kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Mantapkan mata pelajaran Sejarah asas patriotisme

USAHA harus dilakukan untuk memantapkan lagi mata pelajaran sejarah di peringkat sekolah menengah bagi mengukuhkan semangat patriotisme dalam kalangan pelajar. Sejarah harus difahami, dihayati dan bukan dihafal atau mengingat fakta.

Mempelajari sejarah bangsa dan negara adalah teras kepada pembentukan jati diri dan asas kepada patriotisme serta cintakan negara. Pada bulan kemerdekaan ini, isu berkaitan sejarah sewajarnya menjadi perkara penting untuk diingati.

Tinjauan penulis, banyak faktor yang menyebabkan pelajar di peringkat sekolah menengah tidak berminat mempelajari sejarah. Menurut seorang guru Sejarah yang berpengalaman mengajar subjek itu selama 25 tahun mengatakan antara faktor tersebut adalah;

Pertama, pelajar belajar sejarah menghayati dan memahami jalur sejarah bangsa dan negara. Mereka belajar berkaitan tokoh yang sudah meninggal dunia dan pelajar tidak mengenali mereka.

Kedua, mereka sering bertanya, apabila lepas sekolah kerja apakah yang mereka boleh dapat melalui belajar sejarah? Adakah dapat menjamin untuk menjadi pakar Sejarah atau pakar Arkeologi berbanding mata pelajaran lain seperti Sains dan Matematik yang menjanjikan peluang pekerjaan yang lebih baik.

Ketiga, banyak perkara yang terpaksa dibaca dan dihafal sebagai contoh, tingkatan satu ada 8 bab, tingkatan dua, ada 10 bab, tingkatan tiga, ada 7 bab, tingkatan empat ada 10 bab dan tingkatan lima ada 9 bab. Jumlah bab ialah 44 bab.

Keempat, semasa di tingkatan satu hingga tiga ada projek atau folio yang terpaksa dibuat oleh pelajar sedangkan markah tidak dikira dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Sekurang-kurangnya berikan markah sebanyak 10 markah.

Kelima, tingkatan empat dan lima tiada projek atau folio. Pelajar terpaksa membaca dan menghafal 19 bab sedangkan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), hanya dua soalan yang perlu dijawab oleh pelajar.

Sementara menurut beberapa pelajar ketika ditanya tentang subjek Sejarah, kebanyakan pelajar tidak minat belajar sejarah disebabkan beberapa faktor. Antaranya adalah;

Pelajar sukar untuk mengingat fakta yang banyak, fakta yang diajar kurang diminati. Buku teks tidak menarik dibaca menyebabkan sukar untuk diingati. Subjek Sejarah hanya memerlukan kekuatan ingatan pelajar.

Menurut mereka antara faktor lain adalah cara pengajaran dan pembelajaran (P&P) guru Sejarah tidak membantu untuk pelajar mengingati fakta. Fakta yang diingati tidak digunakan dalam kehidupan masyarakat. Pelajar merasakan subjek sejarah membosankan dan membuang masa.

Selain itu, kebanyakan pelajar tidak minat dalam Sejarah kerana mereka tidak mengetahui manfaat mempelajarinya. Bahan P&P tidak menarik dan membosankan. Pelajar berasa dipaksa mempelajarinya kerana subjek teras. Mereka juga mengambil masa terlalu lama untuk mempelajarinya.

Beberapa cadangan diberikan antaranya, menggubal semula sukatan pelajaran Sejarah sedia ada. Kaedah, teknik dan pendekatan yang lebih sesuai terkini dan mudah difahami oleh pelajar melalui P&P Sejarah.

Sebelum Subjek sejarah diajar di tingkatan satu, guru sejarah mestilah menekankan kepentingan sejarah sebagai ilmu yang dapat memperkukuhkan jati diri, akar bangsa dan semangat patriotisme. Selain itu, buku teks baharu yang lebih menarik dengan pelbagai gambar, keterangan dan peristiwa penting.

Buku teks Sejarah yang berwarna dan menggunakan point form fakta-fakta penting dan bukan dalam bentuk karangan yang membosankan. Buku-buku sejarah atau novel yang bersifat kreatif seperti menceritakan detik-detik kemerdekaan, para pejuang kemerdekaan patut diterbitkan lebih banyak.

Guru Sejarah diberi kursus untuk teknik pengajaran kerana P&P guru Sejarah kurang berkesan memberikan penghayatan dan pemahaman sejarah tanah air kepada para pelajar. Setiap guru mestilah menggunakan pelbagai kaedah seperti aplikasi teknologi maklumat (IT) dan P&P terkini seperti kaedah multimedia dalam pendidikan yang menggabungkan teks, kesan bunyi, vokal, muzik, filem, animasi, video berserta perisian komputer yang interaktif.

Proses P&P akan menjadi lebih menarik, iaitu interaktif antara guru dan murid, interaktif guru dengan bahan pengajaran, interaktif murid dengan bahan pengajaran dan interaktif murid dengan murid. Sesekali lakukan interaktif tokoh sejarah dengan murid di sekolah.

Subjek sejarah boleh dimulakan di peringkat sekolah rendah iaitu pada tahun tiga, empat, lima dan enam serta dimasukkan dalam peperiksaan Ujian Penilaian dan Pentaksiran tahun enam pada masa akan datang.

Menurut Unit Komunikasi Korporat Kementerian Pendidikan, pihak kementerian memang bertegas menjadikan mata pelajaran Sejarah sebagai teras dan wajib dipelajari oleh pelajar secara berterusan bermula dari tingkatan satu hingga lima pada peringkat sekolah menengah. Kini mata pelajaran Sejarah adalah mata pelajaran wajib lulus di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Kurikulum sejarah dilaksanakan di sekolah ketika ini digubal dengan memberi penekanan kurikulum sejarah pada peringkat sekolah menengah rendah. Ia mestilah mempunyai kesinambungannya pada peringkat sekolah menengah atas supaya asas pengetahuan, nilai patriotisme, kemahiran sejarah dan pengalaman yang diperoleh dapat diperkukuh lagi.

Justeru, Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM) menegaskan kesepaduan unsur pengetahuan, peningkatan daya intelek, pemupukan nilai murni dan perkembangan kemahiran belajar. Sehubungan itu, kurikulum Sejarah yang sedang dilaksanakan ketika ini, diberikan penekanan berasaskan kesepaduan dan kesinambungan.

Di samping pengetahuan sejarah, konsep dan kemahiran asas disiplin sejarah seperti pemikiran sejarah dan unsur patriotisme diperkukuh dalam proses P&P. Dalam usaha melahirkan generasi yang dapat memenuhi matlamat dan aspirasi negara, pendekatan P&P Sejarah menjurus kepada pemupukan pemikiran sejarah di kalangan pelajar di samping kandungan kurikulum sejarah.

Apa yang paling penting pelajar dapat menghayati dan memahami jalur sejarah bangsa dan negara sebagai asas membina jati diri, ke arah pembinaan negara bangsa dan semangat patriotisme.   DR. AMINUDIN MANSOR pengamal media dan bekas pendidik cemerlang. PhD Persuratan Melayu, UKM. Utusan/Rencana/20140812

Tags: sejarah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments