kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Kejamnya AS dan Israel

Palestin telah ranap dan rakyatnya terus dibunuh. Yang tinggal di Gaza sekarang ini ialah kemusnahan yang sangat besar; hanya bungkah-bungkah batu dan cerucuk besi bangunan yang telah dibom oleh rejim Zionis Israel. Sekolah, masjid, hospital dan perumahan awam seluruhnya musnah sejak Gaza diserang pada 7 Julai lalu. Dalam kalangan penganalisis politik antarabangsa, mereka hampir sepakat mengkelaskan bahawa ini bukan peperangan tetapi penghapusan etnik. Ia sama seperti tentera Serb membunuh rakyat Bosnia pada awal 1990-an.

Setakat ini Palestin dianggarkan memerlukan sekurang-kurangnya RM19.1 bilion untuk membangunkan semula Gaza yang hancur lebur. Jumlah ini bukan kecil dan ini memberikan gambaran kemusnahan kali ini sekali ganda lebih besar daripada yang dialami dalam serangan Israel tahun 2008. Sekiranya ada negara-negara luar yang memberi bantuan kewangan sekalipun, untuk melakukannya bukan mudah. Konvoi membawa masuk ubat dan makanan pun tersadai di Rafah sempadan Mesir, inikan pula bahan binaan seperti simen dan besi yang dilarang keras oleh Israel.



PENGHAPUSAN etnik dilakukan dengan membunuh kanak-kanak yang tidak berdosa selain menggunakan bom yang memusnahkan organ pembiakan mangsa.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan lebih 11,800 rumah musnah iaitu lebih sekali ganda jumlah yang musnah dalam Perang Gaza atau Operasi Cast Lead pada 2008. Memberi statistik sahajalah yang boleh dilakukan oleh PBB yang telah bisu dan kaku. PBB melaporkan lagi, 350 bangunan industri termasuk 50 kilang utama musnah sama sekali di Gaza. Bukan itu sahaja malah lebih kejam lagi 10 dari 26 hospital musnah dibedil Zionis. Serangan kali ini mengakibatkan daerah Beit Lahiya di utara sehingga Rafah mengalami kemusnahan teruk. Masyarakat antarabangsa ketika ini berjanji menyumbang sebanyak RM14.3 bilion untuk membangunkan semula Gaza. Tetapi masalah utamanya Israel menghalang bahan binaan dibawa masuk ke Gaza.

Kini lengkaplah operasi penghapusan etnik yang dilakukan Israel; melancarkan peluru berpandu ke kawasan awam kemudian meruntuhkan hospital. Tujuannya supaya mangsa serangan mati tanpa mendapat rawatan yang sepatutnya. Yang masih hidup pula mewarisi derita apabila keruntuhan tidak boleh dibangunkan semula walaupun masyarakat dunia sanggup membantu.

Kesengsaraan rakyat Palestin ini akan berlarutan untuk berdekad-dekad lamanya. Memang tujuan Israel untuk menghapuskan Palestin dari peta dunia. Sebab itulah serangan kali ini ditujukan kepada kanak-kanak. Israel bimbang apabila dewasa, kanak-kanak ini akan menjadi pejuang sehebat Briged Al Qassam. Walaupun Yahudi menjaja tragedi Holocaust kononnya bangsa mereka dizalimi Hitler pada Perang Dunia Kedua, apakah bezanya 'Holocaust' Israel ke atas rakyat Palestin ketika ini?

Terbaru, pakar perubatan mengesahkan bom yang digugurkan Israel boleh merosakkan organ pembiakan mangsa. Tujuannya untuk menghapuskan Palestin dalam jangka masa panjang.

Kecuali pemimpin-pemimpin, rakyat di seluruh dunia bukan sahaja nampak tragedi maha dahsyat itu malah turut berkongsi penderitaan rakyat Palestin. Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menganjurkan perhimpunan mengecam Israel selain menghulurkan bantuan. Ini termasuklah NGO dari Malaysia. Itu sahaja yang mampu dilakukan oleh gerakan massa. Mereka tidak ada kuasa politik untuk bersuara di pentas dunia. Tetapi itu jauh lebih baik daripada tindakan pemimpin-pemimpin mereka yang bisu walaupun ada antaranya menganggotai badan dunia seperti PBB dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan banyak lagi.

Kepentingan

Rakyat Palestin akan terus dibunuh oleh tentera Zionis Israel apabila pemimpin-pemimpin negara Islam hilang keberanian bersuara hanya untuk menjaga kepentingan hubungan dengan Amerika Syarikat (AS). Paksi kejahatan Israel ialah AS. Inilah negara yang paling banyak menyumbang dana termasuk peralatan ketenteraan untuk Israel membunuh rakyat Palestin. Bantuan ketenteraan oleh AS kepada Israel secara spesifik untuk membunuh rakyat Palestin, caranya dengan mengkambinghitamkan pergerakan nasionalis Hamas sebagai pengganas.

Pemimpin-pemimpin negara Islam termasuk badan dunia seperti OIC menjadi bisu sekalipun pembunuhan dan serangan Israel ke atas Gaza kali ini adalah yang terbesar dalam banyak siri keganasan sebelum ini. Berterusannya penganiayaan terhadap rakyat Palestin adalah kesan daripada kebisuan pemimpin negara Islam. Kita bukan mahu mereka melawan AS, cukuplah lantang di forum antarabangsa. Tetapi berapa kerat pemimpin Islam yang lantang seperti Dr. Mahathir (Malaysia), Muammar Gaddafi (Libya) atau Tayyip Edorgan (Turki).

Palestin sebenarnya dimangsakan oleh sesetengah pemimpin Islam sendiri. Ini berbeza dengan Israel yang mendapat sokongan penuh daripada pemimpin AS. Sebaliknya suara pemimpin Islam di pentas dunia sudah dikembirikan. Ini menjadikan badan dunia terutamanya PBB sebagai pengeluar lesen membunuh untuk kepentingan AS.

Baru-baru ini Setiausaha Negara AS, John Kerry yang tiba di Kaherah, Mesir memberitahu AS akan menyalurkan bantuan kemanusiaan sebanyak RM149 juta kepada Palestin. Tetapi pada masa yang sama Presiden Barack Obama meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM719.3 juta kepada Israel untuk membangunkan sistem pertahanan peluru berpandu Iron Dome. Tujuannya untuk memperhebatkan keganasan kepada rakyat Palestin.

Ironinya semasa melawat Malaysia, Obama disanjung apabila melawat Masjid Negara. Pada sisi lain inilah 'bapa syaitan' yang turut membunuh rakyat Palestin.

Jangan terkejut, bantuan AS kepada Israel lebih RM674 bilion sejak tertubuhnya negara Israel pada 1948, atau sebanyak RM9.6 bilion setiap tahun.

Kemusnahan harta benda dan nyawa yang ditanggung oleh Palestin kali ini sangat besar. Pada masa yang sama Palestin menjadi semakin jauh daripada perhitungan diplomatik pemimpin-pemimpin Islam untuk menghalang keganasan Zionis. Palestin dipisahkan oleh tembok tinggi yang dibina Israel, sempadan dengan Mesir ditutup dan perairannya hanya tiga batu nautika, selebihnya kepunyaan Israel.

Sekatan ke atas Palestin membuatkan konvoi kemanusiaan daripada NGO beberapa negara lain dilarang masuk. Bantuan melalui jalan laut dihalang malah dibunuh oleh tentera Israel seperti yang berlaku terhadap kapal Mavi Marmara pada 2010 yang mana 10 sukarelawan terkorban. Pintu sempadan di Rafah, Mesir ditutup kerana Presiden Mesir, Abdel Fattah El Sisi ialah proksi AS yang menjatuhkan Mohamad Morsi daripada pergerakan Ikhwanul Muslimin.

Sokongan moral dan material dari seluruh dunia kepada Palestin datangnya daripada orang ramai termasuk negara-negara bukan Islam. Gelombang anti-Israel memperlihatkan masyarakat di seluruh dunia jauh lebih ke depan berbanding pemimpin mereka.

Masyarakat dari negara bukan Islam juga memperlihatkan sokongan kuat kepada Palestin. Misalnya tajuk di muka depan akhbar Irish Sun pada 27 Julai lalu berbunyi ; "Tesco: We're axed fruit from Israel." Menurut akhbar ini rangkaian pusat beli-belah British itu hanya mengambil hasil ladang dari Jordan. Dana pesaraan Belanda, PGGM dan bank terbesar Denmark, Danske Bank pula telah menjual kepentingan dalam bank di Israel. Syarikat pembekal air terbesar Belanda, Vitens menamatkan usahasama dengan syarikat Israel, Mekorot yang mengambil air dari Tebing Barat dan menjual semula kepada rakyat Palestin. Barangkali tindakan ini dibuat kerana perikemanusiaan mengatasi perbezaan agama, bangsa dan negara dalam isu serangan ganas terhadap Palestin.

Daripada senario kekejaman yang dilakukan Israel dengan bantuan AS, sebahagian besar daripada kita tentu menyesal kerana mengalu-alukan kedatangan Obama ke negara ini. Obama secara terbuka mempertahankan Israel dan bersedia membunuh rakyat Palestin. Maka tepatlah gelaran "bapa syaitan" yang merujuk kepada perilaku kejamnya kepada rakyat Palestin. Ku Seman Ku Hussain Utusan/Rencana/20140817
Tags: yahudi
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments