kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Projek Persekutuan tidak Islamik?

MENARIK mendengar secebis pengalaman Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Syukri Mohd. Salleh semasa beliau berjumpa dengan seorang tukang kayu di satu majlis penyampaian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di Kelantan.


Menurutnya, lelaki itu merungut kerana kononnya terpaksa menunggu lama hanya untuk mendapat pemberian berjumlah RM500. Proses semakan pendaftaran dan sedikit taklimat pada majlis berkenaan mengambil masa kira-kira dua jam.

Semasa merungut itu Syukri datang menyapa lelaki berkenaan: "Pak Cik ini kerja apa? Dalam satu hari biasanya berapa Pak Cik dapat?"

Lantas lelaki itu menjawab: "Ambo kerja menukang (tukang kayu)…dalam sehari tu dapatlah dalam RM50 hingga RM60..."

Lalu Syukri menyampuk: "Kalau macam itu tak jadi masalahlah. Pak Cik kerja sehari makan masa sembilan atau 10 jam dapat RM50 atau RM60, tapi tunggu sini hanya kira-kira dua jam dapat RM500…" Lelaki itu terus diam.

Moral dari cerita ringkas di atas ialah betapa ada pihak hanya pandai merungut tanpa berfikir jauh. Sama seperti sesetengah pihak atau rakyat Kelantan yang terus-terusan menganggap negeri itu kononnya dipinggirkan oleh Kerajaan Persekutuan dalam penyaluran bantuan dan pembangunan ke negeri itu.

Malah ada yang menuduh pembangunan Kerajaan Persekutuan di Kelantan konon tidak Islamik, mementingkan kroni, sekadar projek cari makan dan macam-macam. Yang menyebut demikian bukan sekadar rakyat biasa tetapi termasuk para pemimpin Pas negeri.

Penulis mendapat cerita di atas semasa mengikuti seminar "Pembangunan Persekutuan di Kelantan Dari Perspektif Islam" pada 2 Ogos lalu. Syukri adalah salah seorang pembentang kertas kerja pada seminar itu.

Sekali imbas tajuk seminar ini agak 'klise'. Tajuk yang sering diperkatakan. Namun berada di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kelantan di Kota Bharu itu benar-benar memberikan banyak maklumat. Bahawa Kelantan bukan sebagaimana negeri Kelantan yang ada tanpa bantuan berterusan kerajaan Persekutuan sejak diperintah Pas tahun 1990 lalu.

Hampir keseluruhan pembangunan yang terdapat di Kelantan ketika ini disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan. Mencakupi pembangunan prasarana seperti jalan, bekalan elektrik, air sehinggalah kepada pembinaan sekolah, hospital, klinik, masjid, surau, membaiki pasar sehinggalah kepada pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Projek Jambatan Kedua Sultan Yahya Putera, Projek Jalan Bertingkat di Pasir Hor Kota Bharu dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Di Tunjung, dekat Kota Bharu terdapat Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC). Kos pembinaannya lebih RM140 juta. Kini ia merupakan RTC paling berjaya selain di Gopeng, Perak. Ramai yang berniaga hasil-hasil tempatan dan ramai pula yang datang membeli di situ.

Sekitar kompleks RTC Tunjung terdapat pejabat-pejabat agensi Persekutuan seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Imigresen, Polis Diraja Malaysia, Klinik 1Malaysia dan lain-lain.

Sementara itu di luar kompleks terdapat Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat Negeri, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG), Audit Negara, Mahkamah Syariah dan Pejabat Pelajaran Negeri.

Mengamati pembentangan Syukri, pendek kata sebut saja apa jua projek di Kelantan hampir keseluruhannya dibiayai Kerajaan Persekutuan. Kebanyakannya dibina dalam peruntukan Rancangan Malaysia kesembilan (RMK-9) dan RMK-10. Tidak perlu dinyatakan kos bagi setiap projek. Namun secara kasar menurut Syukri, sebanyak 1,400 projek dilaksanakan di bawah RMK-9 di Kelantan dengan peruntukan RM6.1 bilion. Sementara sebanyak 593 projek dilaksanakan dalam RMK-10.

Itu pun belum termasuk projek membaik pulih bulatan Medan Tuan Padang di Bandar Kota Bharu yang heboh baru-baru ini dengan pokok-pokok kurmanya berbuah. Di samping ada pihak yang menguar-uarkan kononnya berbuahnya pokok-pokok kurma itu ada kaitan dengan bumi Kelantan yang subur di bawah pemerintahan yang ada, rupa-rupanya projek itu dibiayai kira-kira RM1 juta oleh Kerajaan Persekutuan.

Malah projek membina laluan pejalan kaki pun dibiayai Kerajaan Persekutuan. Tujuannya bagi mengatasi jenayah ragut. Termasuk juga projek pencahayaan bandar dan membina taman-taman rekreasi.

Itu pun belum disebut imbuhan bulanan untuk para Imam, Bilal dan pekerja masjid-masjid yang dihulurkan Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) melalui Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK). Turut mendapat imbuhan para penggerak dan tenaga pengajar agama.

Tidak dilupa kalangan mereka yang daif dan yang memerlukan bantuan. Mereka dibantu sama ada secara tunai mahupun dibekalkan peralatan dan sumber sokongan agar mereka mampu berdikari. Bantuan disampaikan melalui pelbagai skim oleh jabatan dan agensi Persekutuan.

Senator Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki pula bercakap mengenai pembangunan dalam konteks Islam. Berasaskan nas-nas yang sahih, beliau merumuskan segala projek pembangunan yang bermatlamat mensejahterakan kehidupan insan adalah selaras dengan tuntutan Islam.

Malah mana-mana pemerintah dituntut merancang dan melaksanakan pembangunan demi kesejahteraan rakyat. Ia tidak memadai sekadar doa dan ceramah. Ia membabitkan amanah dan tanggungjawab. Pemimpin adalah mandat rakyat.

Islam menggalakkan penjanaan ekonomi bagi merangsang kehidupan makmur dan selesa yang memungkinkan ummah beribadat dan beramal bakti demi kesejahteraan dunia dan akhirat. Islam menyarankan umatnya melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan. Islam juga menggesa umatnya mementingkan penjagaan kesihatan dan mengelak dari sebarang hal yang memudaratkan.

Ertinya segala projek pembangunan yang dilaksanakan Kerajaan Persekutuan ternyata menepati kehendak Islam. Misalnya menduduki rumah yang selesa tentu saja menjadi asas pembinaan institusi keluarga yang sejahtera.

Segala kemudahan prasarana yang disediakan pula sudah tentu mendorong kepada kegiatan kehidupan yang aktif serta bergerak maju. Jadi tidak perlu timbul istilah 'tidak Islamik', melainkan sekadar melayan sentimen politik bagi mengalih sokongan rakyat terhadap kerajaan Persekutuan. Semata-mata untuk kepentingan politik.

Dr. Asyraf mengajak rakyat negara ini bersyukur kerana Islam berkembang subur di Malaysia. Banyak dunia Islam ingin mencontohinya. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah dijemput membentangkan pengalaman Malaysia dalam mengurus tadbir negara termasuk memajukan bidang ekonomi pada Persidangan Ekonomi Negara-Negara Islam di Mesir.

Menjawab satu soalan daripada audien, Dr. Asyraf berpendapat, antara rahsia kerajaan negeri di bawah pembangkang dapat mengekal kemenangan ialah dengan menentukan 'parti menguasai kerajaan', sementara pendekatan kerajaan di bawah Barisan Nasional (BN) lebih terbuka dan terlalu demokratik.

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Kelantan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dalam ucapan penutup seminar itu mengakui, rakyat Kelantan tidak diperjelaskan dengan tepat dan menyeluruh tentang projek-projek Persekutuan di Kelantan.

Ekoran itu masih terdengar pelbagai tohmahan negatif rakyat Kelantan terhadap projek pembangunan serta bantuan dan kebajikan yang dihulurkan Kerajaan Persekutuan dari semasa ke semasa.

Bagi Mustapa, adalah tidak adil jika harga bagi segala sumbangan Kerajaan Persekutuan hanya dibayar dengan cemuhan dan penafian secara berterusan. Sedangkan katanya, Islam sendiri menegah umatnya menafikan perkara-perkara baik yang disumbangkan oleh orang lain kepada kita.

Sebenarnya masih banyak sudut yang perlu 'dirungkai'. Persoalan tentang persepsi dan penerimaan rakyat Kelantan terhadap sumbangan Kerajaan Persekutuan perlu dicari jawapan secara tepat dan jujur.

Barangkali wajar jika difikirkan kemungkinan mengadakan satu seminar khas semata-mata untuk mengkaji kenapa rakyat Kelantan sukar menyokong Kerajaan Persekutuan meskipun mereka sedar Kelantan ketinggalan tanpa bantuan Kerajaan Persekutuan.

DATUK SAYUTI MUKHTAR ialah Felo Pemikir Jabatan Hal Ehwal , Kementerian Komunikasi  dan Multimedia Malaysia. Utusan/Rencana/20140812

Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments