kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Demam kerana hidu bau sampah

JEJAK sahaja kaki ke tanah sewaktu melangkah jalan, berterbangan ratusan ekor lalat cuba menyelamatkan diri daripada dipijak.

Begitulah setiap langkah yang dilalui oleh penulis ketika melawat ke sebuah tapak pelupusan sampah untuk bertemu dengan pekerja-pekerja di sana yang mengutip barang-barang yang boleh dijual untuk dikitar semula.

Usah sebut tentang bau, nasib baik tapak pelupusan ini terletak jauh dari kawasan perumahan sebab ‘aromanya’ memang membuatkan penulis terpaksa menutup hidung.



SAMBIL mengutip sampah-sarap untuk dikitar semula, Anwar menunjukkan jenis plastik seperti botol minuman dan kotak bungkusan yang boleh dijual pada harga yang mahal.

Membayangkan kesukaran untuk berjalan dan bernafas di dalam kawasan yang dikelilingi sampah, bagaimana pula orang yang bekerja di situ dapat bertahan dalam persekitaran yang kurang selesa itu?

Untuk mendengar sendiri cara pekerja membiasakan diri dengan persekitaran di sini, penulis sempat menemubual Anwar Ahmad Jiratun, 23, yang berasal dari Jawa Timur, Indonesia.

Menurutnya, di awal pekerjaannya enam bulan yang lalu, masalah bau menjadi satu cabaran yang besar untuk melakukan kerja-kerja mengutip barang-barang kitar semula.

"Masa mula-mula buat kerja ini, saya memang tak tahan dengan bau busuk dan meloyakan, lebih-lebih lagi waktu selepas hujan.

"Pernah dahulu, saya demam dan pening kepala akibat tidak tahan dengan bau yang tidak menyenangkan ini, lebih-lebih lagi ketika ada lori sampah yang sampai untuk keluarkan sampah. Bila pintu belakangnya dibuka, baunya terus ‘menusuk’ hidung," selorohnya ketika ditemubual S2.

Tambahnya lagi, punca bau itu berasal daripada sampah-sarap yang basah.

"Bila pintu belakang lori sampah itu dibuka, air sampah akan keluar sekali dengan sampah-sarap yang mengandungi sisa-sisa makanan termasuklah najis.

"Waktu itu jugalah, haiwan-haiwan perosak seperti lalat akan datang menghurung sampah-sampah tersebut sehingga menjadikan keadaan dekat situ memualkan," jelasnya menceritakan pengalaman berhadapan bau busuk di tapak pelupusan sampah.

Bagaimanapun, masalah bau kini tidak lagi menganggu rutin kerja Anwar yang mampu mengutip barang-barang untuk kitar semula sehingga 60 kilogram sehari.

"Walaupun bau itu satu cabaran yang besar, namun saya terus cekal menghadapinya demi mendapatkan rezeki yang halal, tambahan pula pendapatan yang diperoleh sangat bergantung kepada usaha pada setiap hari.

"Selain itu, ini sahajalah pekerjaan yang dapat saya lakukan memandangkan saya tidak mempunyai kelulusan yang tinggi dalam pelajaran. Jadi, cukuplah pendapatan sebanyak RM900 sebulan untuk menampung diri dan keluarga.

"Bila saya sedar betapa bernilainya sampah-sampah ini, di rumah saya akan mengasingkan sendiri barang-barang yang boleh dikitar semula untuk dijual," ujarnya sambil meneruskan kerja-kerja mengutip barang-barang kitar semula. Utusan/Rencana/20140816

Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments