kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Graduan AS pilih bisnes kumpul sampah

DI rumah kita, pasti ada barang-barang kitar semula seperti botol minuman, surat khabar lama, perkakasan elektrik ataupun besi-besi ampaian yang tidak lagi digunakan.

Apabila memikirkan barang-barang tersebut mencacatkan pandangan di rumah, maka adalah lebih baik ia dijual kepada pembeli barang kitar semula. Ini kerana setiap kilogram plastik, kertas dan besi mempunyai nilai tersendiri. Hasilnya pasti memuaskan hati.

Itulah permulaan perniagaan oleh seorang usahawan iaitu Sivanandan Samuel, 31, yang telah mengusahakan sebuah pusat membeli barang-barang kitar semula di Rawang dan Banting, Selangor.

Menurut Pengarah Urusan Crest Care Recycling Sdn. Bhd. itu, kira-kira 17 tahun lalu, dia hanya mengumpul barang kitar semula untuk dijual sebagai pendapatan utamanya selepas meninggalkan kerjaya asalnya di sebuah syarikat hartanah.


Sivanandan menunjukkan barang-barang yang baharu diterimanya dan ia akan diproses terlebih dahulu sebelum dijual kepada industri.

"Perniagaan barangan kitar semula ini diinspirasikan oleh bapa saudara saya yang telah memulakannya dahulu.

"Melihat perniagaannya menguntungkan, saya mengikut jejak langkahnya dengan meninggalkan kerjaya pertama selepas tamat pengajian di Amerika Syarikat (AS).

"Saya memulakan bisnes ini dengan mengumpul kotak, surat khabar lama, besi-besi terbuang dan plastik-plastik yang tidak digunakan lagi," katanya kepada S2 di premisnya di Rawang.

Tambahnya lagi, bapa saudaranya, Rajendran Subramaniam, 51, banyak mengajarnya tentang selok-belok perniagaan barangan kitar semula yang berbeza harganya mengikut gred-gred tertentu.

"Selepas sekian lama berkecimpung dalam perniagaan ini, saya bersama bapa saudara kini menumpukan sepenuhnya dalam perniagaan barangan plastik kerana harga dan permintaannya di pasaran adalah tinggi.

"Selain itu, plastik juga adalah bahan terbuang yang mudah diperoleh. Ia mempunyai pelbagai kategori seperti jenis tahan panas, mudah lentur, keras dan sebagainya.

"Contohnya Polyethylene Terephthalate (PETE), iaitu jenis plastik untuk botol minuman dan High Density Polyethylene (HDPE) yang digunakan untuk membuat perkakasan tahan panas seperti cerek dan sebagainya. Bahan-bahan tersebut dapat dijual pada harga RM1.20 hingga RM1.80 sekilogram.

"Jenis plastik itu paling mudah diperoleh sama ada dari rumah ataupun tapak pelupusan sampah," jelasnya sambil menunjukkan plastik-plastik yang telah dibungkus mengikut gred.

Sambil menceritakan jenis-jenis plastik yang lain, Sivanandan turut mengakui bisnes kitar semula ini mampu menjana pendapatan yang tinggi pada setiap bulan.

"Masa saya mula berjinak-jinak dengan perniagaan ini, hasil bulanan yang diperoleh pada waktu itu sekitar RM1,000 hingga RM2,000. Kini, perniagaan tersebut mampu menjana pendapatan bersih sehingga RM35,000 sebulan.

"Syarikat ini mempunyai target tersendiri setiap bulan iaitu berat plastik untuk dijual mesti mencapai sekurang-kurangnya dua tan metrik.

"Untuk mencapai sasaran tersebut, kami akan membeli dalam skala besar dari premis atau kilang yang ingin menjual barang-barang pengeluaran plastik mereka yang rosak.

"Selain itu, kami turut membeli barang-barang yang dihantar sendiri oleh mana-mana individu ke premis ini," katanya. Utusan/Rencana/20140816

Subscribe

  • hasil hebat komunikasi

    Bagi pendidik, mereka seharusnya mengetahui nilai komunikasi yang hebat: Mereka harus berkomunikasi secara berkala dengan pelajar untuk…

  • Berkomunikasilah dengan baik

    Apabila kita menyampaikan sesuatu maklumat atau menerima arahan, sering dimaklumkan untuk kita berkata ‘ya, baiklah atau akan di…

  • Bagaimana pemimpin terbaik perlu berkomunikasi?

    Peranan seorang pemimpin telah berkembang sejak sedekad yang lalu. Pemimpin biasanya melibatkan ‘penyokong’ mereka untuk melakukan…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments