kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Malaysia senang bersahabat dengan Indonesia

ESOK Indonesia akan meraikan ulang tahun kemerdekaan yang ke-69 iaitu hari yang amat bermakna kepada lebih 234 juta rakyat yang menjadi tulang belakang kekuatan negara kepulauan itu.


Selama hampir tujuh dekad mencapai kemerdekaan dari Belanda, Indonesia kini berada di kedudukan yang kukuh dari pelbagai aspek termasuk politik, ekonomi dan sosial budaya.

Usaha membawa Indonesia keluar daripada belenggu kesukaran dirintis oleh presiden pertama Indonesia, Sukarno yang memperkenalkan konsep Trisakti yang secara umumnya membekalkan rakyatnya rasa kasih dan cinta untuk menjadikan bangsa Indonesia sebagai yang disegani.

Konsep Trisakti adalah formula yang pa­ling penting mengajar bangsa Indonesia memiliki jati diri kukuh dan ia terbukti relevan sehingga kini.

Kepentingan politik diberikan perhatian utama oleh Sukarno ketika memperkenalkan konsep Trisakti iaitu bangsa Indonesia harus bijak menggunakan kuasa rakyat dalam melaksanakan amalan demokrasi tanpa sesekali mengabaikan fahaman Pancasila.

Bulan lalu, Indonesia menyaksikan kuasa rakyat sekali lagi menjadi penentu dalam proses Pemilihan Umum Presiden (Pilpres) 2014 yang diadakan setiap lima tahun sekali.

Sekalipun gelanggang politik Indonesia diuji dengan perbezaan ideologi sehingga mencetus sengketa, namun realitinya, ia masih tidak mampu menggugat kestabilan rakyat berikutan fahaman Pancasila yang diperkasakan sebagai ideologi bangsa dan benteng kekuatan rakyat Indonesia.

Dalam aspek ekonomi, falsafah Trisakti ialah mendidik bangsa Indonesia agar berdikari dalam mensejahterakan periuk nasi rakyatnya tanpa bergantung harap kepada orang lain.

Sementara, dalam aspek sosial budaya pula, Sukarno sentiasa mengingatkan rak­yatnya agar berbangga dengan mencintai, menghormati dan memelihara nilai-nilai murni dan kebudayaan yang diwarisi nenek moyang kerana itulah harta paling berharga bagi sesebuah bangsa.

Pada usia 69 tahun mencapai kemerdekaan, Indonesia sudah mencapai kedudukan sebagai sebuah bangsa berdaulat yang berjiwa besar dan kemakmuran yang dihadapi negara itu turut memberi tempias kepada Malaysia yang selama ini sudah dikenali sebagai sahabat paling akrab bagi negara kepulauan itu.

Apa yang dinikmati Indonesia selama tempoh kemerdekaan itu kata Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim, memberikan inspirasi kepada Malaysia yang jauh lebih muda usia kemerdekaannya.

Dan kerana itu Malaysia yang mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 kata Zahrain, sentiasa mahu memastikan kedudukan dua negara jiran itu berada di landasan keharmonian yang tidak boleh diganggu gugat oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Tanpa ada secalit rasa cemburu atau iri hati, Malaysia menurut Zahrain, sentiasa mengagumi pencapaian Indonesia dalam segenap aspek.

Kerana itu juga, Zahrain berkata, Malaysia terus berikrar akan mengukuhkan hubungan persahabatan yang sudah lama terjalin itu.

"Malaysia sangat senang bersahabat dengan Indonesia apa lagi di bawah pemerintahan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono, kemesraan hubungan antara Malaysia dan Indonesia tidak boleh disangkal lagi," tegas Zahrain kepada Utusan Malaysia dalam pertemuan baru-baru ini.

Terjemahan keakraban itu jelas Zahrain dapat dilihat melalui sokongan moral yang diberikan Indonesia kepada kepimpinan dan seluruh rakyat apabila Malaysia dilanda dua ujian besar iaitu kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 pada Mac lalu dan pesawat MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine bulan lalu.

Harga persahabatan itu jelas beliau, tidak dapat diukur dengan wang ringgit menyebabkan Malaysia akan terus membuka ruang kerjasama dalam aspek mengukuhkan nilai persahabatan.

Namun begitu, dalam pada Malaysia dan Indonesia menikmati kemakmuran bersama, masih ada ruang yang dilihat Zahrain perlu diperkukuhkan lagi antaranya dalam kalangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Pengaruh dan kuasa yang ada pada NGO-NGO ujar Zahrain, sangat penting khususnya dalam menyebarkan mesej perpaduan dalam kalangan rakyat kedua-dua negara, apa lagi bagi Malaysia dan Indonesia yang disifatkan beliau sudah matang dan bijak dalam menentukan nilai peradaban.

Sebagai Duta Besar yang tugasnya sebagai perantara dua negara, Zahrain sangat teruja untuk mengalu-alukan NGO-NGO dari kedua-dua negara untuk sama-sama mewujudkan rangkaian persahabatan yang lebih akrab.

Dalam menghadapi cabaran masa depan, Zahrain berpendapat, NGO-NGO boleh menggunakan populariti dan kekuasaan mereka untuk mengakrabkan lagi hubungan di peringkat rakyat dua negara dengan mengenepikan perasaan cemburu dan iri hati.

Sebagai permulaan, Zahrain memberitahu, Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia akan membuka sekretariat Yayasan Ikatan Rakyat Malaysia Indonesia (YIRMI) yang fungsinya akan menjadi platform pertukaran idea, pendapat dan ilmu mengenai Malaysia dan Indonesia.

"Kita mahu memastikan NGO-NGO dan rakyat di kedua-dua negara mendapat gambaran sebenar mengenai Malaysia dan Indonesia secara langsung. YIRMI akan menjadi platform kepada usaha berkenaan.

"Kita sedia maklum sudah ada media yang melaporkan apa yang berlaku di Malaysia dan Indonesia, namun media melakukannya berdasarkan perspektif mereka dan YIRMI pula akan melaksanakan tugas itu dari kaca mata mereka pula," kata Zahrain.

Usaha Kedutaan Besar Malaysia dalam memelihara keharmonian dua negara itu jelas Zahrain, akan dilakukan secara berterusan dan bukannya bermusim.

Ini kerana kata Zahrain, kemakmuran Malaysia dan Indonesia menandakan kemakmuran negara-negara di rantau ASEAN khususnya.

Apa lagi menjelang 2015 kelak, kedua-dua negara ini memainkan peranan yang sangat penting bagi pelaksana Komuniti ASEAN 2015.

Kepada Indonesia yang akan menyambut hari kemerdekaan ke-69 esok, Zahrain merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Susilo dan seluruh rakyat negara itu. Saharuddin Musthafa Utusan/Rencana/20140816

Tags: diplomatic
Subscribe

  • Education is a learning curve

    TERTIARY level students, especially those in their final year, are a step away from graduation and have one foot in the working world. I must admit…

  • Online education must continue

    Learning sessions and approaches through educational television will be taken to provide students without access to the internet but access to…

  • There are more things than PPSMI 2.0

    The PPSMI issue is back in the news. The BM Linguistic group is again against the proposal. It is seen as a one-man show by an obsessed man and…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments