kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Kemahiran berfikir tingkat pencapaian pelajar

KUALA LUMPUR8 Ogos - Guru memainkan peranan utama dalam melaksanakan dasar pendidikan yang digariskan oleh kerajaan selaras dengan usaha menaik taraf sistem sedia ada, khususnya bermula dari peringkat rendah.

Pengetua Sekolah Menengah Sri KDU, Datin Ong Guan Siew (gambar) berkata, guru perlu bergerak bersama murid-murid dalam sesi pembelajaran dengan menumpukan kepada kemahiran berfikir ke arah meningkatkan daya kefahaman dan kebolehan berinteraksi di dalam kelas secara berkumpulan ataupun individu, sejajar dengan 6 Aspirasi murid dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 .

"Setakat ini, fokus pembelajaran lebih kepada bagaimana para pelajar boleh lulus cemerlang dalam peperiksaan, tetapi anjakan perlu dibuat yang mana guru harus melakukan lebih daripada sekadar mengajar dengan meningkatkan kemahiran berfikir termasuk aspek pembangunan kendiri murid-murid.

"Ini bermakna, guru akan menggalakkan pelajar melibatkan diri dalam aktiviti pembelajaran tetapi sekiranya mereka ketinggalan atau sukar memahami sesuatu topik, guru akan membimbing mereka untuk melalui proses pemikiran bagi mencari jawapan yang betul," katanya di sini baru-baru ini.

Beliau yang juga ahli Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) berkata, penglibatan guru-guru bersama murid-murid untuk memberi bimbingan di dalam kelas mampu meningkatkan keberhasilan proses pembelajaran.

"Apabila mereka dapat berfikir dan berinteraksi bersama guru semasa belajar, hasil pembelajaran akan bertambah," jelasnya.

Tambahnya, apabila murid berjaya mendapatkan jawapan sendiri berdasarkan kefahamannya, mereka akan dapat memahami sesuatu perkara dengan lebih baik serta berkebolehan mengingat dengan lebih lama.

"Saya percaya ini merupakan kaedah yang lebih efektif berbanding mereka diajar di dalam kelas secara menyalin nota, menghafal dan seterusnya menduduki peperiksaan.

"Tentunya mereka boleh mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan tersebut tetapi akan mudah lupa apa yang mereka pernah belajar selepas itu," jelasnya.

Sementara itu beliau berkata, daripada segi konteks sukatan pembelajaran, perubahan besar tidak semestinya perlu dilakukan tetapi lebih memfokuskan kaedah pengajaran dan pendekatan antara guru dan murid-murid di dalam kelas.

"Apa yang diajar di seluruh dunia sedikit sahaja perbezaannya. Kita belajar topik yang sama di negara-negara lain misalnya Amerika Syarikat, Australia dan United Kingdom, tetapi yang membezakannya adalah cara pelajar belajar topik tersebut dan ini yang perlu kita tekankan.

"Oleh itu, perubahan dalam kurikulum pembelajaran mungkin tidak diperlukan namun sekiranya perlu, perkara itu tidak melibatkan perubahan yang besar," katanya.

Tambahnya, kemampuan berfikir yang tinggi secara tidak langsung membolehkan pelajar mendapat pencapaian akademik cemerlang sekali gus mempertingkatkan tahap sistem pendidikan negara walaupun perubahan tidak semestinya dapat dilihat dalam tempoh sekejap selain memakan masa yang lama.

"Sebenarnya, jika kita sudah menetapkan standard sendiri di peringkat nasional, kita tidak perlu bimbang tentang piawaian antarabangsa kerana sekiranya kita mampu mencapai standard tersebut, taraf pendidikan dalam negara juga ditingkatkan.

"Jadi tahap prestasi murid perlu ditetapkan dan ditingkatkan dari semasa ke semasa supaya kita bersedia untuk bersaing ke peringkat seterusnya," katanya.

Utusan/Pendidikan/20140809
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments