Nasib Anwar, Khalid - Kemelut PKR Selangor hampir sampai ke kemuncaknya apabila Khalid Ibrahim dipecat daripada parti itu semalam kerana enggan meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar. Perkara ini sudah dijangkakan selepas beliau dipaksa untuk berbuat demikian oleh Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim yang mahu melantik isterinya sendiri, Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar yang baharu.
Ketika rakyat Malaysia masih memperkatakan isu pemilihan banyak cabang PKR yang belum selesai ekoran pergaduhan, kekecohan dan penipuan, kini parti itu berkecamuk lagi. Kali ini, kemelut jawatan MB membawa kepada krisis pakatan pembangkang apabila Pas mengambil pendirian keras mempertahankan Khalid yang dilihat menjadi mangsa kezaliman pemimpin PKR.
Tokoh-tokoh utama seperti Hadi Awang dan Nik Aziz Nik Mat serta Majlis Syura tidak lagi menunjukkan rasa gentar terhadap PKR yang bergabung dengan DAP dalam krisis yang dianggap terburuk dalam sejarah pakatan. Persoalannya, apakah Khalid akan berundur daripada jawatan MB, akan terbubarkah Dewan Undangan Negeri bagi membolehkan pilihan raya negeri dan bersediakah Pas mengambil langkah drastik keluar daripada pakatan?
Lebih menarik untuk diketahui nanti, siapakah yang akan kecundang dalam pertentangan antara PKR/DAP dan Pas. Setakat ini, Anwar seperti dirasuk tetap mahu melantik Wan Azizah sebagai Menteri Besar dipercayai terdesak dan bimbang sekiranya keputusan rayuan kes liwat tidak memihak kepada beliau. Kasihan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali yang statusnya sekadar budak suruhan dalam parti itu. Anwar lebih percayakan isterinya menjadi Menteri Besar berbanding Azmin.
Atas kertas , pengaruh Anwar sebagai Ketua Pembangkang merudum apatah lagi dalam kemelut ini. Rakyat Selangor dan akar umbi PKR masih mahukan Khalid dan menolak Wan Azizah kerana gagal menerajui parti dengan baik. Ramai ahli mendesak diadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) untuk menentukan siapa MB. Di peringkat pakatan, para pemimpin Pas secara terbuka membandingkan keperibadian, akhlak dan integriti Khalid jauh lebih baik daripada Anwar. Dalam politik PKR, sebenarnya beliau tiada asas merit. Kedudukannya sekarang sebagai Ketua Umum dilantik oleh Wan Azizah. Isteri lantik suami, suami lantik isteri... hebatnya nepotisme dalam PKR. Perkembangan terbaharu ini terus menyaksikan PKR diwarnai dengan pelbagai kontroversi, isu moral dan masalah dalaman yang serius. Dalam isu Khalid, sama ada beliau dapat bertahan atau disingkir, yang tetap kelihatan buruk ialah Anwar. Apa sahaja penyelesaiannya yang akan rugi bukan Khalid, sebaliknya PKR dan pakatan itu sendiri. Inilah akibat keghairahan untuk mencatur politik secara songsang dari dulu lagi, terbaharu menerusi apa yang dipanggil sebagai Langkah Kajang ciptaan Anwar. Beliau yang memburukkan lagi masalah dan imej PKR. Sehebat dan sebijak-bijak manusia melakukan percaturan, ia tidak akan mampu menyaingi ketentuan-Nya.
Jenayah Obama? - Ada satu petikan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama berhubung keputusan negara itu mahu menyerang Iraq bagi memerangi puak pemisah, untuk kita renungkan. "Awal minggu ini, seorang rakyat Iraq meminta bantuan dunia sambil berkata tiada orang datang untuk membantu kami." Tegas Obama lagi: "Amerika Syarikat datang untuk membantu."
Maka terserlahlah dasar dan tindakan berpilih. AS proaktif menggunakan kuasa ketenteraan untuk menyelamatkan minoriti bukan Islam di Iraq. Malangnya Washington membiarkan Israel meneruskan kekejaman ke atas penduduk Gaza. Umat Islam yang ditindas sengaja tidak mahu dibantu oleh AS. Rayuan meminta pertolongan daripada rakyat Palestin yang disokong masyarakat antarabangsa, tidak dihiraukan dengan pelbagai alasan. Malah Obama terang-terangan memihak kepada Israel di samping memperhebatkan lagi bantuan senjata kepada Tel Aviv.
Pada Awang, mana-mana pemimpin dunia dan negara yang bersubahat dengan Israel dalam menindas Palestin, sama dosa dan jahatnya dengan rejim Zionis. Bayangkan hampir 2,000 terkorban kebanyakannya kanak-kanak dan wanita, berpuluh masjid musnah dan rosak selain hospital dan sekolah menjadi sasaran serangan. Dalam dunia yang bertamadun ini, kezaliman luar biasa seperti itu tidak sepatutnya terjadi.
AS hanya menutup mata walaupun ada kuasa untuk menghentikannya. Maka pentadbiran Obama mesti sama bertanggungjawab. Beliau yang selalu melaung-laungkan keadilan dan kebebasan buat manusia sejagat, rupa-rupanya hipokrit kerana membenarkan diri dikuasai oleh pengaruh Yahudi. Hari ini, melihat gambar Obama pantas terpukul rasa meluat sebagaimana terhadap pemimpin Israel, Benjamin Netanyahu. Muka dan tangan mereka berdua dibayangi lumuran darah orang awam Gaza yang tidak berdosa. Nasihat kecil Awang kepada Obama, janganlah lagi bercakap soal nilai-nilai murni kehidupan jika jiwa anda kotor dengan jenayah ke atas kemanusiaan. Menjijikkan.
Warsi dan Ismail - Tindakan Menteri Luar Britain, Baroness Warsi meletakkan jawatan sebagai membantah pendirian kerajaan negaranya berhubung krisis di Gaza menarik perhatian ramai.
Beliau mengambil tindakan tersebut kerana menolak kekejaman Israel ke atas rakyat Palestin. Awang kagum dengan insan seperti ini yang rela hilang kedudukan dan jawatan besar atas prinsip menegakkan keadilan untuk penduduk Gaza. Ia mesej yang besar maknanya buat keamanan dan kemanusiaan dunia.
Di tanah air kita, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Ismail Sabri juga tidak dapat berkompromi dengan tindakan bank antarabangsa HSBC menutup akaun beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengumpul dana untuk disalurkan kepada rakyat Palestin.
Sebagai tanda protes, Ismail membatalkan kad kredit HSBC. Gambar beliau menggunting kad kredit tersebut yang berlegar dalam laman sosial, mendapat respons positif.
Awang teruja. Dalam melawan kekejaman Israel, bercakap dan beretorik sahaja tidak cukup, ia memerlukan tindakan supaya lebih memberi impak. Warsi mahupun Ismail dengan penuh yakin telah melaksanakan tanggungjawab mereka demi rakyat Palestin. Kita pula, bagaimana?
'Penyakit' Guan Eng - Semalam, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng memulakan tindakan undang-undang ke atas Ahli Parlimen Temerloh (Pas), Nasruddin Hassan yang mengkritik beliau berhubung projek pembinaan terowong dasar laut.
Awang sedikit pun tidak terkejut. Guan Eng memang terkenal sebagai pemimpin yang tidak boleh menerima kritikan. Itulah 'penyakit' beliau. Beberapa editor media Cina juga kurang senang dengan sikap Setiausaha Agung DAP itu kebelakangan ini. Dalam diam, beliau dilabel angkuh. Dunia sudah lama berubah dan makin terbuka tetapi Guan Eng terbawa-bawa pemikiran lama.
Awang mahu cadangkan beliau menjalani kelas keterbukaan selain berkaitan pemahaman media dan kebebasan bersuara di mana-mana yang beliau suka. Jika beliau enggan, contohi sahaja Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim yang kelihatan berwibawa dalam menangani segala asakan dan kritikan.
Dalam kes kritikan Nasruddin, Guan Eng akan kelihatan lebih bijak dan disegani jika cukup sekadar memberikan penjelasan dan bukannya mengugut untuk saman atau bertindak menyaman. Kalau mahu jadi pemimpin politik kenalah lasak, jika tidak, pilih kerjaya lain atau duduk sahaja di rumah belai isteri.
Kepada Nasruddin, YB tidak bersendirian. Ramai yang bersimpati dan menyokong kenyataan berkaitan projek terowong tersebut. Awang pernah menulis dalam ruangan ini, Mac lalu mempersoalkan kewajaran pembinaannya apatah lagi dengan adanya kemudahan dua jambatan.
Untuk apa lagi perlunya projek mega bernilai RM4.63 bilion yang menghubungkan Persiaran Gurney di pulau dan Bagan di seberang? Aneh, walaupun mendapat bantahan orang ramai dan pelbagai pihak terutama persatuan pengguna atas faktor pembaziran dan dikhuatiri mengancam alam sekitar, Guan Eng tidak hiraukan. Lalu timbul tanda tanya, mengapa membelakangkan suara rakyat dan untuk keuntungan siapakah sebenarnya projek tersebut - rakyat atau pihak tertentu?
JPJ takuk lama - Ketika negara-negara lain telah jauh ke hadapan dalam soal spesifikasi nombor plat, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) masih di takuk lama. Terbaharu, jabatan itu mengeluarkan garis panduan untuk orang ramai berhubung saiz dan ukuran nombor plat menerusi facebook, yang mengundang kritikan para pengguna.
Bukankah JPJ yang sewajarnya menguatkuasakan hal tersebut ke atas syarikat aksesori dan penjual kereta. Sebab itulah sistem nombor plat di Malaysia selalu menjadi bahan sinikal kerana dianggap rojak dan tiada identiti.
Sepatutnya JPJ sudah lama melaksanakan sistem nombor plat yang canggih, seragam, berkonsepkan keselamatan dengan bercirikan pencegahan jenayah dan tidak boleh dimanipulasi seperti dipalsukan atau dicuri.
Sehingga hari ini, isu cermin gelap, nombor plat, sistem latihan memandu yang ketinggalan, kelemahan penguatkuasaan terus membelenggu JPJ. Marilah bertanya apa pencapaian membanggakan dan inovasi besar dalam JPJ, yang kita semua dengan mudah boleh menjawab - tiada.
Utusan/Rencana/20140810