kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Lagi lumayan berbanding kerja kampung

DI atas tapak seluas ratusan hektar, sambil dikelilingi bau kurang menyenangkan dan cuaca panas terik, terdapat sebilangan insan giat mengutip sampah yang boleh dikitar semula untuk dijual.

Sambil menggalas tong besar di belakang badan, mereka kelihatan terbongkok-bongkok mengutip botol-botol dan sisa-sisa buangan plastik yang boleh dijual di pusat pungutan barang kitar semula.

Itulah pekerjaan dilakukan oleh salah seorang pekerja yang hanya mahu dikenali sebagai Wak Karman, 35, di sebuah tapak pelupusan sampah di Selangor.

Beliau yang berasal dari Banting sebelum ini melakukan kerja-kerja kampung sebagai sumber rezeki, tetapi setelah menyedari harga barang-barang kitar semula seperti kertas, besi, plastik dan besi semakin mahal, lantas beliau melakukan kerja-kerja mengutip bahan tersebut untuk dijual.


PARA pekerja berteduh seketika sebelum menyambung semula kerja-kerja mengutip barang-barang yang boleh dijual untuk dikitar semula.

Menurut Wak Karman, jika bergantung kepada kerja-kerja kampung sahaja, memang tidak akan dapat menampung perbelanjaan keluarga.

"Kalau sebelum ini, upah mengait kelapa sawit sahaja setiap bulan baharu RM600 hingga RM700. Dengan wang sebanyak itu, memang agak susah sedikit saya hendak tampung keperluan keluarga dan anak-anak yang masih bersekolah.

"Tetapi, sejak empat tahun lalu, saya buat kerja-kerja mengutip barang-barang kitar semula untuk dijual. Dapatlah menambah pendapatan sebulan dan paling banyak boleh dapat sehingga RM800.

"Saya bersyukur kerana dengan pendapatan tambahan inilah, saya mampu menyediakan keperluan keluarga yang lebih selesa, lebih-lebih lagi bila tiba musim perayaan seperti sekarang. Mesti kena cari duit lebih sikit," katanya ketika ditemui S2 pada bulan Ramadan lalu.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan bahawa harga bahan kitar semula tersebut adalah lebih tinggi berbanding menjual kelapa sawit.

"Yalah.., kalau jual satu tan kelapa sawit dalam sebulan, saya hanya peroleh sekitar RM400, tetapi jika saya jual barang kitar semula seperti plastik ini, pendapatannya lebih lumayan. Ini kerana saya dapat kumpul sekitar 50 kilogram sehari dan jual pada harga RM1.20 hingga RM2.00 sekilogram.

"Sebab itulah, ada pasangan suami isteri yang sanggup melakukan kerja-kerja mengutip barang-barang kitar semula ini untuk dijual balik," jelasnya sambil menyusun botol-botol plastik yang telah dikutip.

Tambah beliau lagi, walaupun bau di tapak pelupusan sampah kurang menyenangkan, namun itu bukanlah satu masalah yang besar.

"Mula-mula buat kerja ini dahulu, memanglah tidak tahan dengan baunya yang busuk, lebih-lebih lagi selepas hujan.

"Waktu itu, adalah rasa loya dan pening kepala sebab tak tahan dengan bau sampah. Namun saya fikir kalau ada orang yang lama bekerja dan biasa dengan keadaan di sini, masakan saya tidak mampu pula," selorohnya sambil berehat di pondok buatan sendiri bersama rakan-rakan.

Tidak hanya menjual sampah-sampah yang boleh dikitar semula, beliau turut membawa pulang barang-barang yang berguna dan masih berada dalam keadaan baik.

"Tipulah kalau dalam banyak-banyak sampah ini, tiada barang yang tidak boleh diguna semula. Saya tak faham kenapa barang-barang itu dibuang. Mungkin rakyat Malaysia kaya-raya, sebab itulah barang-barang seperti peti-peti simpanan plastik, tong-tong air kecil dan besar serta barangan lain yang masih berada dalam keadaan elok dibuang.

"Bukan itu sahaja, saya pernah terjumpa gelang emas sewaktu sedang mengutip barang dalam timbunan sampah. Sambil tersenyum lebar, saya menyimpan gelang tersebut dan tidak terfikir pula untuk terus menjualnya sebab emas adalah barang yang sangat berharga dan nilainya semakin lama semakin tinggi. Jadi, saya akan menjualnya bila perlu nanti.

"Setakat ini, baharu sekali saya menemui barang kemas, selain itu, saya hanya menemui barang-barang lain yang masih boleh digunakan," ujarnya mengakhiri perbualan.   Utusan/Rencana/20140816

Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments