kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Akhirnya tersungkur juga

PADA 6 Ogos lalu, perogol bersiri yang lebih dikenali dengan gelaran ‘Rambo Bentong’ akhirnya menerima balasan setelah dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Temerloh kerana membunuh seorang remaja perempuan.

Rabidin Satir, 43, diibaratkan seperti sudah jatuh ditimpa tangga kerana sebelum itu telah dikenakan hukuman penjara 133 tahun dan sebatan 50 kali kerana pelbagai jenayah terkutuk lain yang telah dilakukannya.

Sebahagian hukuman sebat yang telah dijalankan menyebabkan dia berada dalam keadaan lemah dan terpaksa berkerusi roda ketika mendengar hukuman terbaharu dibacakan.

Dia yang berasal dari Kampung Libang Ulu, Tambunan, Sabah dikenali dengan gelaran itu kerana tinggal di hutan sekitar Bentong, Pahang secara bersendirian dan menggunakan pisau Rambo untuk mengugut dan menyerang mangsa.

Seperti Rabidin, terdapat banyak lagi penjenayah lain yang mempunyai gelaran nama yang hebat dan glamor tetapi akhirnya tumpas juga ibarat kata pepatah ‘sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga’. Antara mereka ialah Mona Fandey, Bentong Kali, Botak Chin dan Mat Komando.

Botak Chin

PENJENAYAH yang cukup digeruni, Wong Swee Chin bukanlah seorang yang berkepala botak seperti yang sering disangka banyak pihak apabila mendengar gelaran itu diungkapkan.

Botak Chin sebenarnya merujuk kepada gabungan tiga perkataan dalam dialek Hokkien iaitu ‘Bo Tak Chin’ yang bermaksud Cina tiada kerja.

Swee Chin bukanlah seorang penganggur seperti yang kita sangka, sebaliknya aktif melakukan rompakan ala-Robin Hood di negara ini sekitar 1970-an.




BOTAK Chin sedang diiringi keluar oleh anggota polis dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk dibawa ke Penjara Pudu pada 1980.


Dia seorang yang cukup kejam dan ‘berhati kering’ apabila tidak teragak-agak menembak mati anggota kumpulan sendiri yang disyaki menjadi pengintip polis.

Perlakuannya semakin ganas apabila cuba membunuh Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Deputi Supritendan, S. Kulasingam pada 1975.

Akhirnya setahun selepas itu, dengan maklumat anggota kumpulan itu yang belot, Botak Chin dan konco-konconya berjaya ditangkap polis dalam satu serbuan di sebuah kilang papan di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

Pada 1980, lelaki bujang berusia 27 tahun ini didakwa di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana memiliki senjata api, peluru dan bom tangan. Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman gantung sampai mati.

Walaupun cuba melarikan diri dari penjara sebanyak dua kali, hayatnya tetap berakhir di tali gantung. Hukuman itu dilaksanakan pada 1981 di Penjara Pudu, Kuala Lumpur.

Bentong Kali

GELARAN itu adalah singkatan kepada nama penuh, P. Kalimuthu dan tempat kelahirannya di Bentong, Pahang.

Lelaki panas baran ini amat dikehendaki polis kerana terlibat dengan 16 pembunuhan yang dilakukannya tanpa sebarang sebab termasuk menembak mati seorang penjual roti canai di Taman Tanming Jaya, Kuala Lumpur kerana menegur perbuatannya yang kencing berhampiran rumah mangsa.

Ketua kongsi gelap, Kumpulan 04 turut terlibat dalam banyak lagi kes jenayah lain termasuk mencederakan polis dan mengedar dadah.

Dia yang aktif di sekitar Jalan Klang Lama, Brickfields, Segambut dan Sungei Way juga cukup berani untuk menelefon dan mencabar pegawai polis supaya menangkapnya.

Semua pembunuhan telah dikaitkan dengan Bentong Kali menerusi kelongsong peluru sembilan milimeter daripada pistol Sig Sauer buatan Jerman yang digunakannya.

Bentong Kali, 32, dan dua pengikutnya ditembak mati dalam satu serbuan polis pada pukul 6.30 pagi di sebuah rumah teres dua tingkat di kawasan perumahan elit di Medan Damansara, Kuala Lumpur pada 1993.

Mona Fandey

GELARAN kepada bomoh, Maznah Ismail merupakan gabungan panggilan mesra terhadap dirinya dan nama suaminya, Mohd. Affandi Abdul Rahman.

Sebelum terlibat dengan perbuatan jenayah, Mona mempunyai cita-cita tinggi untuk menjadi artis terkenal di negara ini apabila menerbitkan album bertajuk Diana 1, sempena nama anak perempuannya pada 1987.

Pada 1991, Mona menggemparkan dunia seni tanah air apabila mendakwa menjadi artis pertama di Malaysia membeli sebuah pulau di selatan Thailand dengan harga RM5.8 juta untuk dijadikan pusat peranginan terbesar di Asia Tenggara.

Segala publisiti berkenaan, tidaklah dapat menandingi kemasyhurannya setelah terlibat membunuh Ahli Dewan Undangan Batu Talam, Datuk Mazlan Idris pada 1993 di Kampung Peruas, Hulu Dong, Raub, Pahang. Turut dituduh sama ialah suaminya dan pembantu mereka, Juraimi Hussin.

Kes tersebut masih diingati sehingga kini kerana cara Mazlan dibunuh dan mayatnya dilupuskan begitu mengerikan, selain wujud unsur pemujaan dan ilmu hitam yang digunakan.

Leher Mazlan ditetak sebanyak tiga kali sehingga putus sementara tubuhnya dikerat kepada 18 bahagian, disiat-siat dan dilapah dengan kulit dan dagingnya dikumpulkan dalam besen.

Mayat yang sudah dipotong itu kemudiannya dimasukkan ke dalam lubang sebelum ditimbus dengan simen.

Ketiga-tiga mereka dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Temerloh pada 1995 dan menjalani hukuman itu di Penjara Kajang pada 2001.

Mat Komando

AHMAD Mohd. Arshad, 37, yang mendapat gelaran itu kerana pernah berkhidmat selama dua tahun sebagai anggota komando menutup perlakuan jenayahnya dengan sifatnya yang ringan tangan untuk membantu orang lain.

Sifat baik yang ditunjukkannya menyebabkan tiada siapa menyangka lelaki bertubuh tegap dan sasa ini mengetuai kongsi gelap, Kumpulan 13 yang telah melakukan lebih 52 kes samun bersenjata membabitkan wang tunai lebih RM2.5 juta dan satu kes cubaan membunuh.

Dia juga seorang yang amat berbahaya kerana selain bersenjata api ketika melakukan samun, dia tidak akan teragak-agak melepaskan tembakan ke arah sasarannya.

Walaupun pihak polis telah menjalankan operasi untuk menangkapnya sejak 1 Januari 2002, tiada siapa yakin dia dapat ditangkap kerana dikatakan mempunyai ilmu batin yang membolehkannya meloloskan diri dengan mudah.

Pengalamannya sebagai anggota komando telah membolehkannya menghilangkan diri dengan mudah ke dalam hutan dan mengelirukan anjing pengesan.

Bagaimanapun lelaki yang berasal dari Kampung Selengkoh, Yan, Kedah ini menemui ajalnya juga tanpa sempat meminta maaf kepada mangsa-mangsanya setelah berbalas-balas tembakan dengan sepasukan 10 anggota polis di Felcra Kampung Hujung Ketun, Pendang, Kedah, pada 12 September 2002. NIZAM YATIM nizam.yatim@utusan.com.my Utusan/Rencana/20140816

Tags: jenayah, tokoh
Subscribe

  • Politik , Politicking

    Politik dan bermain politik ( politicking) adalah merupakan definisi agak mudah sehingga sering digunakan secara longgar. Politik adalah cara…

  • Membaca Terlalu Banyak Berita Politik

    Mengamati dan taksub akan isu politik boleh membahayakan kesejahteraan, kebahagiaan dan hubungan anda Tak kira ketika musim pilihan raya atau…

  • Fitnah dan Memburukan

    Minta maaf atau sedia di saman , minta maaf atau jumpa di mahkamah sudah menjadi ‘bahasa pertuturan’ kegemaran masa kini baik kepada…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments