kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Hak prerogatif diraja kekang krisis MB

JIKA tidak kena gaya pendekatan, akan muncul krisis perlembagaan negeri Selangor.

Soalnya, memang Sultan boleh membenarkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk terus menyandang jawatan Menteri Besar menerusi kedudukan Perkara 53 Perlembagaan negeri. Tetapi jika diteruskan, soal penolakan terhadap Abdul Khalid di DUN akan muncul.

Ini kerana di DUN sekarang, PKR dan DAP tentunya tidak senang duduk dan tidak akan sesekali membiarkan Abdul Khalid terus menjadi Menteri Besar.

Jadi, suara PKR dalam DUN daripada 14 kerusi dan ditolak kerusi Abdul Khalid, berbaki 13. Dengan DAP ketika ini ada 15 kerusi, maka PKR + DAP = 28.

Di sebelah Barisan Nasional (BN) pula, parti itu memiliki 12 kerusi. Jika Pas tidak mahu Abdul Khalid diberhentikan melalui undi tidak percaya, maka Pas yang memiliki 15 kerusi (ditambah satu kerusi dengan Abdul Khalid) bergabung pula dengan 12 kerusi BN, menjadikan kedua-kedua parti mempunyai 28 kerusi.

Situasi seri akan wujud di DUN Selangor, melainkan ada `sebilangan' ADUN Pas enggan mengikut telunjuk pucuk pimpinannya. Berkemungkinan situasi seri di DUN muncul dan yang merana kelak adalah rakyat yang negeri mereka tidak dapat ditadbir oleh kerajaan negeri mengikut peraturannya.

Pakar perlembagaan Persekutuan, Tan Sri Dr. Rais Yatim terpanggil untuk menjelaskan krisis pentadbiran yang kian meruncing di Selangor.

Bercakap kepada akhbar ini semalam, kata beliau daripada hemat penelitiannya, Sultan Selangor perlu membuat keputusan berdasarkan dua aspek:

1. Sama ada baginda hendak meneruskan jawatan dan tanggungjawab Menteri Besar di bawah Abdul Khalid.

2. Bersetuju untuk membubarkan DUN berikutan kedudukan seri 28-28 atau dalam kedudukan di mana tidak ada mana-mana parti memiliki majoriti meyakinkan.

"Kalau diteruskan kedudukan Abdul Khalid, senario ini tidak akan memberi masa depan yang diharapkan oleh rakyat Selangor. Isu air sekarang memerlukan kerajaan negeri yang tangkas dan efisien sekali gus memerlukan majoriti kuat.

"Kalau 28-28, bagaimana hendak mendepani isu air, perumahan dan Bajet yang harus dibentangkan hujung tahun ini. Kita tidak nampak kerajaan negeri di bawah Abdul Khalid boleh meluluskan rang undang-undang kewangan.

"Katakan juga ada seorang dua `lari' kepada gabungan Pas-BN, menjadikan 30 ADUN pula. Namun ini masih belum kukuh sebab kalau nak pinda perlembagaan perlukan majoriti dua pertiga, kecuali jika nak pinda undang-undang yang hanya memerlukan majoriti biasa," kata beliau.

Dalam konteks ini, Raja dan Sultan sedia ada mempunyai kuasa untuk membubar atau tidak DUN. Tidak ada individu atau pihak tertentu boleh mengusik hak baginda ini - yang walaubagaimanapun penasihat baginda boleh menasihati supaya tidak timbul krisis perlembagaan.

Meskipun katakanlah Presiden PKR sendiri, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (atas tanggapannya bahawa Abdul Khalid ahli PKR) hendak menghadap baginda untuk membubarkan DUN. Atau melantik wakil PKR lain sebagai Menteri Besar, ia bermakna beliau (Wan Azizah) menghadap baginda atas kapasiti PKR secara bersendirian. Iaitu PKR hanya sebuah parti yang memiliki 13 kerusi dalam DUN. Tidak boleh Wan Azizah beranggapan PKR atas kapasiti memiliki 43 kerusi (13 PKR + 15 (DAP) +15 (Pas).

Namun, yang jelas Pas ada pendirian sendiri. Malah realitinya pakatan pembangkang sendiri tidak pernah mendaftar sebagai gabungan atau komponen seperti mana BN. Bagaimanapun perkara ini terserah kepada budibicara Tuanku.

Kata Rais: "Bahasa di bawah Perkara 53 ialah Raja boleh melantik seseorang Menteri Besar dalam kalangan ADUN, asalkan mengikut pendapat baginda orang berkenaan beroleh sokongan majoriti anggota DUN."

Jadi, keputusan baginda terletak kepada siapa yang difikirkan boleh menjadi Menteri Besar. Ini tidak boleh dipaksa.

Begitu pun jika dipetisyen untuk undi tidak percaya terhadap Abdul Khalid oleh sebilangan ADUN, setiausaha Dewan perlu menetapkan usul memanggil sidang yang perlu didengari.

"Jika undi tidak percaya diusulkan dan jumlahnya melepasi 28 undi menyebabkan Abdul Khalid kalah, maka Tuanku boleh mengambil perkara ini mengikut kuasa DUN untuk membubarkannya.

"Sebaliknya juga Tuanku boleh menolaknya atas alasan teknikal," kata beliau.

Baginda, kata Rais, tetap memiliki hak prerogatif diraja untuk melantik Menteri Besar atau membubarkan DUN. ZULKIFLI JALIL pengarang@utusan.com.my: Utusan/Rencana/20140811

Tags: politik, sultan
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments