kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Bisik-Bisik Awang Selamat

Bangkitlah Pas

Pada 2008 lagi, Awang dalam ruangan ini sudah menjangkakan bahawa suatu hari nanti, Pas akan menghadapi masalah besar berikutan pengaruh Anwar Ibrahim dalam parti itu.

Percaturan dan pelaburan politik beliau kini menjadi realiti. Hari demi hari, parti itu semakin dikuasai kelompok yang taksub kepada Anwar atau lebih popular dipanggil Anwarinas.

Pada saat ini, lebih separuh pemimpin Pas sudah berkiblatkan kepada Anwar walaupun bernaung di bawah parti itu yang Hadi Awang merupakan Presiden dan Nik Aziz Nik Mat, Mursyidul Am.

Inilah pertama kali dalam sejarah Pas, parti itu dibayangi dan dicaturkan pemimpin luar parti. Ketika parti-parti politik lain di negara ini masih mempertahankan identiti dan jati diri, Pas kelihatan bercelaru.

Bagi Awang ia agak aneh. Dalam pada majoriti rakyat menolak Anwar atas pelbagai faktor terutama isu moral dan integriti selain imej PKR merudum disebabkan pelbagai isu, terdapat kelompok pemimpin Pas mahu membela beliau dan mendokong aspirasi politiknya yang membuka kepada pelbagai kemudaratan kepada agama terutama pluralisme.

Lebih menyedihkan dalam kemelut jawatan Menteri Besar Selangor, sebahagian pemimpin golongan Anwarinas bukan sahaja ikut telunjuk Anwar malah memperlekehkan kepimpinan Pas dan Majlis Syura yang sepatutnya dijunjung. Hadi dan Nik Aziz tidak lagi dihormati oleh golongan tersebut.

Maka mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat hari ini, akan menjadi penentu kepada banyak persoalan. Paling menarik untuk diketahui siapa lebih berkuasa dalam Pas, antara Hadi, Nik Aziz dan Majlis Syura atau Anwar + Anwarinas? Mesyuarat tersebut bukan sahaja akan menguji kesetiaan semua anggota Jawatankuasa Pas Pusat bahkan peluang terbaik untuk kepimpinan Pas menyelamatkan parti itu daripada terjerumus lebih jauh.

Awang yakin, walaupun ancaman Anwarinas begitu membelenggu, ahli-ahli akar umbi masih meletakkan sandaran kepada kepimpinan Hadi dan Nik Aziz. Kekuatan kedua-dua tokoh itu dalam parti tidak boleh diambil mudah sebagaimana sedang dilakukan oleh golongan Anwarinas.

Majoriti ahli Pas lebih mengutamakan kepentingan parti itu daripada kelompok tertentu. Apatah lagi, akar umbi sudah bosan dihina oleh pemimpin-pemimpin DAP dan PKR dengan pelbagai sindiran, tohmahan dan ugutan. Cakap-cakap yang berlegar merumuskan Pas umpama membenarkan janggut dan serban ditarik berulang kali. Awang boleh faham sentimen itu ekoran rasa kecewa dan keresahan akar umbi. Tidak pernah Pas dibuli seburuk ini, yang mewajarkan parti itu mengkaji semula tahaluf siyasi atau muafakat bersama PKR dan DAP. Hari ini, parti paling untung dan makin kukuh daripada kerjasama itu ialah DAP. Parti lain berpolitik membawa banyak manfaat kepada agama mereka tetapi Pas terbalik - lebih membawa mudarat kepada agama sendiri. Siapa lebih bijak?

Percayalah jika ada keputusan besar Pas yang mengejutkan PKR dan DAP, ia tidak akan banyak menggugat kerana kekuatan parti itu adalah pada akar umbinya. Jika pun Pas terbelah dua di peringkat kepimpinan Jawatankuasa Pusat dan terdapat puak Anwarinas mengugut mahu keluar parti, itu bukan masalah besar.

Percayalah Pas akan lebih kuat selepas mengambil pendirian berani untuk mengembalikan maruahnya dan demi kepentingan agama. Dalam pada itu, penyokong Anwar akan bersandar kepada apa sahaja kewajaran termasuk kononnya atas nama kepentingan muafakat pakatan. Ironinya, DAP dan PKR boleh melakukan apa sahaja atas agenda dan hala tuju parti masing-masing tetapi Pas seperti ditakdir menjadi pak turut. Di Pulau Pinang misalnya, tiada exco daripada Pas dilantik. Apa pun, Awang mendoakan Hadi, Nik Aziz dan Majlis Syura tidak berganjak dengan pendirian sebelum ini iaitu menolak Presiden boneka PKR, Wan Azizah Wan Ismail, yang juga isteri Anwar, sebagai Menteri Besar Selangor bagi menggantikan Khalid Ibrahim.

Inilah masa untuk seluruh ahli bangkit menyokong Hadi dan Nik Aziz. Sampaikanlah mesej dengan lebih lantang dan berani agar menenggelamkan suara Anwarinas yang didokong oleh DAP. Pemimpin parti itu kini hanya tersenyum melihat Pas dilemahkan bukan oleh pihak luar tetapi oleh pemimpin dalam parti itu yang pro-DAP dan PKR. Itulah antara kejayaan terbesar DAP, membantu Anwar merobek-robek Pas dari depan dan belakang.

RBA lagi...

Kemelut Menteri Besar Selangor sekali lagi menyaksikan bagaimana Red Bean Army (RBA) dipergunakan untuk menyerang Khalid Ibrahim. Segala fitnah dan tohmahan dihamburkan oleh tentera siber itu tanpa belas ihsan. Awang simpati dengan apa yang menimpa Khalid.

Kalau Islam dan Raja-Raja Melayu boleh dihina oleh RBA, inikan pula Khalid yang cuma seorang pemimpin politik. Untuk kesekian kali ia membuktikan betapa berkuasanya RBA sehingga menjadi senjata yang berkesan bagi parti tertentu. Memandangkan kewujudan tentera siber itu tidak mampu ditangani oleh pihak berkuasa maka Awang cadangkan supaya RBA diiktiraf. Soal ia menghasut dan memfitnah dengan jahatnya, itu tidak lagi penting. Kegagalan pihak berkuasa bertindak, itu sudah boleh dianggap pengiktirafan. Habis cerita.

Status hantu

Terdapat laporan menyatakan Penasihat DAP, Lim Kit Siang terkejut dengan dakwaan Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim bahawa kerajaan negeri Selangor bukan diperintah oleh pakatan kerana ia tidak pernah didaftarkan dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Untuk apa terkejut, memang itu realitinya. Nama dan identiti pakatan pembangkang di peringkat nasional juga tidak didaftarkan. Awang sebenarnya lebih terkejut kerana Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP yang mengemudi parti itu juga belum disah dan diktiraf oleh ROS ekoran dakwaan penyelewengan dan penipuan undi semasa pemilihan, yang dibuat oleh ahli-ahlinya sendiri. Sudah dua kali pemilihan, CEC DAP masih berstatus 'hantu'. Disebabkan isu status itu, ia mencetuskan persoalan kesahihan jawatan seperti Menteri Besar dan Exco DAP dalam kerajaan negeri Pulau Pinang, yang Kit Siang tentu tahu.

Bertindaklah

Apa yang mahu dinantikan oleh rakyat selepas ini ialah tindakan ke atas N. Surendran iaitu salah seorang peguam Anwar Ibrahim kerana mencela institusi mahkamah, baru-baru ini. Awang berharap notis aduan oleh 32 wakil NGO yang diserahkan kepada Ketua Hakim Negara, Ariffin Zakaria dan laporan polis yang dibuat, dapat disiasat segera. Kalau tidak silap, ini bukan kali pertama Surendran mengeluarkan kenyataan sedemikian. Pada April lalu, berpuluh aduan polis dibuat ekoran kenyataannya yang dilihat cuba menghasut rakyat untuk mempersoalkan kewibawaan sistem kehakiman negara tetapi beliau terlepas daripada sebarang tindakan. Apa sudah jadi dengan pejabat Peguam Negara, yang kini dikritik hebat sehingga diminta berundur. Pada Awang, ia memberi isyarat yang salah bahawa jenayah kehakiman yang dilakukan sesuka hati adalah perbuatan yang diterima di negara ini. Jangan biarkan taraf mahkamah seperti tandas awam. Awang tidak pasti sama ada Surendran dangkal tentang undang-undang atau memang sengaja mahu mengambil kesempatan daripada sikap lembut dan liberal Peguam Negara, Gani Patail.

Joko dan subsidi

Antara langkah yang mahu diambil oleh Presiden Indonesia yang baharu, Joko Widodo (Jokowi) ialah menghapuskan subsidi minyak secara berperingkat dalam tempoh empat tahun dengan menaikkan harga setiap tahun.

Jokowi menyifatkan minyak sudah tidak layak lagi diberikan subsidi apatah lagi ia membawa beban besar kepada ekonomi Indonesia.

Sebagai rekod, untuk tahun 2014, kerajaan republik itu memperuntukkan sebanyak Rp210.7 trilion (AS$18 bilion) untuk subsidi minyak. Bagi Bajet 2015, subsidi lebih tinggi diperuntukkan iaitu Rp291.1 trilion (AS$24.9 bilion). Menurutnya, peruntukan sebesar itu sewajarnya diagihkan kepada sektor yang produktif dan yang memerlukan seperti petani dan nelayan.

Langkah beliau itu dilihat cukup berani dalam konteks politik Indonesia kerana subsidi ialah isu yang sangat sensitif di negara tersebut.

Di Malaysia, kerajaan telah memutuskan untuk melaksanakan program rasionalisasi subsidi minyak diesel dan RoN95 supaya lebih memanfaatkan golongan sasar selain menangani ketirisan dan penyelewengan yang berleluasa. Program tersebut yang mampu menjimatkan perbelanjaan sebanyak RM10 bilion setahun, dijadualkan pelaksanaan pada bulan depan. Bagaimanapun, entah apa sebabnya, ia dikatakan akan ditangguhkan ke November. Awang harap ia tidak mengambil masa lebih lama kerana bagi setiap bulan, sebanyak RM750 juta boleh dijimatkan.

Jumlah itu bukan kecil. Siapa mahu bertanggungjawab? Utusan/Rencana/20140817

Tags: politik
Subscribe

  • Persepsi I

    Amar makruf nahi munkar perlu dijadikan pegangan warga PDRM (Mei, 3, 2021) ada menyebut mengenai ‘ war of perception’. Dunia…

  • Hamid Bador: Antara persepsi dan kenyataan

    Mantan Ketua Polis ke-12 memperdengarkan ungkapan "persepsi” sebelum beliau menyerahkan kuasa pada 3hb Mei 2021. Namun, beliau menyebut…

  • Antara persepsi negatif dan kebenaran fakta

    Baru-baru ini saya bertemu seorang anak muda, Amierul. Beliau pengasas bersama portal Greater Malaysia. Kami berbual perihal sikap masyarakat negara,…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments