kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Ranking bukan segala-galanya

BARU-BARU ini sebuah portal berita propembangkang mengkritik kerajaan kerana dikatakan membelanjakan wang cukup banyak untuk bidang pendidikan tetapi masih gagal menaikkan ranking institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tempatan. Portal tersebut merujuk Ranking Universiti Asia Times Higher Education (THE-AUR) 2014 yang tidak menyenaraikan IPTA tempatan dalam senarai 100 universiti terbaik Asia.

Dalam wawancara dengan wartawan Utusan Malaysia, NIZAM YATIM di Kuala Lumpur baru-baru ini, Profesor Bahagian Matematik, Pusat Asasi Sains Universiti Malaya (UM), PROF. DR. MOHD. SAHAR YAHYA (gambar) menjelaskan IPTA tempatan termasuk UM yang merupakan universiti tertua di negara ini tiada dalam senarai kerana tidak menyertai ranking berkenaan.

Bagaimanapun kedudukan UM berdasarkan penilaian Ranking Universiti Asia Quacquarelli Symonds (QS-AUR) 2014 pula menunjukkan peningkatan ke tangga 32 tahun ini berbanding 33 tahun lalu.

UTUSAN: Boleh komen kenapa IPTA kita tidak tersenarai dalam ranking THE-AUR 2014?

MOHD. SAHAR: THE-AUR adalah satu ranking baharu yang diperkenalkan pada 2010. Oleh kerana ia masih baharu, metodologi dan penunjuk yang digunakan masih belum stabil dan sentiasa berubah-ubah. Oleh sebab itu, kebanyakan universiti di Malaysia tidak mengambil bahagian dalam ranking ini.

Sebab lain kita tidak menyertainya kerana beberapa penunjuk yang dinilai seperti 'pendapatan penyelidikan' tidak menyebelahi institusi dari negara membangun.

Penilaian yang melibatkan penunjuk ini akan memberi kelebihan kepada universiti di negara maju yang kerajaannya membelanjakan peratusan wang yang banyak daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk tujuan penyelidikan dan sebahagian wang ini turut disalurkan ke universiti-universiti.

UM tidak pernah memberi apa-apa data untuk tujuan penilaian oleh THE-AUR. Antara sebabnya kerana kita tidak mahu data-data tentang penyelidikan kita yang dianggap rahsia terdedah kepada pihak asing. Oleh itu, UM tidak tersenarai dalam keputusan ranking berkenaan.

Apabila UM berpuas hati dengan kestabilan metodologi dan penunjuk yang digunakan oleh pihak berkenaan dan setelah mendapati kita telah benar-benar bersedia, barulah kita akan mengambil bahagian.

Bagaimanakah kita hendak mengetahui ranking UM?

Kedudukan terkini UM diukur menerusi QS-AUR 2014 yang bermula sejak 2009.

Kedua-dua ranking QS dan THE menitikberatkan penunjuk yang sama iaitu pembelajaran, penyelidikan dan pengantarabangsaan.

Dalam masa lima tahun kebelakangan ini, UM telah menunjukkan peningkatan kedudukan dalam QS-AUR. Pada 2009, ranking UM adalah pada kedudukan ke-39. Ia telah meningkat tempat ke-33 pada 2013 dan meningkat lagi satu anak tangga kepada 32 pada 2014.

Empat universiti penyelidikan tempatan lain juga tersenarai dalam kalangan 100 universiti terbaik Asia dalam QS-AUR 2014 iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada kedudukan ke-56; Universiti Sains Malaysia (USM), 57; Universiti Teknologi Malaysia (UTM), 66 dan Universiti Putra Malaysia (UPM), 76.

Apakah faktor yang menyebabkan ranking UM meningkat?

Ranking kita meningkat kerana kerjasama baik yang diberikan oleh semua pihak. Galakan dan insentif yang diberikan oleh pihak pengurusan universiti telah membuatkan semua pihak berusaha bersungguh-sungguh untuk meningkatkan ranking UM.

Antara penunjuk yang dinilai adalah graduan kita mudah untuk mendapat pekerjaan dan reputasi mereka juga cukup baik di kalangan majikan.

UM juga telah menunjukkan peningkatan dari segi penyelidikan berimpak tinggi (HIR) seperti penyakit denggi dan kristal cecair.

Faktor positif lain yang dinilai adalah peningkatan pengambilan pensyarah baharu yang mempunyai kelulusan ijazah yang berkualiti. Dalam masa sama, kita juga masih mengekalkan perkhidmatan profesor berpengalaman.

UM juga dilihat berjaya menguruskan kewangan dengan cekap termasuk dalam soal menyalurkan dana untuk membiayai penyelidikan oleh kakitangannya.

Pihak penilai QS-AUR juga mendapati wujud peningkatan dalam usaha UM mewujudkan jaringan kerjasama dengan institusi dan penyelidik di peringkat antarabangsa dan menambah graduan lepasan ijazah.

Apakah langkah seterusnya bagi meningkatkan ranking UM?

UM akan berusaha untuk mendapatkan khidmat 'ikon akademik' seperti pemenang Hadiah Nobel mengajar di universiti kita kerana ia akan membantu meningkatkan ranking.

Kita juga akan berusaha melahirkan individu yang boleh menang Hadiah Nobel atau sekurang-kurangnya hadiah lain di peringkat antarabangsa menerusi skim 'Bright Sparks' yang berperanan mengenal pasti pelajar cemerlang yang akan diberikan galakan dan insentif kewangan bagi membolehkan mereka melakukan penyelidikan dalam bidang-bidang ilmu baharu yang sangat berguna kepada dunia.

Pensyarah dan pelajar yang berjaya melakukan penyelidikan berkualiti dan hasil penemuannya disiarkan dalam jurnal antarabangsa akan diberi ganjaran lebih banyak, mungkin mencecah ratusan ribu ringgit.

Kita juga akan menambah peralatan moden dan membangunkan infrastruktur baharu di UM bagi menarik lebih banyak pihak untuk mengadakan penyelidikan di universiti ini.

Bagi menarik lebih ramai staf akademik terbaik menyertai UM, skim gaji baharu yang lebih baik dan peluang kenaikan pangkat juga akan diperkenalkan.

Boleh komen kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa kedudukan ranking IPTA tempatan di peringkat dunia bukanlah asas utama untuk memacu bidang pengajian tinggi negara ke arah kecemerlangan?

Matlamat utama kita menyertai ranking sepatutnya hanya untuk satu tujuan iaitu bagi membolehkan IPTA tempatan mengetahui kedudukannya berbanding universiti lain.

Tetapi kita tidak boleh terlalu taksub untuk mendapat ranking yang tinggi sehingga melaksanakan segala syor yang tidak sesuai dengan suasana tempatan seperti pengambilan pelajar mengikut merit sepenuhnya berdasarkan kelayakan akademik sahaja.

Ini sudah tentu akan menutup peluang pelajar miskin, mereka yang tinggal di luar bandar dan golongan bumiputera masuk ke IPTA.

Tumpuan utama kita sepatutnya adalah untuk menyediakan pembelajaran yang berkualiti kepada rakyat agar apabila mereka tamat pengajian akan menjadi individu yang bernilai kepada negara.

Kita sepatutnya berbangga kerana sejak dahulu walaupun universiti kita tidak mendapat apa-apa ranking, ia telah berjaya mengeluarkan doktor, jurutera, akauntan dan lain-lain bidang kerjaya yang mempunyai kepakaran setara dengan rakan mereka di negara-negara maju.

Adakah ini bermakna ranking tidak penting?

Kita akui ranking yang tinggi mempunyai kesan positif kepada sesuatu institusi kerana ia akan menarik bakat iaitu pelajar dan staf akademik yang berprestasi tinggi untuk menyertai universiti dan memudahkannya untuk mewujudkan jaringan rangkaian penyelidikan dengan institusi antarabangsa.

Walaupun menyedari kesan positif menyertai ranking, kita dalam masa sama tidak mahu menggadai tujuan utama penubuhan IPTA iaitu memastikan wujud keseimbangan mengikut kaum dalam sektor pekerjaan.

Antara penyelesaian yang saya boleh nampak adalah dipilih satu atau dua IPTA sahaja yang akan terlibat menyertai ranking antarabangsa.

IPTA lain seperti Universiti Teknologi Mara (UiTM) hendaklah terus dengan agenda untuk memperbanyakkan golongan bumiputera dalam semua sektor pekerjaan.

Kenapa ranking tidak meningkat walaupun bajet pendidikan bertambah daripada RM38.7 bilion pada 2013 kepada RM54 bilion tahun ini?

Saya difahamkan peningkatan bajet Kementerian Pendidikan berpunca kerana bilangan murid yang menyertai alam persekolahan semakin bertambah setiap tahun.

Peruntukan ini juga adalah untuk mencapai sasaran kerajaan iaitu 50 peratus golongan pelajar berusia 17 hingga 23 akan berada di universiti pada 2020.

Kebanyakan bajet bukan bertujuan menaikkan ranking sebaliknya digunakan untuk menambah kemudahan infrastruktur di IPTA sedia ada dan mewujudkan universiti baharu bagi menampung peningkatan jumlah pelajar. tusan/Rencana/20140818

Tags: ranking
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments