kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Air tanah sumber air mentah

PEMBANGUNAN air tanah sebagai sumber air mentah untuk perkhidmatan bekalan air awam bukan perkara baharu di Malaysia. Hampir 41 peratus air mentah yang digunakan dalam perkhidmatan bekalan air awam Kelantan adalah air tanah dan secara keseluruhan peratus penggunaan air tanah dalam perkhidmatan bekalan air awam negara adalah kurang daripada dua peratus.

Bagaimanapun, penggunaan air tanah oleh sektor industri khususnya di Selangor adalah signifikan dan telah dikawal melalui pelesenan oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS).

Usaha telah dibuat oleh sebuah syarikat milik kerajaan (GLC) pada akhir dekad yang lalu untuk membangun sumber air tanah pada skala yang besar di selatan Perak dan disalurkan ke Selangor.

Usaha ini telah dihalang oleh pihak tertentu dan ia tidak diteruskan oleh GLC berkenaan pada 2010.

Fasa pertama projek penyaluran air tanah dari Perak ke Selangor dengan kapasiti 500 juta liter sehari (Jlh) dijadual beroperasi pada awal 2013.

Sekiranya projek ini berjaya direalisasikan, krisis bekalan air yang sedang dihadapi di Selangor dan Kuala Lumpur dan Putrajaya boleh dielakkan.

Bantahan kepada projek penyaluran air tanah dari Perak ke Selangor adalah merujuk kepada impak negatif daripada aktiviti abstraksi air tanah yang berpunca daripada abstraksi air tanah secara berlebihan untuk tempoh puluhan tahun kerana tiada kawalan di negara-negara berkenaan.

Kesemua negara-negara maju telah berjaya membangunkan sumber air tanah secara mampan dan air tanah merupakan pilihan pertama di dalam pembangunan sumber air kerana air tanah banyak kelebihannya.

Terdapat juga pakar-pakar yang bukan profesional air tanah telah membuat ulasan yang tidak tepat termasuk seorang profesor dari sebuah universiti tempatan yang mengatakan sumber air tanah perlu disimpan untuk generasi akan datang.

Apabila mereka yang tidak mempunyai fahaman mengenai subjek air tanah memberi pandangan, maka pandangan-pandangan yang tidak munasabah diutarakan.

Pandangan sumber air tanah tidak wajar digunakan kerana perlu disimpan untuk generasi akan datang bercanggah dengan firman Allah: "Pukullah batu itu dengan tongkatmu." Maka terpancarlah daripadanya 12 mata air. Tiap-tiap golongan mengetahui tempat minum masing-masing .." (Al-A'raaf:160).

Terdapat juga pandangan yang sumber air tanah adalah untuk penduduk-penduduk di tanah gersang sahaja. Apabila mana sumber air tanah boleh dibangunkan di tanah gersang, sudah tentu sumber air tanah lebih selamat dibangunkan di negara kita yang menerima purata hujan tahunan yang tinggi kerana sumber air tanah diimbuh oleh hujan.

Di antara kelebihan air tanah ke atas air permukaan adalah:

(1) Kedapatan di mana ia diperlukan iaitu boleh diperolehi di mana saja dan ini dapat mengurangkan kos pembinaan dan operasi sistem bekalan air;

(2) Dilindungi semula jadi dan jaminan kualiti air yang stabil dan selamat, iaitu dapat mengurangkan kos rawatan air;

(3) Kapasiti storan air tawar terbesar dan dapat mengurangkan impak perubahan cuaca dan iklim ke atas perkhidmatan bekalan air; dan

(4) Air tanah menjamin aliran alam sekitar iaitu melembabkan tanah dan menyokong aliran asas sungai.

Akademi Sains Malaysia (ASM) telah membuat syor kepada kerajaan supaya pada 2020, air tanah merangkumi 20 peratus air mentah yang digunakan dalam perkhidmatan bekalan air awam negara. Syor ini dibuat bagi meningkatkan daya tahan perkhidmatan bekalan air awam di samping memulihara alam sekitar dan sumber alam.

Dengan pembangunan sumber air tanah, pembinaan empangan bukan sahaja dapat dilewatkan tetapi turut dikurangkan bilangannya.

Di samping kapasiti Loji Rawatan Air (LRA) dan bekalan air mentah, terdapat fakta-fakta lain yang memberi impak kepada perkhidmatan bekalan air awam Malaysia iaitu:

(1) Ketidakcekapan di dalam pengurusan agihan air terawat khususnya kadar kehilangan air tak terhasil yang tinggi di kesemua negeri (18.2 % hingga 62.4%);

(2) Pencemaran sumber air mentah khususnya air sungai yang boleh menyebabkan LRA ditutup dan seterusnya mendatangkan gangguan bekalan air terawat kepada pengguna; dan

(3) Tarif air yang rendah iaitu boleh menggalakkan pembaziran air dan ketidakcukupan dana bagi meningkatkan perkhidmatan.

Tarif air yang munasabah adalah alat ekonomi yang paling berkesan bagi mengawal permintaan air sebagaimana terbukti di negara-negara maju.

Dalam sektor utiliti, sektor perkhidmatan air memerlukan dana pembangunan infrastruktur tertinggi tetapi malangnya tarif perkhidmatan air adalah tarif utiliti terendah di negara kita. IR. DR. AZUHAN MOHAMED Kuala Lumpur Utusan/Forum/20140807

Tags: air
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments