kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Undang-undang mampu tangani media sosial

Berikutan banyak kes penyalahgunaan laman sosial, terutama Facebook di negara ini, pelbagai pihak menyuarakan pandangan untuk membendungnya daripada terus berleluasa. Ini termasuk cadangan menyekat akses laman sosial berkenaan di negara ini.

Namun, adalah mustahil untuk berbuat demikian kerana jumlah pengguna Facebook tempatan dilaporkan sudah mencecah 15 juta berbanding hanya 2,000 laporan penyalahgunaan yang diterima pihak berkuasa setakat ini.

Dalam era masyarakat yang sentiasa mengejar pembangunan, media massa memainkan peranan penting untuk merealisasikan impian ke arah kehidupan lebih moden. Keupayaan internet sebagai alat berkomunikasi jauh mengatasi alat komunikasi konvensional. Facebook adalah salah satu ciptaan terbaharu dalam industri teknologi maklumat. Ia juga membawa keburukan jika disalah guna.

Individu tidak bertanggungjawab ini menggunakan Facebook untuk menghantar maklumat salah dan palsu serta menyebarkannya kepada pengguna lain. Jika pihak difitnah tidak boleh menerima penyebaran fitnah yang dikenakan ke atas mereka, pasti berlaku salah faham dan pergaduhan serius. Lebih bahaya lagi, wujud juga kes yang mana Facebook disalahgunakan untuk memerangkap golongan tertentu seperti kanak-kanak dan remaja.

Sebenarnya pelbagai undang-undang yang sudah sedia wujud di Malaysia boleh dikuatkuasakan bagi mengawal selia segala yang berlaku dalam dunia siber ini termasuk Facebook seperti Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), Akta Jenayah Komputer 1997 (Akta 563), Akta Hasutan 1948 (Akta 15), Akta Fitnah 1957 (Akta 286), serta Kanun Keseksaan (Akta 574).

Kes membabitkan penyalahgunaan internet termasuk Facebook ini boleh dikurangkan dengan penguatkuasaan berterusan undang-undang berkenaan.

Sebagai langkah pengawalan penggunaan internet, kerajaan juga telah melakukan pindaan terhadap Akta Keterangan 1950 (Akta 56) yang membabitkan prosedur perundangan bagi proses pembuktian jenayah internet termasuk Facebook. Pindaan itu telah diluluskan di Dewan Rakyat pada 18 April 2012 dan mula berkuat kuasa pada 31 Julai 2012 lalu. Pindaan Akta 56 itu telah dilakukan dengan penambahan Seksyen 114A yang bertajuk "Andaian Fakta dalam Penerbitan".

Seksyen 114A terbabit boleh diguna pakai dalam kes jenayah dan juga sivil, mengandaikan bahawa pemilik, pengendali, hos, editor, pelanggan sesebuah rangkaian atau laman web, atau pemilik komputer atau peralatan mudah alih dianggap 'bertanggungjawab' menyiarkan atau mengulang siar kandungan yang terdapat di rangkaian, laman web atau peralatan terbabit. Tujuan utama pindaan ini adalah untuk mengenal pasti individu bertanggungjawab ke atas penyiaran dan penyebaran bahan berunsur hasutan di internet.

Memandangkan kes penyalahgunaan akaun Facebook masih berleluasa, sudah sampai masanya kerajaan mengkaji cadangan mewajibkan setiap pengguna laman sosial Facebook didaftarkan. Bagi sesetengah individu, cadangan itu mustahil dilakukan berikutan jumlah penggunanya yang ramai, namun perlu diingat langkah hampir sama telah berjaya diambil kerajaan pada tahun 2006 apabila mewajibkan pendaftaran pengguna telefon bimbit prabayar untuk membantu pihak berkuasa mengesan mereka yang menggunakan perkhidmatan itu untuk membuat panggilan atau khidmat pesanan ringkas berunsur fitnah atau palsu.

Dengan segala kebaikan yang boleh diperoleh daripada Facebook, ia tidak seharusnya ditutup. Kita tidak seharusnya mengikut jejak negara yang menyekat penggunaannya seperti Turki, China, Vietnam, Pakistan, Iran, Mesir, Algeria, Tunisia, Cameroon dan Korea Utara. Apa yang perlu ialah untuk terus mendidik pengguna mengenai adab menggunakan laman sosial.   Dr Muzaffar Syah Mallow Berita Harian Rencana JUMAAT, 22 OGOS 2014 @ 4:36 PM
Tags: facebook, media, sosial
Subscribe

  • Langkah Kajang', langkah malang

    ARENA politik pasti mencatatkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang sebagai 'satu sejarah hitam' dalam politik negara. Bermula…

  • Demokrasi PKR yang tercalar

    Aduan Bantahan Pemilihan Paling Banyak Dalam Sejarah Politik Malaysia Jika pada pemilihan lepas terdapat 160 aduan rasmi daripada ahli dan…

  • All-out war for the big post

    The earth has been rumbling under the feet of Tan Sri Khalid Ibrahim as speculation grows that Selangor may soon be getting a woman Mentri Besar.…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments