kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Selamat tinggal Mrs Doubtfire

Sebutir lagi bintang dalam arena lakonan antarabangsa meninggalkan dunia hiburan. Satu kehilangan yang cukup besar apabila semalam dilaporkan pelawak dan aktor handalan Robin McLaurin Williams atau popular dengan nama pentasnya Robin Williams, 63, dijumpai mati di kediamannya di Tiburon, California, Amerika Syarikat (AS), 11 Ogos lalu.

Meskipun penyiasatan terhadap punca sebenar kematian aktor itu masih dijalankan, Robin disyaki meninggal dunia akibat sesak nafas selain kemungkinan membunuh diri.

Bertindak selepas menerima panggilan kecemasan 911 pada sekitar jam 2.55 petang semalam (11.55 pagi waktu California), pihak pejabat Syerif yang bergegas ke kediamannya mengesahkan dia sudah tidak bernyawa pada jam 3.02 petang (12.02 tengah hari waktu California).

Memulakan kariernya sekitar 1972 dan meledak menerusi siri rancangan Mork & Mindy, aktor itu pernah berhadapan krisis ketagihan alkohol dan dadah pada awal kariernya sehingga 1983. Dia kemudian berhenti mengambilnya pada 1983 selepas kelahiran anak sulungnya.



MERANGKUL Oscar bersama Matt Damon (kiri) dan Ben Afflack menerusi Good Will Hunting.
Bagaimanapun, aktor itu pernah mengaku sewaktu bekerja di Alaska pada 2003, dia kembali minum alkohol selepas merasa kesepian dan ketakutan dengan harapan ia dapat mengurangkannya. Selama tiga tahun ketagihan alkohol semula, keluarga menghantarnya ke pusat pemulihan dan Robin mengakui sangat malu dengan dirinya sendiri malah pernah diwawancara David Letterman.

Selama lebih 40 tahun menghiburkan dunia dengan bakat luar biasanya, siapa sangka di sebalik keletahnya sepanjang tempoh waktu itu Robin sebenarnya sentiasa rasa kesunyian. Sekarang, tiada lagi senda tawa untuk dikongsikan dengan peminat di seluruh dunia.




ROBIN dikenali melalui Mork & Mindy pada 1978.


Siapa dapat melupakan pelbagai watak hebat lakonannya yang berjaya meninggalkan impak serta menyentuh hati satu dunia. Daripada Mork & Mindy, Jumanji, meminjam suara untuk Peterpan sehinggalah menjadi watak nenek sebagai Mrs Doubtfire, aktor itu memang satu dalam sejuta dan tidak akan ada penggantinya. Kehebatan karakter Mrs Doubtfire menyebabkan industri perfileman lain termasuk di India meminjam watak itu kedalam karya mereka.

Sepanjang pembabitannya, berdasarkan lakonan hebatnya, pelbagai pengiktirafan sudah pernah digondolnya termasuk menyinar pada acara anugerah paling berprestij Oscar. Pada 1998, dia berjaya merangkul trofi Aktor Pembantu Terbaik menerusi lakonannya dalam filem Good Will Hunting arahan Gus Van Sant dan dibintangi bersama Ben Affleck dan Matt Damon.

Belum campur lagi pencalonannya yang tidak terkira dan meskipun Robin terlepas banyak trofi, dia terus mengabadikan dirinya memberikan lakonan luar biasa.

Walaupun dia lebih diraikan menerusi karier lakonannya, Robin sememangnya mempunyai hati yang cukup murni dan mengutamakan acara kebajikan. Dia turut menjadi pelopor Comic Relief yang bertindak mengutip derma membantu golongan gelandangan menerusi konsert.




WATAK lagenda lakonan Robin yang disenangi seisi keluarga.

Inisiatifnya itu ternyata menyentuh hati pelbagai darjat termasuk Presiden AS, Barack Obama yang menyifatkan bakat serta keluhuran hatinya tiada tandingan.

Pastinya paling terkesan dengan pemergian itu adalah isterinya, Susan Schneider yang dikahwini pada 2011. Robin adalah segala-gala baginya dan kehilangan itu meremukkan hatinya.

“Saya kehilangan suami dan kawan baik di kala satu dunia kehilangan seorang artis yang sangat disayangi. Hati saya betul-betul remuk. Mewakili keluarga Robin, saya minta jasa baik semua pihak untuk memberikan ruang privasi kepada kami.




ANTARA siri terakhir lakonannya, The Crazy Ones.

“Kenanglah Robin dan saat-saat indah yang pernah dikongsikannya pada dunia,” katanya.

Menjadi bapa kepada aktres Zelda Williams, menerusi pos terakhirnya di akaun Instagram, Robin sempat memberikan penghormatan buat anak perempuannya itu. Turut menjadi seorang yang sangat gilakan permainan video, aktor itu menamakan anaknya sempena karakter dalam satu permainan video popular.

Siri TV terakhir lakonannya, The Crazy Ones manakala filem lain yang turut dibintanginya termasuklah Good Morning, Vietnam, Dead Poets Society, The Fisher King, Night at the Museum, The Face of Love, Night at the Museum: Secret of the Tomb, Merry Friggin’ Christmas dan Happy Feet 2.




myMetro RAP  2014/08/13
Tags: tokoh
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments