kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Mingguan Malaysia selepas setengah abad

Pada 30 Ogos 1964 syarikat akhbar Utusan Melayu membuat percubaan berani menerbitkan akhbar tulisan rumi bernama Mingguan Malaysia. Ketika itu banyak pihak skeptikal dengan tindakan Utusan Melayu menerbitkan akhbar rumi ketika tulisan jawi menjadi medium paling berpengaruh dalam masyarakat. Tetapi Utusan Melayu mahu menjadi pelopor bukan pengikut. Keyakinan itu diperlihatkan dengan iltizam tinggi menerbitkan Mingguan Malaysia yang diterajui oleh pengarang pertamanya, Allahyarham Harun Hassan.


Ketika Mingguan Malaysia diterbitkan, akhbar tulisan jawi, Utusan Melayu berada pada kedudukan yang sangat kukuh. Utusan Melayu diingati jasanya memperjuangkan kemerdekaan negara sama seperti akhbar The Washington Post diyakini semula kerana membongkar skandal Watergate dan menumbangkan Presiden Richard Nixon tahun 1974. Tiga tahun kemudian iaitu 1967, Utusan Melayu menerbitkan akhbar harian Utusan Malaysia juga bertulisan rumi.

Ada pula yang sarkastik berkata, kelangsungan Mingguan Malaysia dan Utusan Malaysia bertulisan rumi adalah sumbangan besar Menteri Pelajaran, Khir Johari yang mengetepikan tulisan jawi dalam sistem pendidikan tahun 1969. Tetapi saya percaya kedudukan tinggi Mingguan Malaysia dalam dunia persuratkhabaran negara ini bukanlah sepenuhnya kerana dasar kerajaan Perikatan (sekarang Barisan Nasional) menghapuskan tulisan jawi.

Pada awalnya Mingguan Malaysia tidak dapat lari daripada menjadi salinan kepada Utusan Melayu, kemudian selepas kelahiran Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia menjadi salinan pula kepada akhbar harian ini. Tetapi secara perlahan-lahan Mingguan Malaysia mencari dan mencipta pengenalan diri bahawa ia bukan 'Utusan Malaysia' yang diterbitkan pada hari Ahad. Mingguan Malaysia kini berdiri dengan tanda pengenalan diri yang tersendiri.

Faktor penting ialah meraikan perbezaan pendapat, memuatkan tulisan-tulisan yang kontroversial serta mengemukakan sudut pandangan yang baharu. Memang sudut pandangan Mingguan Malaysia sering luar biasa dan sedikit menongkah arus. Ini kerana Mingguan Malaysia percaya hanya ikan hidup sahaja yang akan menongkah arus, ikan mati hanya mengikut arus. Mingguan Malaysia tidak mahu menjadi seperti ikan mati yang hanya dibawa arus.

Sabtu ini 30 Ogos genaplah 50 tahun Mingguan Malaysia. Daripada akhbar rumi kerdil yang terbit pada era kegemilangan tulisan jawi, menangani kerenah luar biasa orang politik dan 'bersilat' untuk mendapatkan sedikit ruang bagi kepentingan masyarakat selain menjadi alat politikus mencapai agenda, Mingguan Malaysia mampu melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik. Walaupun terdedah kepada tindakan saman bermotif politik, Mingguan Malaysia tidak ada pilihan selain terus bersuara. Kini Mingguan Malaysia mencatatkan jualan tertinggi di negara ini.

Terbanyak

Sebenarnya usia dan jualan terbanyak bukanlah tanda aras bagi sesebuah akhbar dalam konteks pendemokrasian maklumat dan pencetus pemikiran rakyat. Kalau Mingguan Malaysia berusia 50 tahun, akhbar-akhbar di Amerika Syarikat (AS) atau United Kingdom (UK) misalnya jauh lebih lama lagi. Kalau jualan menjadi tanda aras, apalah sangat dengan jualan Mingguan Malaysia sebanyak 375,000 naskhah sehari berbanding akhbar di luar negara yang jauh lebih tinggi terutama akhbar picisan. Cuma dalam konteks negara ini jualan tertinggi Mingguan Malaysia menafikan tanggapan sesetengah pihak bahawa akhbar sensasi sahaja yang laris di pasaran. Dengan statistik yang dikeluarkan oleh Biro Pengauditan Pengedaran (ABC) setidak-tidaknya membuktikan masih banyak dalam kalangan masyarakat memilih bahan bacaan serius seperti Mingguan Malaysia.

Saya percaya masih banyak yang dahagakan tulisan-tulisan dan kupasan yang serius tentang isu-isu yang merentasi sempadan geografi dan politik setempat. Golongan inilah yang meletakkan Mingguan Malaysia sebagai akhbar edaran tertinggi tanpa menafikan faktor sisipan hiburan Pancaindera yang memberi fokus kepada dunia kehidupan di belakang tabir selebriti yang penuh intrik, kemilau dan sensasi. Daripada reaksi yang diperoleh secara rambang daripada masyarakat pembaca, mereka mahukan kupasan-kupasan yang memberikan pandangan kedua. Mereka tidak mahu memuji sesuatu dengan melulu untuk menjaga kepentingan pihak tertentu, juga tidak mahu kecaman yang semborono dan murahan untuk menjatuhkan sesuatu pihak.

Selama lima dekad, Mingguan Malaysia merentasi garis masa landskap politik dan sosial yang berbeza. Pernah mencatatkan jualan 600,000 naskhah sehari tetapi zamannya berbeza. Waktu itu pendemokrasian maklumat tidak lebar seperti sekarang.

Bagi saya adalah tidak tepat kalau hanya mengukur kegemilangan silam tanpa realistik keadaan semasa. Cabaran dan tuntutan khalayak pembacanya berbeza. Pelantar maklumat bercambah malah budaya kerja kewartawanan juga berubah.

Mingguan Malaysia akhbar politik. Saya tidak menafikan hakikat ini. Tetapi Mingguan Malaysia bukan pamplet politik yang tidak membuka ruang kepada pandangan kedua yang mungkin sedikit radikal dan kritis. Mingguan Malaysia memberikan peluang kepada tokoh-tokoh pembangkang misalnya Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat, Salahuddin Ayub dan Nasaruddin Mat Isa dalam ruangan wawancara. Ada juga sesetengah pihak kurang selesa. Tetapi inilah Mingguan Malaysia yang sentiasa meraikan pandangan berbeza. Ku Seman Ku Hussain Utusan/Rencana/20140824

Tags: akhbar
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments