kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Semua pihak perlu positif

MELIHAT kepada isu terbaharu mengenai penambahan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) yang dibangkitkan sesetengah pihak kebelakangan ini, saya terpanggil untuk memberikan pendapat.

Dalam konteks perpaduan nasional dan usaha memartabatkan negara bangsa, saya melihat cadangan yang dikemukakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim ini amat wajar sekali.

Walaupun reaksi yang diterima daripada cadangan ini bercampur-campur, namun realitinya semua pihak harus berlapang dada dan berfikiran positif atas niat sebenar yang ingin disampaikan oleh Razali.

Harus ditekankan di sini bahawa cadangan itu tidak pun menyatakan tentang penutupan SJKC yang sedia ada. Jadi, tidak timbul langsung isu tentang cubaan menghapuskan pendidikan vernakular dari sistem pendidikan Malaysia.

Apa yang ditekankan adalah usaha untuk memupuk semangat perpaduan dan sikap toleransi antara kaum yang perlu dipupuk seawal usia kanak-kanak.

Realiti yang berlaku sekarang adalah seakan wujud pengasingan antara kaum akibat dari pengasingan sistem pendidikan ini. Berdasarkan pengalaman zaman persekolahan saya sendiri, saya melihat kebenaran yang membuatkan Datuk Razali mengutarakan cadangan ini.

Ketika di zaman persekolahan di Kuala Lipis, Pahang, bersekolah rendah yang turut menempatkan pelajar Orang Asli yang tinggal di asrama kelolaan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA), kami tiada masalah langsung untuk belajar, bermain, bersukan bersama.

Begitu juga dengan pelajar-pelajar kaum Cina dan India. Ketika melangkah ke sekolah menengah, tingkatan satu hingga tiga, masalah ini juga tidak timbul. Hubungan antara rakan-rakan berlainan kaum seperti tiada tembok pemisah dan boleb bergaul mesra. Namun apabila melangkah ke tingkatan empat, 'tembok' ini mula kelihatan.

Ketika itu, SJKC hanya mempunyai kelas sehingga tingkatan tiga. Jadi selepas tingkatan tiga, pelajar-pelajar ini perlu menyambung tingkatan empat di sekolah kebangsaan.

Namun, pelajar-pelajar ini kelihatan kekok untuk bergaul bersama kaum-kaum lain, terutamanya kaum Melayu yang merupakan kaum majoriti di sekolah kebangsaan.

Mereka lebih selesa bargaul bersama rakan-rakan dari sekolah lama mereka. Jika ada yang boleh bergaul dengan kaum lain pun, hubungan itu tidak sama berbanding rakan-rakan kaum lain yang telah lama berada di sekolah kebangsaan.

Dilihat dari permukaan, memang seolah-olah tiada apa kepincangan, namun di dasarnya, jurang pemisah itu wujud.

Ketika itu, kami sendiri tidak ambil kisah tentang keadaan ini. Namun seiring peredaran masa dan peningkatan tahap kesedaran serta kematangan, saya melihat isu ini perlu ada titik noktahnya.

Bukan saya bersikap perkauman, kerana nenek saya juga adalah Cina mualaf. Apa yang di harapkan semua pihak dapat melihat isu ini dari sudut positif akan objektifnya dalam menjayakan agenda nasional.

Jika tujuan SJKC adalah untuk memberikan kemahiran bahasa ibunda agar tidak dilupakan generasi kini, saya berpendapat tiada masalahnya mata pelajaran bahasa ini diajar di sekolah kebangsaan.

Begitu juga pendedahan budaya juga boleh diterapkan melalui penubuhan kelab-kelab budaya di sekolah kebangsaan. Saya amat yakin ini juga akan menarik kaum lain untuk turut sama menyertai kelas dan kelab ini untuk sama-sama berkongsi budaya rakyat Malaysia.

Oleh itu, saya amat berharap agar isu tidak dilihat dari sudut kepentingan sesebuah kaum sahaja. Perspektifnya haruslah lebih luas di luar kepentingan kaum masing-masing. Kita mahu bangsa Malaysia yang mampu bergerak ke hadapan memacu negara tercinta ini tanpa ada sikap prejudis sesama sendiri.

Cukuplah bilangan SJKC yang sedia ada. Perkasakan sekolah-sekolah kebangsaan untuk turut menampung keperluan kaum-kaum ini juga. Cukup-cukuplah selama ini corak pemikiran kita tertumpu atas kepentingan kaum sendiri sahaja. Kini masa untuk bergerak sebagai satu bangsa.   Norhisham Rasli Shah Alam   Utusan/Forum/20140814

Tags: sekolah
Subscribe

  • Langkah Kajang', langkah malang

    ARENA politik pasti mencatatkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang sebagai 'satu sejarah hitam' dalam politik negara. Bermula…

  • Demokrasi PKR yang tercalar

    Aduan Bantahan Pemilihan Paling Banyak Dalam Sejarah Politik Malaysia Jika pada pemilihan lepas terdapat 160 aduan rasmi daripada ahli dan…

  • All-out war for the big post

    The earth has been rumbling under the feet of Tan Sri Khalid Ibrahim as speculation grows that Selangor may soon be getting a woman Mentri Besar.…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments