kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Bahaya politik tanpa moral

Dalam ruangan ini, Kunta Kinte tak berapa suka sentuh soal politik. Ada orang kita mudah sangat tersentuh dan melatah bila kita kritik. Tapi suka tak suka, kita tak boleh lari daripada politik.

Sebagai pengundi dan pembayar cukai, kita adalah pemegang saham dalam sistem politik negara. Kita pilih pemimpin dan kita bayar cukai untuk bayar gaji mereka serta biaya pentadbiran negara.

Kalau mereka buat yang betul dan yang baik, selamatlah kita. Tak payah puji dan puja. Itu tanggungjawab wajib mereka. Tapi kalau mereka buat kerja buruk, busuk dan kotor, rosaklah kita. Kita wajib bertindak.

Orang yang tua macam Kunta Kinte dah tengok banyak kerja buruk, kerja busuk dan kerja tak masuk akal yang orang politik buat. Mereka guna nama kita. Tapi yang mereka buat bukan untuk kebaikan kita, sebaliknya untuk diri sendiri, suku-sakat, kawan dan konco.

Berebut jawatan macam yang dok berlaku dalam kerajaan negeri Selangor sekarang adalah contoh orang politik gila kuasa dan tak ambil berat soal moral dan hak rakyat jelata.

Bukan perkara baharu

Tapi ini bukan perkara baharu atau terasing. Dah banyak kali berlaku. Misalnya di Sarawak pada tahun 1966, Selangor pada tahun 1976, Kelantan pada tahun 1977 dan Perak pada tahun 2009/10.

Di Sarawak, Ketua Menteri masa itu, Tan Sri Stephen Kalong Ningkan, kena pecat dan darurat diisytiharkan. Di Selangor, Menteri Besar, Datuk Harun Idris, kalah undi dewan undangan dan kena letak jawatan. Lepas itu kena penjara atas kesalahan rasuah.

Di Kelantan, kerana berebut kuasa dalam PAS, kerajaan Barisan Nasional (BN) negeri hadapi masalah. Kalau kita ingat lagi atau celik sejarah, masa tu PAS dalam BN.

Di Selangor, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, orang PKR. Tapi PKR dah tak mahu kepada dia. Di Kelantan masa tu, Menteri Besar, Datuk Mohamed Nasir, adalah orang PAS tapi PAS dah tak mahu kepada dia.

Macam Abdul Khalid, Mohamed Nasir dituduh tak ikut arahan parti. PAS kemukakan undi tak percaya dalam dewan undangan negeri. Semua 20 ADUN PAS sokong tapi 13 ADUN UMNO serta seorang ADUN MCA keluar Dewan.

Langkah darurat

Mohamed Nasir enggan letak jawatan sebaliknya dia mohon kepada istana untuk bubar Dewan dan buat pilihan raya negeri - macam yang PKR dok cadanglah. Tapi tak dipersetujui. Penyokong dua-dua belah pihak buat tunjuk perasaan sampai bergaduh dan pecah kedai Kota Bharu. Ini bagi alasan kepada Kerajaan Pusat isytihar darurat dan bubar DUN. Tak lama lepas tu, Tun Hussein Onn pecat PAS daripada BN.

Kunta Kinte cukup ingat peristiwa itu pasal terkena lumpur yang penunjuk perasaan baling ke arah bangunan DUN. Ketua mereka, Datuk Ibrahim Ali. Kunta Kinte ada dalam kawasan bangunan DUN buat liputan peristiwa itu.

Di Selangor sekarang ini pun silap-silap langkah darurat mungkin diisytiharkan. Yang perlu ada, kaki kacau dan kaki bakar buat hal. Cuma Kunta Kinte harap kerja bodoh macam ini tak berulang. Kalau berulang juga, malu besarlah kita.

Di Perak pada tahun 2009/10 pun lebih kurang macam itu juga. Yang buat hal orang politik. Bila tiga ADUN Pakatan Rakyat keluar parti masing-masing, kerajaan PR hilang majoriti dan tumbang.

Rakyat bukan keutamaan

Maaf cakaplah kalau Kunta Kinte kata, dalam semua hal yang Kunta Kinte sebut tu, nampak cukup jelas bahawa kepentingan rakyat jelata bukan keutamaan. Tapi itulah yang mereka guna sebagai alasan.

Mula-mula sekali yang buat hal dan buat kacau bukan rakyat jelata. Rakyat jelata hanya mahu kerajaan yang mereka undi buat kerja dengan cekap dan amanah. Mereka tak berapa peduli siapa jadi menteri besar atau ketua menteri.

Yang buat kacau dan buat hal adalah orang politik yang mabuk kuasa dan gila harta. Mereka inilah yang berebut kuasa, berebut jawatan dan berebut harta. Dah tak ada rasa malu dan tak peduli moral dalam tindak-tanduk mereka. Dah lebih teruk daripada orang mabuk bergaduh di luar kedai arak atau budak-budak berebut guli.

Politik republik pisang

Kalau inilah pratonton politik negara kita pada masa akan datang, Kunta Kinte sangat bimbang yang kepemimpinan politik kita akan jadi caca-marba, hambar dan tak berkualiti.

Jadi, sebelum politik kita jadi macam politik republik pisang (banana republic), eloklah orang politik kita, tak kira parti mana, berfikir dengan lebih waras, lebih matang dan lebih intelektual.

Dan kita pula, sebagai pengundi dan pembayar cukai, wajib kutuk dan tolak mereka kalau mereka terus buat perangai macam samseng dan perompak jalanan. Mohon maaf. Wallahuaklam. Berita Harian Kunta Kinte Kolumnis Ahad 17 Ogos 2014

Tags: moral, politik
Subscribe

  • Online education must continue

    Learning sessions and approaches through educational television will be taken to provide students without access to the internet but access to…

  • There are more things than PPSMI 2.0

    The PPSMI issue is back in the news. The BM Linguistic group is again against the proposal. It is seen as a one-man show by an obsessed man and…

  • What students need to know

    Unwrapping standard is a simple strategy for teachers to identify the skills and content knowledge needed in a lesson to ensure students are…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments