kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Analisis Mingguan: Bisik-Bisik Awang Selamat

Kritikan Mahathir

Selain merasa tidak selesa, Awang tidak teruja untuk mengulas kritikan Dr. Mahathir Mohamad terhadap Perdana Menteri, Najib Tun Razak.

Seperti rakyat yang lain, Dr. Mahathir berhak untuk suarakan pandangan sama ada yang manis mahupun pedas. Sejak mula berpolitik, itu sememangnya gaya beliau - mengkritik, memberikan idea dan melakukan provokasi.

Kali ini ramai tersentak kerana Dr. Mahathir mengumumkan beliau menarik balik sokongan kepada Najib. Pada Awang, tindakan itu tidak kena pada masanya tetapi itulah Dr. Mahathir. Syukur kerana Najib seperti biasa - sabar, tenang dan tidak melatah. Perdana Menteri sudah terbukti mempunyai rekod baik dalam menangani kritikan para pemimpin termasuk Dr. Mahathir.

Awang percaya Perdana Menteri ada keyakinan mengolah apa sahaja kritikan, untuk menjadikan beliau lebih kuat. Reaksi para pemimpin kanan UMNO juga nampaknya berhati-hati, itulah pendekatan terbaik. Dalam menyokong Najib, kekalkanlah rasa hormat kepada negarawan itu atas banyak jasa dan kecemerlangannya kepada negara.

Mesej sokongan UMNO kepada Najib dalam isu ini sudah jelas kepada semua. Sebarang reaksi keterlaluan tidak akan membantu. Janganlah kocakkan lagi suasana.

Masyarakat Melayu terutama di akar umbi tidak rela untuk melihat perpecahan lebih meluas yang akhirnya memudaratkan kuasa politik bangsa. Biarlah berbeza pandangan tetapi kekalkanlah dalam rangka permuafakatan.

Soal kritikan negarawan ke atas Perdana Menteri adalah hal biasa. Dr. Mahathir sendiri ketika menjadi Perdana Menteri tidak sunyi daripada teguran antaranya daripada Tunku Abdul Rahman.

Kini Najib menerajui negara dalam landskap politik yang jauh lebih mencabar berbanding era-era sebelum ini. Maka beliau perlu disokong atas banyak faktor. Antaranya prestasi pentadbiran beliau setakat ini tidak mengecewakan termasuk mengurus krisis seperti MH17.

Menarik balik sokongan kepada Najib, bukan jalan penyelesaian, malah boleh mengundang pihak-pihak yang ghairah menangguk di air keruh.

Sebagai rakyat Malaysia yang menghargai kepimpinan strategik terutama demi kestabilan dan kecemerlangan ekonomi, Awang akan terus menyokong Najib (sama keadaannya ketika Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri) - sambil berdoa agar kata-kata negarawan itu untuk menarik balik sokongan - tidak seperti apa yang dimaksudkan.

Semoga juga ada ruang untuk kembali bertaut. Carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum jua.

Parti anak-beranak

Kongres Nasional PKR Ke-10 di Shah Alam semalam ternyata hambar. Bukan sahaja disebabkan ketidakhadiran para pemimpin utama Pas semasa majlis perasmian, bahkan yang cukup terasa ialah ketiadaan Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim. Rupa-rupanya beliau ada aura dan tarikannya sendiri terutama di peringkat akar umbi.

Khalid dipecat daripada parti kerana enggan meletakkan jawatan yang menyaksikan hubungan PKR-DAP dan Pas tegang serta terburuk dalam sejarah pakatan itu.

Para perwakilan melangkah ke kongres tersebut ketika imej PKR merudum kerana berdepan dengan pelbagai masalah dalaman. Selain krisis jawatan menteri besar, parti tersebut dibelenggu isu pemilihan yang diwarnai pergaduhan, ketegangan dan penipuan.

Seorang kenalan yang juga perwakilan memberitahu Awang, jika boleh dia mahu memakai topeng kerana malu dengan pelbagai isu daripada moral pemimpin hinggalah kemelut pemilihan yang belum mampu diselesaikan. Tidak hairan mengapa banyak kerusi kosong termasuk pada Kongres Wanita dan Pemuda PKR, kelmarin. Suasana muram itu adalah mesej daripada ahli-ahli PKR sendiri kepada kepimpinan terutama Penasihat PKR, Anwar Ibrahim dan Presiden PKR, Wan Azizah Wan Ismail. Kini PKR dikuasai oleh keluarga Anwar termasuk Nurul Izzah selaku Naib Presiden.

Anak-beranak inilah, yang dilihat menentukan pendirian parti dalam isu-isu besar, yang menyebabkan banyak ahli sudah merasa tidak senang. Ini termasuk Langkah Kajang digerakkan oleh Anwar yang akhirnya membawa mudarat kepada PKR. Kongres yang hambar itu merupakan satu lagi tamparan kepada anak-beranak tersebut terutama Anwar yang tampil dengan wajah yang kelihatan agak keruh. Apa yang menarik untuk diketahui selepas kongres tersebut, apakah Wan Azizah dapat diangkat menjadi Menteri Besar sebagaimana yang suaminya perjuangkan habis-habisan, seolah-olah pemimpin lain tidak layak dan dipercayainya.

Apakah nanti Wan Azizah dapat menguasai rizab negeri Selangor berjumlah RM3 bilion, yang selama ini diurus dengan baik oleh Khalid. Terdapat beberapa pihak seperti dilaporkan bimbang rizab itu akan digunakan antara lain bagi misi menyelamatkan karier politik Anwar termasuk membiayai siri demonstrasi jalanan besar-besaran sekiranya beliau dipenjarakan atas kesalahan meliwat.

Ketika kongres berlangsung, khabarnya Khalid kelihatan santai melakukan urusannya bersama keluarga. Tiada sedikit pun riak wajahnya gundah atau tertekan. Beliau sudah bersedia untuk hadapi apa sahaja kemungkinan berhubung kedudukannya selepas ini. Sama ada dikekalkan atau tidak, Awang percaya Khalid akan bangkit. Pada tangannya juga ada rahsia yang belum terdedah, yang bakal meledak jika suasana mendesak.

Lepaskan sahaja

Hasrat Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah untuk melepaskan jawatan sebagai Presiden Persekutuan Hoki Malaysia (MHC) antara isu menarik dalam sukan tanah air.

Sebaik-baik sahaja Tengku Mahkota Pahang itu membuat pengumuman, ada pihak mahu memujuk agar baginda membatalkan hasratnya. Desas-desus mengaitkan prestasi buruk skuad hoki lelaki negara di Piala Dunia dan Sukan Komanwel antara punca Tengku Abdullah mahu berundur.

Jika benar, apa salahnya untuk baginda mengambil tanggungjawab itu dan memberi peluang kepada tokoh lain. Janganlah rayu untuk ditimbang semula. Hormatilah keputusan tersebut.

Lagipun Awang lebih mengharapkan Tengku Abdullah memberikan sepenuh tumpuan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang beliau kini terajui.

Sebagaimana prestasi bola sepak Malaysia yang menuntut kebangkitan, perhatian yang besar juga perlu diberikan kepada hoki agar pencapaian kita setidak-tidaknya kekal bertaraf dunia. Namun Tengku Abdullah perlu buat hanya satu pilihan, yang keperluan di FAM lebih mendesak.

Kisah teladan

Langkah Ketua Pegawai Eksekutif Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd (MRT Corp.), Azhar Abdul Hamid meletakkan jawatan ekoran runtuhan konkrit yang mengorbankan tiga nyawa, terus menjadi perbualan.

Pada pengamatan Awang, tindakannya itu lebih mengejutkan daripada kemalangan tersebut.

Sememangnya atas kertas, tidak akan menjadi isu jika Azhar terus menyandang jawatannya apatah lagi meletakkan jawatan dengan cara begitu bukan budaya di Malaysia. Ada pula yang berpegang kepada pemikiran tindakan sedemikian bukan jalan keluar terbaik dalam mencari penyelesaian.

Namun Awang mahu merakamkan penghormatan kepada beliau kerana berani mengambil tanggungjawab biarpun ketika beliau masih diperlukan.

Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim sekali lagi membuktikan beliau seorang pemimpin politik yang budiman. Khalid memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Selangor berikutan krisis politik di negeri itu yang berpunca daripada gerakan mahu menggulingkannya.

Beliau mengakui krisis tersebut menyebabkan rakyat menerima tempiasnya. Namun Khalid menyifatkan apa yang berlaku itu sebagai harga sebuah integriti yang mahu dipertahankannya sebagai seorang pemimpin. Seingat Awang, ini bukan kali pertama beliau memohon maaf. Pernah Khalid berbuat demikian kepada seluruh ahli PKR ekoran pelbagai masalah dalam pemilihan parti itu. Ketika pemimpin utama PKR mengelak untuk menzahirkan rasa tanggungjawab apatah lagi memohon maaf, beliau sudah ke hadapan memikulnya tanpa rasa gentar, malu dan teragak-agak.

Satu lagi kisah yang wajar dijadikan teladan ialah melibatkan pengarah dan bintang filem terkemuka, Jackie Chan selepas anaknya, Jaycee Chan ditahan kerana terbabit dalam kegiatan dadah. Jackie Chan tampil memohon maaf kepada masyarakat sambil menyatakan rasa malu. Malah beliau dilaporkan mengakui apa yang berlaku itu juga mencerminkan kegagalannya mendidik Jaycee, 31, yang juga seorang pelakon.

Jarang ada bapa, lebih-lebih lagi seorang selebriti, berjiwa besar seperti itu. Tidak malu untuk memikul tanggungjawab atas tingkah laku anaknya yang sudah dewasa dan boleh berdikari. Berdasarkan banyak bahan bacaan menerusi Internet, Jackie tegas dalam mendidik anak selain diakui begitu penyayang. Pada April lalu, legenda itu mengumumkan mahu menyerahkan separuh harta selain jawatan Pengarah Urusan JCE Movies Limited kepada Jaycee pada suatu hari kelak. Begitulah kasih seorang bapa. Tentu kejadian yang menimpa anaknya itu merobek perasaan Jackie, yang kisah seumpama itu sentiasa mewarnai kehidupan di sekeliling kita. Utusan/Rencana/20140824/

Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments