kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Keberkesanan pemantau integriti wajar disemak

Integriti adalah elemen penting dalam semua bidang kehidupan. Ia berkaitan kewibawaan, keutuhan dan kejujuran serta etika kehidupan dan prinsip moral yang tinggi. Masyarakat mempunyai budaya integriti tinggi membawa kepada pembinaan negara yang kukuh dan teguh.

Justeru, pada April 2004 kerajaan melancarkan Pelan Integriti Nasional (PIN) dengan tujuan mencapai matlamat cabaran keempat Wawasan 2020 bagi membentuk sebuah masyarakat yang kukuh moral dan etikanya berasaskan nilai keagamaan serta kerohanian yang utuh dengan budi pekerti yang luhur.

Untuk menjayakan usaha membina masyarakat berintegriti tinggi ini, kerajaan menubuhkan Institut Integriti Malaysia (IIM). Ia ditubuh untuk menyelaras dan memantau pelaksanaan PIN. Fokus utama ialah memberi penekanan kepada mempertingkat tahap integriti dalam sektor awam dan swasta. Pelaksanaan PIN turut diperluas kepada amalan tadbir urus korporat lebih baik.

Matlamat utama ialah menghapuskan ruang melakukan rasuah, mengurangkan pembaziran, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa, sekali gus meningkatkan ketelusan dan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam, swasta dan korporat. Ia akan menjadikan Malaysia lebih berdaya saing dan dapat menarik keyakinan pelabur asing untuk melabur di negara ini.

Perhebat banteras rasuah

Di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak usaha perangi rasuah dijadikan antara Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), iaitu inisiatif penting Program Transformasi Kerajaan (GTP). Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah agensi utama menjayakan NKRA memerangi rasuah.

SPRM terus memperhebat usaha menangani rasuah. Penguatkuasaannya berdasarkan kepada tindakan mencegah, memperbetul kesalahan dan menghukum pesalah sebagai pengajaran kepada orang lain. Ia juga bekerjasama dengan semua pihak, terutama agensi berisiko tinggi dalam usaha menangani amalan rasuah dan salah guna kuasa.

Kerjasama juga dipertingkat dalam kalangan dan antara agensi kawal selia. Untuk itu, SPRM jalankan tapisan keutuhan ke atas anggota utama sektor awam dan swasta bagi kenaikan pangkat, penganugerahan bintang oleh Kerajaan Pusat dan negeri serta lantikan ke jawatan penting.

Usaha memperkukuh integriti ini turut diperluas ke sektor swasta dan badan korporat. Untuk itu, semakan semula undang-undang dan peraturan, memperketat penguatkuasaan serta menetapkan keperluan pengarah syarikat menghadiri Program Akreditasi Mandatori dan Program Pendidikan Berterusan dilaksanakan.

Bagi mewujudkan pasaran modal yang cekap dan teguh, Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Malaysia menggubal rangka kerja tadbir urus korporat bagi syarikat disenaraikan di Bursa Malaysia. Ia meliputi penubuhan jawatankuasa audit bebas oleh syarikat untuk memastikan pengurusan kewangan berhemat dan telus.

Tadbir urus korporat dalam sektor kewangan juga ditingkatkan menerusi kajian semula ke atas rangka kerja tadbir urus korporat untuk institusi kewangan oleh Bank Negara Malaysia. Piawaian Audit Dalaman Minimum juga digubal sebagai panduan dan ukuran prestasi audit dalaman serta menambah baik keberkesanan operasi institusi kewangan.

Perluas kempen, program

Suruhanjaya Syarikat Malaysia turut mempergiat aktiviti pengawasan dan kempen kesedaran untuk memastikan pematuhan peruntukan Akta Syarikat 1965 dan Akta Pendaftaran Perniagaan 1956. Langkah juga diperkenal untuk memperkukuh etika perniagaan yang baik dalam sektor korporat, industri dan peniaga membabitkan kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan seperti Institut Tadbir Urus Korporat Malaysia, Institut Etika Perniagaan Malaysia dan Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia.

Namun, kita mengharapkan ada usaha memantau dan menyemak sejauh mana usaha dilakukan badan terbabit, terutama dalam perniagaan mencapai matlamatnya. Ini memandangkan kebelakangan ini banyak isu membabitkan soal ketidakjujuran syarikat menghasilkan produk, terutama produk halal.

Kesimpulannya, PIN berjaya meningkatkan integriti dalam semua sektor masyarakat. Untuk meningkatkan amalan integriti dalam kalangan masyarakat, PIN perlu memperluas kempen kesedaran dan program pendidikan supaya nilai integriti menjadi sebahagian cara hidup dan budaya kita. SPRM sebagai badan penguatkuasaan penting mesti terus dilengkapkan dengan teknik terkini bagi meningkatkan keupayaan dalam bidang pencegahan, pengawasan dan sains forensik.     Mohd Ayop Abd Razid ialah Penganalisis Media Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan Malaysia Berita Harian Kolumnis Jumaat, 15 Ogos 2014 @ 5:02 AM

Tags: integriti
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments