kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Kawal FB sebelum cetus huru-hara

Secara kasarnya, jika ditolak jumlah golongan kanak-kanak di bawah lapan tahun dan warga emas lebih 60 tahun, jumlah 15.4 juta pengguna atau pemilik akaun laman sosial Facebook (FB) di Malaysia dianggap cukup besar. Itu sudah mampu mencecah kira-kira 60 peratus daripada kira-kira 30 juta rakyat Malaysia.

Tidak hairanlah jika Malaysia disenaraikan berada di tangga ke-18 dunia daripada aspek jumlah pengguna FB. Namun, bayangkan jika kerajaan membuat kejutan menukar dasar langit terbuka yang membenarkan penggunaan internet tanpa sempadan kepada dasar tertutup atau tapisan ketat.

Kutuk dasar kerajaan

Apa akan berlaku dan pastinya komuniti FB akan marah, mengamuk bahkan mengutuk dasar kerajaan dengan pelbagai tohmahan, gelaran, fitnah kenapa membuat keputusan seolah-olah berpatah balik ke belakang seperti negara mundur.

Buktinya cukup jelas, baru saja ada ura-ura kerajaan mahu mengkaji kewajaran sama ada FB perlu ditutup atau dikekalkan, kerajaan terus diserang dari pelbagai sudut tanpa usul periksa.

Soal faham atau tidak mengenai apa yang diperkatakan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek itu, mereka tidak peduli. Cuma apa yang terlintas di fikiran ialah perkataan 'menutup' FB, sedangkan pada hakikatnya kerajaan tidak pernah membuat keputusan, cuma menyatakan sama ada wajar atau tidak FB dikaji semula. Jika dikaji semula pun, belum tentu keputusannya ialah menutup FB atau menukar dasar penggunaan internet.

Banyak perkara perlu diambil kira -apa kesannya, bagaimana kaedahnya, penggantinya, berapa kos ganti rugi dan berapa ramai yang bakal terjejas? Dalam erti kata lain, ia bukan semudah seperti yang dilaungkan untuk menggubal sesuatu dasar.

Penulis lebih berminat untuk membicarakan kenapa perkara itu timbul. Pastinya, fokus utama ialah berlaku terlalu banyak penyebaran paparan berunsur fitnah, tohmahan, isu sensitif sehingga menjejaskan keharmonian yang dinikmati selama ini, bahkan ada yang cukup berani mencabar kuasa Raja-Raja.

Mereka begitu berani kerana boleh bersembunyi di sebalik akaun FB palsu. Jika isu itu menarik, ia akan menjadi viral dan matlamat untuk mewujudkan huru-hara melalui kontroversi ciptaan mereka tercapai, itu belum lagi dikira penyebaran bahan pornografi.

Apabila ini berlaku, rakyat akan menuding jari kononnya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan polis gagal mengawal atau jalankan tugas dengan baik.

Sedangkan, pelbagai akta dan undang-undang sudah tersergam di depan mata, cuma perlu kuatkuasakan saja, antaranya Akta Fitnah 1957; Akta Hasutan 1948; Akta Jenayah Komputer 1957 dan Kanun Keseksaan; Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Ini bukan soal berapa banyak akta sedia ada tetapi kenapa golongan tidak beretika ini seolah-olah sengaja mencetus polemik mencabar undang-undang sedia ada ataupun memang mereka mempunyai agenda tersembunyi.

2,000 laporan salah laku

Sehingga kini dianggarkan 2,000 laporan dibuat berhubung salah laku dalam penggunaan internet, termasuk fitnah dan hasutan. Itu termasuk laporan bertindan merujuk kepada satu kes tetapi laporannya dibuat banyak pihak.

Peratusnya cuma terlalu kecil jika dibandingkan dengan 15.4 juta pemilik FB di Malaysia tetapi mereka inilah yang menjadi tompok hitam dalam komuniti, mencemarkan nama baik dan menenggelamkan banyak nilai positif yang dinikmati pengguna lain.

Jika FB ditutup, bagaimana dengan nasib mereka yang bergantung kepada FB untuk mencari makan, termasuk golongan peniaga dalam talian, syarikat, orang industri filem dan pengiklanan.

Mungkin kerajaan boleh mengikut jejak langkah Singapura yang membenarkan akses terhad kepada pengguna FB. Pada zaman penggunaan gajet moden yang mementingkan kepantasan untuk akses, pengguna akan hilang sabar dan tidak berminat untuk kerap melayari FB.

Jangan cuma disebabkan tindakan biadab pihak tertentu yang menyalahgunakan FB atau media sosial lain, rakyat majoriti terpaksa menanggung akibatnya, sama seperti yang pernah berlaku ke atas rakyat Korea Utara, Iran, China, Cuba, Bangladesh, Mesir, Mauritius, Syria dan Pakistan.

Kesemua negara ini pernah menyekat atau mengawal ketat dengan hanya membenarkan proksi atau akses tertentu saja. Penulis percaya, apabila keadaan sudah menjadi tidak terkawal dan media sosial menjadi virus pembunuh, kerajaan akan lebih rela dianggap mengundur ke belakang daripada melihat negara musnah. Mohd Aziz Ngah Berita Harian Rencana AHAD, 17 OGOS 2014 @ 10:20 PM
Tags: facebook
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments