kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Media sosial: Apa perlu dilakukan?

BEBERAPA tindakan media sosial yang mencabul dan merosakkan keberkesanan kerajaan dan sosio-budaya Malaysia semenjak lima tahun lalu amat meluas dan berat padahnya. Islam kerap dikeji dan dipersenda, raja-raja kita dicemuh dan diejek, para pimpinan negara dibelasah dengan fitnah demi fitnah, seolah-olah Malaysia sudah tak punya kedaulatan undang-undang lagi. Juga kenampakan seolah-olah pihak berkuasa semacam tidak berkeupayaan lagi mengambil tindakan. Dan apabila dibawa kes-kes tertentu ke mahkamah, penghakimannya banyak tidak setimpal dengan kesalahan.

Polarisasi kaum juga dijadikan asakan media sosial yang sudah pun meninggalkan kesan buruk kepada perpaduan. Malah Peguam Negara sendiri digugat oleh sesetengah pihak dalam Facebook.

Terakhir, tulisan Tun Dr. Mahathir Mohamad tentang kekejaman Zionis dibumi Palestin juga tidak dikecualikan daripada tindakan tuan punya media sosial seperti Facebook. Tulisan beliau dinyahkan daripada bacaan umum tanpa dakwa-dakwi dan blog beliau dirempuh supaya tidak boleh menyiarkan tulisannya tentang Zionis, pemusnah bumi dan rakyat Palestin.

Soalnya kini, apa tindakan yang boleh diambil terhadap pemilik-pemilik media sosial ini supaya mereka akur kepada lunas-lunas sosio-budaya dan tuntutan kenegaraan? Soalan ini masih belum ada jawapan yang memuaskan walaupun telah ada reaksi-reaksi spontan seperti nak tutup Facebook, nak daftar semua pemilik akaun media sosial dan sebagainya.

Sedikit masa dahulu, barang siapa yang cuba mempersoalkan kebebasan Internet dengan isian seperti Facebook, Whatsapp, Twitter dan lain-lain terus dianggap semacam tak bertamadun. Saya juga pernah menerima cemuh dan cemek tiga tahun dahulu kerana bersuara supaya masyarakat Malaysia tidak tunduk kepada Facebook dan rakan-rakan sekutunya dalam hal menjitukan kepentingan sosiobudaya, keagamaan, ketenteraman awam dan keselamatan negara. Masa itu, seperti soldadu baru dapat keris, saya diserang kononnya tindakan hendak mengehadkan kandungan media sosial samalah dengan ketinggalan zaman. Malah ada pihak berkata saya macam menteri 'Jurassic Park'.

Semenjak itu keadaan kini semacam 'api dah naik ke bumbung'. Jika tidak dilerai dengan undang-undang dan penguatkuasaan tegas, masyarakat Malaysia akan mengalami satu fasa yang meletakkannya di peringkat mangsa media sosial. Jika tidak kena cara mengatasi fenomena buruk ini kerajaan juga akan kehilangan kredibiliti dan kepercayaan rakyat akibat 'pesongan dan manipulasi fakta' oleh pengguna media sosial yang seolah-olah seperti terkecuali daripada tuntutan undang-undang. Ini adalah kerana mereka dibenarkan buat apa sahaja di alam siber.

Perbuatan meningkatkan fitnah-memfitnah, mengadu-domba, mendedahkan rahsia negara, menghalang pentadbiran luhur, mempersenda agama dan kebudayaan sesuatu kaum dan meremehkan isu-isu ketenteraman awam serta keselamatan negara, dijulang tinggi oleh pemilik dan sesetengah penyebar.

Baru benar rasanya kita mengetahui tentang gerakan media sosial yang berjaya menukar sebahagian cara hidup dan kerajaan di Timur Tengah. Sementara itu aura 'hak asasi manusia' (bukan hak asasi Islam) dikumandangkan semaksimum mungkin kononnya hak bersuara mesti tanpa dihadkan. Semua yang diolah media sosial dianggap semacam azimat mangkus (mujarab).

Apa yang harus dilakukan kini? Salah satu keperluan kini ialah mewajibkan semua akaun media sosial didaftarkan di bawah agensi seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) lengkap dengan butiran asas demi pengecaman identiti. Akta Komunikasi dan Multimedia perlu diberi suntikan kuasa eksekutif dan berimbang yang baru. Tindakan cepat dan berkesan mesti ada di tangan para penguat kuasa kita tentunya secara yang berimbang. Tentunya latihan forensik yang cekap bagi tujuan pengesanan sesawang menjadi kemestian.

Dengan 13.4 juta pengguna Facebook di Malaysia, negara ini menduduki tempat ke-4 di Asia Tenggara selepas Indonesia, Filipina dan Thailand. Lebih 72 peratus pengguna terdiri daripada mereka yang berusia bawah 54 tahun. Bersama dengan Twitter dan WhatsApp, lebih daripada 61 peratus penduduk Malaysia terdedah kepada 'surat khabar' siber ini. Cuma media baru ini lebih tangkas, menusuk dan lebih mempengaruhi jiwa seseorang daripada akhbar biasa. Ini disebabkan bekalan bunyi, ilustrasi dan olahan menarik.

Media sosial seperti Facebook ialah entiti perniagaan yang beroleh saham pusingan dan keuntungan berbilion dolar setahun di seluruh dunia. Pemiliknya tidak mempiagamkan untuk menghormati nilai budaya, agama atau sistem pentadbiran sesebuah negara yang dilandas sebagai tapak perniagaannya. Yang mereka laungkan ialah 'kebebasan bersuara' tetapi perangai dan sepak terajang pemiliknya membawa lagak 'persetan' kerana mereka tak kisah tentang aduan atau kegelisahan individu, kerajaan, pertubuhan atau kumpulan yang sentiasa terkena jebat dan kemudaratannya. Kumpulan mangsa ini segan hendak bersuara atau bertindak balas kerana khuatir dipertikaikan 'masyarakat canggih'. Banyak kalangan yang menjadi mangsa Facebook, Twitter, WhatsApp dan lain-lain hanya gelisah diam-diam.

Syarat-syarat

Kenapa entiti seperti Facebook dibiarkan bebas daripada syarat-syarat preventif keselamatan sosial dan ketenteraman awam sesebuah negara seperti Malaysia di mana kriteria undang-undang langsung tidak diendahkan? Mereka bebas merayau ruang wi-fi sesebuah negara dan menerima dividen tertinggi daripada olahan mereka. Mereka perlu dikenakan syarat-syarat urus niaga seperti lain-lain entiti juga. Pertama mereka mesti mengikat janji mematuhi undang-undang negara. Mesti disyaratkan bila mereka melampaui batas kewajaran, mereka boleh digantung operasi komunikasi dan isiannya. Kenapa tuan punya atau pengoperasi media sosial tampak kebal daripada undang-undang biasa sesebuah negara?

SKMM, PDRM dan Jabatan Peguam Negara kini mesti ambil langkah eksekutif show cause atau tunjuk sebab kenapa tuan punya media sosial tak boleh dipertanggungjawabkan mengekal dan mempromosi keamanan, keharmonian di dalam saluran masing-masing? Kenapa ia boleh memilih kandungan apa yang mereka mahu sebarkan? Kuasa pencegahan wajib diberikan kepada panel penilai aduan dengan mekanisme bertindak serta-merta termasuk menghadang dan menutup saluran media sosial yang terbabit dengan unsur-unsur hasutan, pecah-belah masyarakat dan hal-hal berkaitan kesalahan jenayah lain.

Turki pernah menggantung saluran fb beberapa hari dalam musim pilihan raya; China lantas tidak membenarkan Facebook buat sesuka hati di negera tersebut. Terkini China mempunyai pelan dasar untuk mewujudkan Facebook sendiri yang boleh tertakluk secara langsung kepada pihak-pihak berkuasa ketenteraman awam.

Sekitar 15 tahun dahulu kerajaan mewujudkan komitmen Bill of Rights (Rang Hak-hak Asasi) bahawa Internet tidak akan ditapis kandungannya. Pada masa itu kerajaan dan rakyat belum lagi diserlahkan 'muka' hodohnya yang merosakkan sistem nilai kita. Kini pihak Facebook misalnya menentukan apa yang boleh disalur dan apa yang tidak tanpa merujuk kepada mana-mana pihak. Dengan lain pengertian, mereka menentukan kandungan Facebook. Habis, apakah sesebuah kerajaan seperti Kerajaan Malaysia yang dipilih rakyat tidak mampu mengadakan syarat-syarat sendiri tentang pengekangan gejala yang merosakkan negara dan masyarakatnya?

Perundangan sedia ada diakui tidak mencukupi untuk mengambil tindakan semerta melalui kuasa eksekutif, mungkin kerana terlalu 'prihatin' terhadap 'apa orang lain kata?' Sikap ini tidak lagi wajar diteruskan kerana tauke-tauke media sosial mempunyai pilihan yang lebih bebas.

Langkah-langkah semerta yang diperlukan termasuklah kuasa menutup secara sementara atau bagi tempoh tertentu sesuatu saluran Internet yang tampak memudaratkan keharmonian kaum, yang memecahbelahkan masyarakat, yang mencela agama dan kebudayaan, yang bertentangan dengan perhitungan keselamatan dalam negeri dan alasan-alasan lain yang mengancam serta menggugat keharmonian kaum. Kuasa menggantung dan menutup saluran ini misalnya harus dibenarkan dalam tempoh 7 hingga 60 hari sebelum sesuatu kes itu dihadapkan kepada panel khas yang nanti boleh dimajukan ke pengadilan mahkamah.

Selama ini, seksyen-seksyen 231, 233 dan seksyen lain dalam Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 memang mengandungi kuasa-kuasa tertentu seperti 'jelek' 'menyalah guna saluran', phishing dan sebagainya. Dengan perkembangan canggih yang mendesak kini, provisi-provisi ini jelas tidak cukup dan hanya membuat pengamal media sosial serta tuan punyanya masing-masing senyum kambing sahaja terutama apabila yang terlibat lekas-lekas minta maaf.

Langkah-langkah bertindak yang berkesan mesti dilakukan kini sebelum orang luar mencorakkan seratus peratus sosiobudaya, ketenteraman awam serta keselamatan negara kita. TAN SRI DR. RAIS YATIM ialah Penasihat Kerajaan Dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan.   Utusan/Rencana/20140817

Tags: sosial
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments