KEBIASAANNYA selesai mengemas rumah, barang seperti surat khabar, dokumen lama, botol plastik dan perkakas rumah yang tidak digunakan lagi akan dibuang ke dalam tong sampah. Selepas itu, ia tidak dipedulikan sehingga dikutip pekerja lori sampah untuk dibawa ke tapak pelupusan.
Ketika ramai dalam kalangan masyarakat tidak mempedulikan barang yang sudah berada di dalam tong sampah, lain halnya dengan sekumpulan pekerja di tapak pelupusan sampah.
Kehadiran lori sampah sentiasa dinantikan mereka. Sebaik sahaja lori sampah memuntahkan isi perutnya, berduyun-duyun mereka mengerumuni sampah berkenaan untuk mencari barangan yang boleh dikitar semula dan dijual untuk mendapatkan wang.
Wartawan S2, MOHAMAD ATHIR ISMAIL sanggup meredah lautan sampah di sebuah tapak pelupusan sampah di Selangor untuk menyaksikan sendiri kesungguhan kumpulan berkenaan mencari rezeki di sebalik sampah yang membusuk dan meloyakan.
Melihat kecekalan kumpulan berkenaan mencari rezeki di sebalik bau busuk, lecak sampah dan bahaya dari sudut kesihatan, keadaan itu sebenarnya amat menginsafkan. Namun dari sisi lain, ia turut menerbitkan rasa bimbang memikirkan kemampuan Bumi untuk menampung sampah yang dibuang setiap hari.
Dianggarkan sebanyak 20,000 tan sampah dibuang setiap hari dan jumlahnya semakin bertambah sejajar dengan peningkatan jumlah penduduk, pembangunan dan ekonomi. Pada tahun 2020, jumlah sampah dijangka meningkat sehingga 30,000 tan sehari.
Laporan Khas ini turut melihat potensi bisnes barang terpakai yang dikatakan boleh membantu mengurangkan jumlah pembuangan sampah.
- GAMBAR MOHAMAD ATHIR ISMAIL Utusan/Rencana/20140816