kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Wajibkan pendaftaran Facebook

SEBELUM ini negara dihebohkan dengan berita dalam laman sosial Facebook kononnya seorang kanak-kanak tempatan dijangkiti virus Ebola sehingga menimbulkan perasaan panik di kalangan rakyat.

Pembohongan itu tidak terhenti begitu sahaja apabila banyak lagi berita palsu yang disebarkan termasuk dakwaan planet Marikh akan membesar seperti bulan sehingga mewujudkan fenomena bulan berkembar pada Rabu ini.

Selain pembohongan, laman sosial juga menjadi tempat pihak tidak bertanggungjawab menghasut rakyat berbilang kaum dengan membuat komen yang menyentuh isu sensitif melibatkan kaum, agama dan sistem beraja.

Tidak cukup dengan itu, media sosial turut menjadi tempat 'ustaz' dan 'ustazah' siber mengeluarkan 'fatwa' melawan arus yang jika tidak dikawal sudah pasti akan mewujudkan perpecahan di kalangan umat Islam yang sememangnya sudah berpecah.

Gejala tidak sihat itu sudah pasti akan berterusan selagi mana pengguna laman sosial di negara ini masih tidak mementingkan etika seperti pengguna di negara maju.

Untuk mengharap pengguna dewasa mengubah sikap mereka mungkin jauh panggang daripada api kerana keperibadian seseorang itu hanya boleh dibentuk ketika masih kanak-kanak seperti kata pepatah 'melentur biarlah waktu rebung'.

Mungkin setelah generasi sedia ada berlalu barulah akan lahir kumpulan baharu pengguna laman sosial lebih beretika. Itupun dengan syarat kita telah menyediakan pendidikan secukupnya di peringkat sekolah sekarang mengenai etika yang betul ketika menggunakan laman sosial.

Berikutan kesukaran untuk mendisiplin pengguna laman sosial sedia ada, terdapat sesetengah pihak yang mengesyorkan dilaksanakan pendekatan drastik untuk mengekang gejala itu termasuk menyekat akses Facebook di negara ini seperti yang dilakukan di China dan Syria.

Bagaimanapun, bagi Ketua Kluster Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), Majlis Profesor Negara, Prof. Datuk Dr. Halimah Badioze Zaman, cadangan itu terlalu drastik dan radikal memandangkan salah laku hanya melibatkan kira 2,000 orang berbanding 15 juta pengguna Facebook di negara ini.

"Sekatan ke atas Facebook adalah tindakan tidak praktikal kerana ramai yang menggunakannya untuk pendidikan, perniagaan dan komunikasi. Dalam erti kata lain, Facebook ini mempunyai lebih banyak kelebihan berbanding kelemahannya.

"Sekiranya Facebook disekat, pengguna akan beralih kepada aplikasi lain yang menyediakan kemudahan hampir sama seperti Twitter dan Instagram.

"Sekarang pun dengan adanya kempen boikot ekoran serangan Israel ke atas Gaza, ramai orang Islam tidak lagi menggunakan Facebook yang dikaitkan dengan Yahudi sebaliknya telah beralih kepada perkhidmatan Telegram yang dikatakan lebih baik," katanya.

Bagaimanapun, beliau bersetuju dengan syor beberapa pihak agar kerajaan mengawal dan memantau media sosial secara lebih ketat agar perkara sensitif tidak disebarkan sewenang-wenangnya seperti apa yang berlaku sekarang.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan pendekatan bersepadu untuk menangani gejala berkenaan yang meliputi lima strategi yang dilaksanakan secara serentak.

Beliau berkata, strategi pertama, adalah mengkaji semula perkara ketujuh dalam Rang Jaminan Koridor Raya Multimedia (MSC) Malaysia yang menyebut bahawa tiada penapisan Internet kerana ia memberi kebebasan tanpa kawalan kepada pengguna media sosial.

"Kita harus sedar negara maju seperti United Kingdom (UK) pun telah menapis internet dan yang terbaharu ia menyekat halaman Facebook tertentu yang mengandungi kandungan yang mengancam keselamatan negara berkenaan," katanya.

Menurut beliau, strategi kedua, adalah memastikan semua pemilik akaun Facebook berdaftar dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sebelum mereka boleh mengakses laman sosial tersebut.

"Pendaftaran ini akan membolehkan SKMM mengenal pasti identiti sebenar setiap pemilik Facebook dan membuat pemantauan," ujarnya.

Katanya, strategi ketiga adalah pihak berkuasa memantau semua penulisan, gambar dan video di Internet dan bertindak menyekat akaun media sosial dan laman web yang memaparkan kandungan yang mempunyai unsur hasutan, penipuan, fitnah, lucah dan yang menganjurkan kepada aktiviti keganasan.

"Ada pihak beranggapan ini tidak boleh dilakukan kerana laman web menggunakan alamat di luar negara dan kandungannya tidak disimpan di Malaysia, tetapi sebenarnya di pasaran sekarang mempunyai banyak perisian yang boleh digunakan untuk tujuan itu.

"Kalau Facebook enggan secara sukarela menutup akaun tertentu setelah SKMM membuat aduan, kita sebenarnya mempunyai teknologi untuk membuat sekatan.

"Sekiranya ada pihak yang menyatakan kita tidak mempunyai keupayaan untuk berbuat demikian ia sebenarnya salah kerana terdapat kira-kira 10,000 penjawat awam berkelulusan bidang sains komputer yang sebenarnya sama hebat seperti pengaturcara daripada luar negara," katanya.

Menurut beliau, strategi keempat ialah mengkaji kelemahan yang terdapat pada undang-undang sedia ada seperti Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Hasutan 1948 dan Akta Jenayah Komputer 1996 serta membuat pindaan jika perlu.

"Walaupun telah ada akta-akta ini tetapi pengguna Internet sekarang masih tidak takut dan ia bermakna peruntukan undang-undang sedia ada tidak begitu tegas.

"Ia juga mungkin berpunca daripada penguatkuasaan yang lemah dan kurangnya proses pendakwaan di mahkamah. Di UK sekarang pendakwaan yang berkaitan kes penyalahgunaan Internet adalah kira-kira 2,000 kes sebulan dan saya tidak pasti berapakah jumlah pendakwaan di Malaysia?

"Sepatutnya kita perlu mempunyai banyak pendakwaan di mahkamah bagi menyedarkan orang ramai bahawa mereka tidak boleh menggunakan kemudahan Internet dengan sewenang-wenangnya," ujar beliau.

Tambah beliau, strategi kelima adalah guru dan ibu bapa perlulah mendidik generasi muda bagaimana menjadi pengguna media sosial dan Internet yang bertanggungjawab.

Beliau berkata, pendidikan sejak di peringkat usia muda ini amat penting kerana trend golongan muda di negara-negara maju yang membunuh diri kerana tidak tahan dibuli di alam siber, tidak mustahil berlaku di Malaysia.

"Golongan muda harus dididik supaya tidak terlalu mudah mendedahkan maklumat peribadi dalam Internet kerana boleh disalah guna pihak tidak bertanggungjawab untuk membuat akaun Facebook palsu yang mengandungi pelbagai maklumat negatif mengenai individu terbabit," katanya. NIZAM YATIM nizam.yatim@utusan.com.my Utusan/Rencana/20140825

Tags: facebook
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments