kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Kekalkan pencapaian ekonomi negara

PENCAPAIAN melepasi ramalan! Itulah yang boleh dinyatakan terhadap keadaan ekonomi negara selepas Jumaat lalu, Bank Negara (BNM) mengumumkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia sebanyak 6.4 peratus untuk suku kedua tahun ini.


Pencapaian pertumbuhan KDNK yang tinggi ini mencerminkan keadaan semasa ekonomi negara yang berada dalam landasan yang betul. Ini juga menunjukkan bahawa Program Transformasi Ekonomi (ETP) dari tahun ke tahun telah dan sedang membuahkan hasil untuk rakyat Malaysia.

Secara keseluruhannya, pertumbuhan KDNK bagi separuh pertama tahun ini adalah sebanyak 6.3 peratus selepas ekonomi negara mencatatkan pertumbuhan KDNK sebanyak 6.2 peratus dalam suku pertama tahun ini. Berbanding pertumbuhan KDNK yang hanya sebanyak 4.4 peratus dalam tempoh sama tahun lalu, pertumbuhan KDNK separuh pertama tahun ini merupakan pencapaian yang sangat baik.

Melihat pertumbuhan KDNK yang sangat baik ini, dijangkakan ekonomi negara pada tahun ini mampu berkembang mengatasi ramalan awal penganalisis ekonomi dan BNM sendiri.

Kerajaan menyasarkan pertumbuhan KDNK negara tahun ini sebanyak 5.5 peratus. Dengan ini, ekonomi negara hanya perlu mencatatkan pertumbuhan 4.7 peratus secara purata bagi separuh kedua untuk menepati sasaran 5.5 peratus.

Melihat prospek terkini dengan pelbagai aktiviti ekonomi yang dijalankan oleh kerajaan dan sektor swasta berasaskan ETP, sasaran pertumbuhan 5.5 peratus ini bakal direalisasikan.

Sesuatu yang cukup memberangsangkan apabila hutang kerajaan berkurangan kepada 53 peratus berbanding 55 peratus sebelum ini. Terdapat pihak tertentu yang menggunakan hujah hutang negara yang tinggi sebagai modal untuk menyatakan ekonomi negara tidak berada dalam keadaan yang baik. Walhal, kita semua tahu, negara kita menjadi salah satu destinasi utama untuk warga negara asing bekerja. Ini sekali gus menjadi petanda bahawa ekonomi negara berada dalam keadaan meyakinkan.

Justeru BNM mengingatkan bahawa kita tidak perlu bimbang dengan prospek negatif yang diberikan oleh Fitch Rating terhadap ekonomi Malaysia. Sebagai agensi rating yang mempunyai pengaruh ekonomi ke atas sesebuah negara, pertumbuhan KDNK dan penurunan hutang merupakan testimoni terbaik untuk jawapan ke atas Fitch Rating.

Susulan angka-angka ekonomi terbaharu yang diumumkan oleh BNM, diharapkan agensi rating antarabangsa akan mengeluarkan prospek positif ke atas ekonomi negara.

Meskipun ekonomi negara berkembang pada kadar yang amat meyakinkan, namun kita tidak boleh sesekali lena dibuai mimpi indah. Lebih banyak cabaran perlu diharungi pada masa hadapan antaranya di luar jangkaan dan kawalan kerajaan seperti kemelesetan ekonomi global.

Salah satu cabaran utama negara yang perlu diurus dengan baik pula adalah kadar inflasi. Kadar inflasi yang dijangka meningkat terutamanya selepas kerajaan melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada 1 April 2015, boleh memberi kesan terhadap prospek ekonomi negara pada tahun hadapan. Inflasi yang tinggi boleh menjejaskan perbelanjaan pengguna.

Begitu juga, kerajaan dijangka mengumumkan program rasionalisasi subsidi yang sebagaimana sebelum ini telah meningkatkan kadar inflasi.

Mahu tidak mahu, kadar inflasi meningkatkan harga barangan dan perkhidmatan. Dengan ini, rakyat terpaksa membayar lebih ke atas harga barangan dan perkhidmatan berbanding sebelum ini. Keadaan ini perlu diurus dengan baik agar tidak membebankan rakyat.

Untuk mengatasi permasalahan ini, pendapatan rakyat perlulah meningkat mengatasi harga barangan dan perkhidmatan. Untuk meningkatkan pendapatan rakyat, kerajaan telah mengumumkan pelbagai aktiviti ekonomi di bawah ETP.

Strategi untuk meningkatkan pelaburan langsung asing dan pelaburan langsung domestik dengan tawaran pekerjaan yang berpendapatan tinggi untuk rakyat Malaysia boleh mengurangkan beban kos sara hidup rakyat ini.

Peluang pekerjaan yang berpendapatan tinggi pula sudah tentulah memerlukan para pekerja yang berkualiti dari segi kepakaran modal insan. Sudahkah kita terutamanya generasi muda bersedia dalam ruang lingkup pekerjaan yang memerlukan kepakaran tinggi?

Kita tidak boleh lagi mengharapkan peluang pekerjaan yang banyak tetapi berpendapatan murah. Ini boleh menjejaskan prospek ekonomi kerana negara kita sudah tidak boleh lagi bersaing dengan negara-negara lain menggunakan pendekatan kos buruh murah.

Produktiviti, kreativiti dan inovasi yang diadun dengan kepakaran tinggi boleh menjana peluang pekerjaan yang berpendapatan tinggi.

Peluang-peluang perniagaan juga perlu direbut oleh warga Malaysia. Kita tidak boleh hanya membiarkan peluang-peluang perniagaan ini dinikmati oleh warga negara asing. Ramai kalangan mereka yang asalnya datang sehelai sepinggang kini telah menjadi usahawan berjaya yang kaya-raya.

Apalah gunanya prospek ekonomi yang cukup baik, jika tidak dinikmati oleh rakyat Malaysia sendiri.

Malaysia memerlukan lebih ramai lagi usahawan berjaya yang bukan sahaja mampu merancakkan ekonomi domestik bahkan menjadi pengeksport barangan dan perkhidmatan ke peringkat antarabangsa.

Dengan itu, pertumbuhan ekonomi negara akan berkembang secara konsisten bagi mencapai sasaran negara maju pada tahun 2020, sekali gus kekal mapan selepas itu dalam tempoh jangka masa panjang.   Rohami Shafie ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan (SOA), Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia (UUM).   Utusan/Rencana/20140818

Tags: ekonomi
Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Manusia Tanpa Kemanusiaan

    Manusia dan kemanusiaan harusnya seiring. Kata orang lama di tempat saya , manusia tanpa kemanusiaan umpama haiwan atau binatang. Sejak kecil…

  • Latah Wilayah atau Negeri

    Adalah saya merujuk kepada artikel ‘ Ada apa dengan istilah ‘wilayah’,’negeri’? ’ bertarikh…

  • Jujur kepada diri sendiri dalam hidup

    Kejujuran atau bersikap jujur adalah suatu perkara yang paling penting. Sentiasalah bersikap jujur dengan diri anda tanpa ragu-ragu mengenai…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments