kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Hadkan SJKC, perkasakan SK

SEBAGAI respons kepada cadangan agar kerajaan mengambil tindakan untuk tidak membenarkan lagi pembinaan sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) pada masa akan datang, penulis boleh bersetuju bahawa isu ini tidak perlu dilihat dalam konteks faham perkauman yang sempit. Cadangan asal dikemukakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim dan kemudiannya disambut positif agak positif oleh banyak pihak.



Perlu dirujuk semula, Razali tidak bercakap mengenai penutupan SJKC. Beliau hanya mengatakan kewajaran ia ditambah mengikut 'desakan' yang dibuat oleh pihak tertentu. Pada penulis secara peribadi, ia tidak salah dan melukakan hati sesiapa.

Seharusnyalah, debat dan diskusi mengenai kepentingan masa hadapan pendidikan Malaysia diasaskan kepada niat dan hasrat Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) yang sudah dibentangkan oleh pihak kerajaan. Isu perpaduan yang dirasakan masih belum tuntas ditangani oleh sistem pendidikan wajar dinilai dan disusun semula.

Lima aspirasi pendidikan yang digariskan oleh PIPP adalah i) isu akses kepada pendidikan; ii) isu kualiti pendidikan; iii) isu ekuiti; iv) isu perpaduan; dan v) isu kecekapan pendidikan itu sendiri. PIPP dengan sendirinya sudah menggalakkan kita untuk berbincang isu pendidikan dalam konteks lebih luas dan bukannya soal perkauman yang sempit.

Demikianlah semoleknya untuk kita hadam dan perhalusi. Berapa dekad lagi kita perlu berpolemik dengan isu penambahan SJKC di dalam sistem pendidikan kita? Hakikatnya, pendidikan vernakular mekar di dalam sistem pendidikan sedia ada. Namun begitu, adakalanya kita perlu realistik dengan keperluan masa dan keadaan.

Tidak timbul soal kita mahu menghentikan akses kepada pendidikan vernakular. Bukan itu niatnya. Apa yang kita hajatkan adalah pengukuhan sistem sekolah kebangsaan (SK) yang memberikan peluang kepada jumlah pelajar pelbagai kaum yang mengambil aliran kebangsaan.

Data 2011, 74 peratus pelajar sekolah rendah berada di SK; sementara 23 peratus berada di SJKC; 3 peratus di SJKT dan baki di aliran di Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan sekolah pendidikan khas. Apakah peratusan ini satu angka yang 'murni' untuk masa hadapan Malaysia? Soalan ini perlu kita jawab dengan jujur dan ikhlas.

Walaupun benar, berlaku 'conversion' yang agak meyakinkan di peringkat sekolah menengah (hampir 88 peratus pelajar berada di aliran kebangsaan); namun detik awal pembenihan pemikiran 'kebangsaan' sudah berlaku di sekolah rendah. Jangan kita nafikan bahawa 'tempoh penting enam tahun' itulah yang sebenarnya membina jatidiri dan tasawwur kita tentang nilai nasionalisme dan kenegaraan.

Itu belum lagi kita lihat kepada fakta kewujudan sekolah-sekolah swasta yang mungkin sahaja membawa 'sub-budaya' lain di dalam sistem pendidikan kita. Pasti ada kesannya. Kalaupun tidak sekarang, ia membuka jurang lain di masa-masa akan datang.

Elok sekiranya kita fokuskan kekuatan pemikiran kita kepada isu yang lebih 'rentas kaum' seperti kualiti dan ekuiti pendidikan. Sekolah beraliran kebangsaan mesti menjadi aliran pilihan kepada semua kaum. Matlamat sistem pendidikan mesti dikembalikan kepada hasrat dan tujuannya yang asal.

Tumpuan mesti diberikan secara menyeluruh dan bukannya lagi penambahan SJKC hanya kerana wujudnya 'demand' untuk berbuat demikian. Fokus khas turut wajar diberikan kepada sekolah-sekolah yang menjaga kepentingan kumpulan minoriti yang lebih kecil - seperti kaum Orang Asli, pengenalan bahasa seperti Iban, Semai, Kadazan Dusun sebagai subjek elektif. Usaha ini lebih memberi makna kepada maksud 'kebangsaan' yang mahu kita zahirkan.

Lebih molek lagi, jika bahasa-bahasa seperti Iban, Semai, Kadazan Dusun turut dijadikan elektif untuk sekolah-sekolah di semenanjung. Kalaupun tidak semua, ia wajar dimulakan sekarang. Wajar kita wujudkan 'jambatan apresiasi' anak-anak kita di Semenanjung tentang jalur budaya para sahabat mereka di Sabah dan Sarawak. Jangan sampai mereka berasa cukup asing dengan suku kaum yang lebih kecil di sana.

Semua ini, pada hakikatnya sudah mula dibicarakan dan dibincangkan di dalam PIPP. Yang tinggal hanya soal pemantapan pelaksanaan. Cukup penting untuk kita hadamkan bahawa PIPP sememangnya sudah membicarakan isu pendidikan dalam perspektif yang lebih besar dan nasional sifatnya.

Penulis berharap sangat agar tidak ada pihak yang mengambil kesempatan untuk melihat isu SJKC ini melalui tingkap pandang perkauman. Diskusi dan debat kita mengenai pendidikan sudah tidak boleh kekal statik dengan 'isu lama' seperti SJKC. Tumpuan mesti diperluaskan, sekali gus benar-benar menjadikan 'sekolah kebangsaan' sebagai aliran pendidikan pilihan pertama kepada semua kaum.

PIPP perlu dijadikan teks rujukan untuk kita membina sistem pendidikan yang selari dengan tuntutan masa dan keadaan. 'Desakan' yang semata-mata berasaskan pemahaman politik yang sempit dan emosional tidak akan membawa kita ke mana-mana. Isu perpaduan bukannya isu yang boleh diselesaikan sekelip mata - namun 'pendidikan' pastinya mampu menjadi pemangkin yang berpengaruh.

SJKC tidak wajar ditambah hanya di atas keperluan 'demografi' dan pembangunan. SK mesti diberikan keutamaan. Malahan, mungkin tiba masanya untuk pembangunan perumahan baru, waima di kawasan urban, sub-urban mahupun luar bandar - ia mesti dipakejkan dengan penubuhan SK di kawasan sekitarnya.

Pemerkasaan sekolah kebangsaan tidak hanya boleh menjadi 'retorik' berdekad lama dan tidak dilaksanakan secara bersungguh. Potensi sememangnya ada. Soalnya, sejauh mana kita mahu melaksana. Kita sudah tidak boleh berlengah dengan perkara ini.

Oleh yang demikian, mungkin tiba masanya sebuah 'Suruhanjaya Khas Pemantapan Sekolah Kebangsaan' diwujudkan sebagai pengisian kepada PIPP. Bila kita bercakap soal memperkasa, apa asasnya. Apakah infranya sahaja? Apakah P&P menjadi asasnya? Apakah guru jadi tumpuannya? Atau kita bercakap soal pemerkasaan yang lebih holistik dan sepadu.

Pengwujudan Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) yang diumumkan oleh Kementerian juga boleh dijadikan badan yang melihat hasrat pemerkasaan SK ini dengan lebih menyeluruh. Jika ini dapat dilakukan, penulis percaya rakyat akan berasa lebih yakin dengan kualiti sekolah beraliran kebangsaan ini.

Pemerkasaan sekolah kebangsaan tidak boleh dilaksana ibarat angin yang sepoi bahasa. Ia mesti dijadikan gelombang yang luar biasa. Bukan lagi retorik. Perubahan harus nampak. Keyakinan ibu bapa dan rakyat seluruhnya mesti dikembalikan. Imej SK mesti diperkasa secara yang cukup tuntas dan berkesan.

Penulis yakin, ini bukan permainan 'zero-sum' kepada mana-mana kaum sekalipun. Kalau kita ikhlas menilai keperluan, kehendak dan keperluan semasa - minda kita pasti terbuka dengan agenda memperkukuh sekolah kebangsaan.

Polemik mengenai SJKC ini, pada pandangan penulis, mesti diberikan pakej kefahaman yang baru. Kita tidak nafikan kepentingan sistem vernakular, namun ia mesti menjadi 'sub-set' kepada sistem pendidikan nasional dan tidak dijadikan agenda sempit kumpulan-kumpulan tertentu.

Seharusnya tidak ada 'quid pro quo' di dalam membicarakan soal sistem dan kepentingan pendidikan. Baik, kami sanggup hadkan SJKC dan ia perlu diganti dengan perkara lain. Ia tidak perlu berlaku sedemikian.

Semua orang yang rasional, pastinya tidak mahu elemen ekstremisme, liberalisme total (termasuklah budaya berbogel atas nama 'naturist') mekar di negara kita. Ini bukan adat dan budaya kita. Ini bukan asas kehidupan kita.

Jika kita melihat dengan ikhlas, bukan sahaja dengan emosi dan sentimen sempit, kita pastinya boleh menerima hakikat keperluan kita memperkasa sekolah kebangsaan. Kalau kita bersungguh mahu melihat wajah Malaysia yang sentosa dan makmur, inilah permulaannya. Tidak ada jalan lain.   Reezal Merican Naina Merican ialah Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia/Ahli Parlimen Kepala Batas. Utusan/Rencana/20140811

Tags: sekolah
Subscribe

  • Teori asal usul nama Malaysia

    SEBELUM nama Malaysia, negara kita dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu. Selepas merdeka pada tahun 1957, namanya berubah kepada Persekutuan…

  • Penubuhan Malaysia penuh liku dan cabaran

    TARIKH 16 September 1963 adalah detik bersejarah buat negara ini. Ia menjadi realiti kepada gagasan Malaysia yang dicadangkan oleh Tunku Abdul…

  • From Malaya to Malaysia

    Growth and evolution are natural and necessary in any federal set-up. AS we commemorate Malaysia Day, it is important to look back at the mileposts…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments