kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Pentingnya Dasar Sosial Negara difahami

MENJELANG hari ulang tahun kemerdekaan ke-57 mampukah kita semua mengekalkan kehidupan yang sejahtera? Jawapannya banyak bergantung pada sikap dan pandangan kita terhadap penguasaan ilmu dan kemahiran yang tinggi. Di samping itu, kemantapan akidah, iman dan akhlak juga memainkan peranan penting ke arah kesejahteraan hidup dengan hubungan sosial yang baik.


Sebenarnya, kini politik telah memainkan peranan yang sangat besar pengaruhnya sehingga seluruh kehidupan kita dikuasai oleh politik. Kita tidak dapat menyeimbangkan bidang-bidang lain seperti sosial, ekonomi, pendidikan, budaya, sastera dan juga yang lebih penting agama disebabkan perbezaan fahaman politik.

Ketempangan ini menyebabkan hidup kita terasa tidak aman dan harmoni dan tidak sejahtera lagi. Malahan kita juga menghadapi pelbagai masalah iaitu anak-anak terjebak dengan pelbagai gejala sosial, keruntuhan rumah tangga, ancaman dadah yang membawa maut dan anak-anak tidak mendapat kasih sayang serta bimbingan secukupnya.

Apabila kehidupan kita tempang iaitu tidak seimbang akan menyebabkan kita tidak dapat mencapai hasrat yang dicita-citakan dalam bidang pendidikan anak-anak, penguasaan ekonomi, berlaku kecelaruan budaya, kelemahan kedaulatan bahasa, dan ketidakupayaan mencapai kehidupan yang aman dan sejahtera.

Hidup ini amat sementara sifatnya. Oleh itu, kedamaian, kesejahteraan dan keamanan adalah letaknya nilai hidup yang tinggi, bahagia dan murni. Orang tidak hidup dengan kata-kata tetapi pelaksanaan dalam pembangunan kehidupan itu lebih memberi erti kepada kehidupan sebenarnya.

Dalam transisi menuju kepada sebuah negara maju menjelang 2020, Malaysia terus gigih memperkasakan pelbagai agenda pembangunan modal insan dan pembangunan fizikal. Kejayaan pembangunan kedua-duanya akan menjadi petunjuk kepada kemajuan dan kesejahteraan rakyat.

Oleh itu, pemantapan aspek agama dan kepercayaan, ekonomi, politik, pendidikan, prasarana, sosial dan budaya serta Sains dan Teknologi sangat penting yang akan mempengaruhi kemajuan negara. Pemikiran rakyat juga seharusnya menjurus kepada pembangunan rohani dan jasmani.

Ini akan menyumbang kepada kehidupan yang tenang dan sejahtera. Iaitu, apabila rumah tangga bahagia, jiran tetangga mesra dan hubungan erat sentiasa terjalin, dan tidak berlaku jenayah dalam kehidupan bermasyarakat. Sifat saling menghormati juga sentiasa terjalin pada setiap masa.

Mengimbau dan mengimbas kembali Dasar Sosial Negara (DSN) ialah satu dasar pembangunan sosial berteraskan nilai-nilai murni dan peningkatan modal insan bagi mencapai kesepaduan dan kestabilan sosial, ketahanan nasional, dan kesejahteraan hidup masyarakat Malaysia yang maju dan mantap.

DSN diluluskan oleh Kabinet pada 19 Februari 2003 dengan matlamat: mewujudkan masyarakat Malaysia yang maju dan mapan dari aspek sosial, ekonomi, dan teknologi. Memberi peluang kepada setiap anggota masyarakat untuk mengembangkan potensi diri secara optimum dalam persekitaran sosial yang sihat berdasarkan nilai bersatu padu, berdaya tahan, demokratik, bermoral, bertoleransi, progresif, penyayang, adil dan saksama, selaras dengan matlamat Wawasan 2020.

Objektif umum DSN ialah memastikan setiap individu, keluarga, dan masyarakat dapat turut serta dan menyumbang kepada arus pembangunan negara serta menikmati kesejahteraan hidup secara berterusan tanpa mengira kumpulan etnik, agama, budaya, jantina dan fahaman politik.

Justeru, objektif khusus DSN ialah; memastikan keperluan asas individu, keluarga dan masyarakat dipenuhi, selain membangun dan memperkasakan insan sepanjang hayat, memperkukuh dan membangunkan sistem sokongan sosial serta perkhidmatan sosial dan menjana tenaga pelbagai sektor. Perlu diingat DSN ini diwujudkan hasil pemikiran, perbincangan dan penelitian rapi daripada pemimpin seluruh kaum di negara ini. Objektifnya sangat baik tetapi pelaksanaannya agak kurang berkesan disebabkan kita terlalu menumpukan soal politik. DSN sepatutnya difahami rakyat.

Perlu diingat, kekuatan sesebuah negara banyak bergantung pada kehidupan masyarakatnya yang bersatu, saling memahami, sedia berkorban demi negara dan politik yang stabil. Oleh itu, melalui dasar ini akan menggalakkan sikap inovatif, progresif, fleksibel dan berdikari melalui pendidikan dalam kalangan rakyat.

DR. AMINUDIN MANSOR pengamal media, PhD Persuratan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Utusan/Rencana/20140825

Tags: dasar, sosial
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments