepada perkembangan intelek, fizikal, emosi, rohani dan sosial.

"Pada zaman itu, saya dan pelajar pelbagai kaum dapat bermain, belajar dan beriadah tanpa berasa prejudis dan canggung. Namun hari ini keadaan tidak lagi sama berikutan kewujudan sekolah jenis kebangsaan.

"Amat mustahak untuk kita melahirkan generasi yang mewarisi aspirasi negara berpaksikan Rukun Negara dan Perlembagaan,'' katanya yang dilantik menganggotai MPPK mulai awal bulan ini.

Asyraf Wajdi yang juga Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) berkata, sebagai ahli MPPK berlatarbelakangkan agama, beliau juga berharap dapat menyumbang pengalaman dan pengetahuannya dalam memperkasakan lagi aliran dan kurikulum agama Islam supaya bersifat lebih dinamik.

Beliau mahu kurikulum itu bukan hanya bersifat teori tetapi dapat dihayati dan diamalkan oleh generasi muda dalam kehidupan mereka.

Ini kerana katanya, usaha memartabatkan aspek agama adalah penting dalam memastikan negara ini berada pada tahap kukuh dan merealisasikan aspirasi sebagai negara Islam contoh.

"Saya mahu aspek agama diintegrasikan dengan semua kurikulum pelajaran lain,'' ujar beliau.

Mengenai harapannya selepas dilantik sebagai ahli MPPK, Asyraf Wajdi mahu memanfaatkan tempoh pelantikannya itu untuk melaksanakan tanggungjawab diamanahkan dengan berkesan bagi memberikan nasihat dan membantu Kementerian Pendidikan bermula daripada sistem prasekolah sehingga peringkat pengajian tinggi.

Pada masa yang sama, beliau bersama ahli majlis yang lain berharap dapat membantu kementerian itu dalam menjayakan pelan pembangunan pendidikan negara.

"Kami mempunyai tempoh selama dua tahun untuk menjalankan tanggungjawab ini dan berharap kesemua 11 anggota baharu MPPK dapat memberi nilai tambah kepada sistem pendidikan supaya perancangan yang disusun dapat dilaksanakan dengan berkesan serta memberi impak besar kepada negara,'' katanya. MOHD. SHARIZA ABDULLAH Utusan/Pendidikan/20140809

Tags: sekolah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments