kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Rumah terbuka diisi dengan doa dan sambut secara sederhana

PENULIS teringat sebuah lagu yang didendangkan oleh Fauziah Ahmad Daud, yang bertajuk Di sini tiada kedamaian lagi, yang antara lain berbunyi:

Dan di sini kita masih juga berpesta minuman serta makanan terbuang dan melimpah di sini kita lupa ada yang kelaparan

Dua situasi amat berbeza diperlihatkan menerusi lirik yang penulis petik iaitu kesukaran atau keperitan masyarakat untuk mendapatkan makanan dan satu situasi lain adalah kita yang hidup mewah dengan makanan sehingga ada yang terbuang.

Penulis lirik lagu ini sebenarnya memfokuskan penderitaan rakyat Palestin akibat serangan dan kezaliman Israel. Lagu ini bukanlah baharu kerana seingat-ingat penulis lagu ini tercipta awal tahun 80-an. Sementara itu, Zubir Ali pula mencipta lagu Balada Seorang Gadis Kecil yang mengaitkan peristiwa pembunuhan di kem Sabra dan Shatila pada 17 September 1982.

Sekarang, keganasan Israel terhadap rakyat Palestin terutamanya penduduk Gaza masih berterusan. Penduduk Gaza diambang maut dan Gaza menghadapi kerugian akibat kerosakan yang bukan sedikit nilainya. Sudah begitu ramai jiwa yang terkorban.

Pada tahun ini, sambutan hari raya tidak ada dalam diari hidup penduduk di sana. Mereka tidak menikmati makanan dan minuman yang enak-enak, tidak memakai pakaian baharu kerana hari raya seolah-olah tiada dalam hidup mereka. Mereka hanya diburu kebimbangan, ketakutan dan terpaksa menjalani kehidupan seharian dalam keadaan nyawa di hujung pedang.

Berbeza dengan negara kita. Kita bebas berhari raya dan menyambutnya dengan penuh keriangan dan mengisi pelbagai aktiviti yang biasa dilakukan pada hari raya, termasuklah mengadakan rumah terbuka. Selepas minggu pertama berhari raya, kita masih mengadakan rumah terbuka dengan menjemput saudara-mara, rakan-rakan dan ahli keluarga. Kita menyediakan pelbagai jenis makanan yang lazat dan minuman yang beraneka jenis. Maka, sebelum berakhirnya Syawal, kita akan dapati kunjungan demi kunjungan akan diadakan, terutamanya ketika hujung minggu.

Walaupun kita diselubungi rasa simpati akan nasib keluarga pesawat MH370 dan MH17, di samping rasa sedih kita terhadap penduduk Islam di Gaza, bagi yang berkemampuan, rumah terbuka tetap diadakan.

Kelangsungan atau tradisi mengadakan rumah terbuka dapat dilihat di mana-mana. Bukan hanya di bandar, di kampung-kampung pun sudah ramai yang mengadakan rumah terbuka kerana apa yang dilakukan di bandar sudah menular ke kampung-kampung dan kawasan terpencil.

Rumah terbuka mendatangkan pelbagai kesan positif dalam kalangan anggota masyarakat. Hubungan yang lebih akrab akan terjalin menerusi rumah terbuka. Di bandar-bandar, ikatan kejiranan dan perpaduan kaum dapat dimantapkan lagi dengan rumah terbuka kerana proses kenal-mengenal akan lebih mudah berlaku dalam majlis-majlis seperti ini.

Senario ini menjadikan rumah terbuka tetap diadakan walaupun pelbagai situasi melanda negara atau dunia. Malah, ada yang menganggap tidak lengkap perayaan jika tidak diadakan rumah terbuka.

Sebaiknya, sebagai menghormati insiden-insiden yang berlaku di dalam mahupun di luar negara, sambutan dan pengisian rumah terbuka mestilah diadakan dengan cara bersederhana.

Di samping mengelak pembaziran, doa untuk mereka yang malang akibat insiden-insiden yang berlaku perlu dipohon agar dipermudah urusan ke atas mangsa dan bagi keluarga yang terbabit, doa supaya mereka tabah menghadapi ujian getir ini perlu dipohon.

Di samping menjamu selera, ingatlah mereka yang tidak bernasib baik, yang terpaksa berlapar, berebut makanan kerana makanan dicatu dan tidak cukup makanan, mereka yang miskin, anak-anak yatim dan pelbagai golongan lain yang tidak berkemampuan. Adalah lebih baik jika di sebalik kita meraikan hari yang mulia ini, kita menoleh kepada mereka yang jarang atau tidak pernah merasai nikmat yang kita kecapi. JASNI MAJED: Utusan/Rencana/20140811

Tags: rumah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments