kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Pentingnya semangat cinta tanah air dari bangku sekolah

SEORANG bekas anak murid penulis menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada penulis baru-baru ini, bertanyakan tentang sambutan ulang tahun kemerdekaan negara yang bakal diadakan tidak berapa hari lagi. Katanya, dia teringat akan pengisian aktiviti ulang tahun kemerdekaan ketika dia menjadi anak murid penulis beberapa tahun lalu.


Rupa-rupanya anak murid penulis itu kini juga menjadi seorang guru di sebuah sekolah menengah di Perak. Amat menarik kerana anak murid penulis itu masih ingat akan penulis dan aktiviti yang penulis dan rakan-rakan penulis adakan di sekolah suatu masa dahulu sempena ulang tahun kemerdekaan negara. Ia termasuklah deklamasi sajak, nyanyian lagu patriotik dan pengkisahan tokoh sejarah,

Penulis membalas SMS itu dengan menyarankan agar dia menjalankan aktiviti sama yang diubah suai mengikut keadaan. Penulis turut mengingatkan bahawa apa yang penting adalah sambutan ulang tahun kemerdekaan biarlah diisi dengan acara-acara berkaitan dengan semangat cintakan tanah air.

Ataupun, jika kebetulan sekolah sibuk dengan peperiksaan percubaan bagi kelas-kelas yang bakal menduduki peperiksaan pada akhir tahun, aktiviti yang berkaitan boleh juga diadakan kerana banyak manfaat yang boleh dipelajari dan dijadikan peringatan dan pengajaran.

Penulis agak tertarik apabila bekas anak murid penulis itu mempunyai semangat cinta tanah air yang tinggi dan mahu pula diwariskan kepada anak-anak muridnya.

Setidak-tidaknya, apabila ada kelangsungan dari satu generasi ke generasi yang lain tentang pentingnya menghargai kemerdekaan, usaha-usaha untuk menanam rasa cinta akan tanah air akan berterusan.

Agak menyedihkan kerana sudahlah anak muda sekarang tidak pernah merasai kesusahan zaman penjajahan, mereka tidak pula didedahkan dengan aktiviti untuk memupuk perasaan cintakan tanah air. Oleh sebab mereka tidak pernah merasainya, rasa cinta akan tanah air seolah-olah tidak penting dalam diari hidup mereka.

Menerusi mata pelajaran Sejarah, murid-murid sama ada di sekolah rendah atau menengah diajar pelbagai perkara tentang sejarah tanah air, susah-payah pejuang kemerdekaan, kesukaran penduduk ditindas penjajah, bagaimana kita memperoleh kemerdekaan dan pelbagai perkara lagi.

Tidak dinafikan bahawa sekolah mampu memainkan peranan untuk menanam rasa cinta akan tanah air dalam kalangan generasi muda. Selain subjek Sejarah, aktiviti-aktiviti yang dijalankan sepanjang bulan kemerdekaan boleh mendekatkan diri dan jiwa murid sekolah dengan rasa cinta akan tanah air. Mereka akan menghayati dan memahami sukarnya pejuang-pejuang terdahulu membebaskan negara daripada cengkaman penjajah.

Selain mendeklamasi sajak, pengkisahan tokoh sejarah, pementasan drama pendek dan melukis potret tokoh sejarah, pihak sekolah boleh mengadakan pertandingan menulis puisi, cerpen dan drama pendek yang bertemakan cintakan tanah air.

Dengan cara ini, murid-murid akan membuat rujukan, dan mempelajari sejarah dengan lebih mendalam yang setidak-tidaknya akan berbekas dalam jiwa mereka.

Tidak kira sama ada seseorang murid itu berada di sekolah rendah atau menengah, penekanan tentang semangat cinta akan tanah air, perpaduan, menghormati negara serta pemimpin dan kepatuhan terhadap raja, Perlembagaan dan undang-undang sangat penting.

Penulis berpendapat, guru-guru mestilah memainkan peranan yang lebih berkesan untuk menyemai pelbagai nilai positif kepada murid-murid dengan harapan apa yang mereka pelajari di sekolah akan terkesan sampailah mereka berada dalam khalayak masyarakat selepas tamat persekolahan.

Dalam hal ini, mata pelajaran Sejarah mestilah diangkat martabatnya di sekolah. Apabila mata pelajaran Sejarah diangkat menjadi mata pelajaran wajib lulus di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), ia memperlihatkan betapa sejarah itu sangat penting.

Sejarah tanah air dapat menanam rasa setia generasi muda terhadap tanah air, malah mereka akan mengenali tokoh-tokoh pejuang bangsa dan negara yang membolehkan kemerdekaan dicapai dan mengisinya pula dengan kejayaan dalam pelbagai bidang.

Anak-anak muda yang diasuh dan dibiasakan dengan sejarah tanah air tidak akan mudah terpengaruh dengan anasir asing yang cuba menggugat keamanan dan mencemarkan kesucian Perlembagaan.   M JASNI MAJED Utusan/Rencana/20140818

Tags: patriotik
Subscribe

  • Trapik Lait Ija ...

    Kite lalu depang Trafik lait … ija ija ija .. sini ija jugok Langkawi kalu jalang … ija dok ? … Ghase-ghasenye nye selughuh…

  • Mitok share ! Mitok share !

    Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh Mitok share kepade sumue oghang hok dengo voice ni ... gini ... Jighaen saye kepade jighaen saya kepade…

  • Bahasa

    Bahasa berfungsi sebagai pintu masuk ke dalam minda, kata ahli psikologi. Oleh itu, tidak menghairankan bahawa cara kita bercakap dapat…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments