kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Usah berlengah perangi pornografi internet

Internet adalah satu keperluan dalam kehidupan manusia pada abad ke-21. Memang revolusi dalam teknologi maklumat ini mengubah cara hidup manusia, cara berfikir, berkomunikasi atau interaksi, berhibur dan cara berlibur.

Kehidupan dunia siber memberikan suatu cabaran, realiti dan ilusi kepada manusia sejagat. Tidak menghairankan kebimbangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, baru-baru ini, mencadangkan kerajaan menapis internet demi kelangsungan dan jaminan kemakmuran rakyat terus dipertahankan. Kecoh satu dunia dalam Malaysia ini yang mahu pihak berkaitan menapis, menutup, mengehadkan dan segala macam untuk menahan kegilaan yang ada dalam dunia internet. Tapi setakat mana pun ?

Sebenarnya kerisauan itu dikongsi kelompok ibu bapa. Mereka tentu bimbang, resah dan gelisah terhadap integriti anak dalam melayari internet. Soal untuk menapis atau menutup media sosial baru seperti Facebook atau Twitter adalah sesuatu yang agak mustahil.

Internet sudah menjadi keperluan asas seperti bekalan air, elektrik, jalan raya, pengangkutan awam, sekolah dan universiti. Kata seorang kenalan, boleh mati rasanya kalau tidak ada talian internet. Ini persepsi khalayak masa kini yang nampak macam terlalu obses terhadap dunia siber ini. Anak-anak berusia dua tahun atau tiga tahun pun dah pandai meminta iPad atau tablet Samsung.

Yang menjadi persoalan utama sekarang ialah sejauh manakah kebebasan internet menjadi racun kepada kestabilan sosio, ekonomi, politik dan keselamatan negara? Penulis maklum kerajaan sudah lama bersedia dan mempunyai kepakaran menangani kekangan, ancaman, masalah atau serangan hasil dari dunia internet. Kita ada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) selain akta sedia ada.

25 juta pengguna internet di Malaysia

Di Malaysia, statistik penggunaan internet terus meningkat. Dengan 14,904,000 pengguna internet sehingga Jun 2007, angka ini menunjukkan 59 peratus daripada jumlah penduduk negara mempunyai capaian internet daripada keseluruhan 25 juta penduduk. Peratusan ini menunjukkan peningkatan, berbanding 15 peratus saja rakyat yang mempunyai akses internet pada tahun 2000. Pada tahun 2014, pengguna internet di Malaysia mencapai hampir 25 juta orang.

Apa yang memeningkan kepala penulis sekarang ialah apa bentuk sebenar-benarnya yang sudah dan hendak ditapis dalam dunia internet apatah lagi di negara ini ? Walaupun bukan kerja mudah, usaha itu kena nampak. Apa kategori internet yang hendak ditapis? Ini perlu dirancang secara strategik dan benar-benar memberi kesan kepada rakyat.

Kerajaan pasti menjadi jaguh dan boleh memenangi hati rakyat jika bercadang menyekat akses pornografi internet terlebih dulu secara besar-besaran.

Dalam hal ini, tidak ramai sebenarnya mengetahui sistem IT dalam sektor pentadbiran awam dan banyak syarikat swasta yang mempunyai sistem 'block' menyekat langsung pornografi internet tetapi tidak ada maknanya juga apabila seseorang pekerja itu mempunyai pelan data internet dalam telefon pintar atau tablet peribadi masing-masing yang masih boleh mengakses pornografi internet ketika dia bekerja.

Sudah tiba masanya kerajaan melancarkan 'jihad' perang terhadap pornografi internet ini secara besar-besaran seperti yang dilaksanakan terhadap penyalahgunaan dadah sejak 1970-an atau kempen perangi denggi. Penulis syorkan supaya kempen perangi pornografi internet hendaklah diletakkan sebaris ancaman komunis satu ketika dulu dan pengganas.

Saya yakin, rakyat tidak membantah perkara itu. Kes anak rogol ibu kandung sendiri di Bukit OUG Cheras, Kuala Lumpur baru-baru ini, adalah kerana didorong dengan bahan lucah dalam telefon bimbit. Satu lagi kisah, remaja diperkosa 16 lelaki dan dipaksa melakukan seks oral di Jalan Kuari Cheras, manakala di Kuala Terengganu, seorang tukang cuci berusia 21 tahun dirogol rakan sekerja di tempat kerja.

Tiga kes ini dipaparkan hampir satu muka surat BH pada 21 Ogos lalu. Ia menunjukkan begitu mudahnya pornografi internet diakses di mana-mana saja. Penulis hendak berkongsi maklumat betapa industri pornografi internet ini memberi pulangan besar kepada keuntungan dunia yang mencecah AS$97 bilion pada tahun 2006 dan meningkat tiga kali ganda sehingga Jun 2014.

Pulangan industri ini secara keseluruhannya dikatakan lebih besar berbanding syarikat terkemuka seperti Microsoft, Google, Amazon, eBay, Yahoo! dan Apple. Daripada jumlah itu, dikesan bahawa setiap saat, AS$3,075.64 (RM9,842) dibelanjakan khusus untuk pornografi di seluruh dunia dan pada saat sama 28,258 penonton internet menonton pornografi, juga 372 pengguna internet menaip terma berkaitan kelucahan daripada enjin carian, dan setiap 39 minit satu video lucah dirakam di Amerika Syarikat (AS).

Bagi jumlah jaringan pornografi pula, 12 peratus daripada keseluruhan laman web di dunia ini adalah laman lucah sehingga menarik perhatian 420 juta 'peminat' di ruang siber.

Tak mudah sekat web pornografi

Untuk sekat web pornografi internet bukan satu tugas mudah. Kalau ikut statistik yang penulis sempat cari dalam internet Google, di AS, terdapat hasilan laman web pornografi sebanyak 244,661,900, di Jerman 10,030,200 laman web pornografi, di Britain (8,506,800 laman web pornografi), di Australia (5,655,800 laman web pornografi), di Jepun pula terhasil laman web pornografi sebanyak 2,700,800.

Statistik Google Trends menunjukkan Malaysia menduduki tangga kelapan bagi negara paling banyak pencari maklumat mengenai seks. Malah, kajian dapatan siasatan penulis mendapati kemudahan WiFi pada telefon pintar, begitu mudah novel atau cerpen lucah Melayu boleh dimuat turun melalui aplikasi e-book (buku digital). Ratusan nukilan novel atau cerpen lucah berbahasa Melayu boleh diperoleh tanpa perlu bersusah payah mencarinya di kedai majalah atau melayari internet di premis pusat siber tetapi hanya menggunakan kaedah memuat turun aplikasi melalui Play Store.

Industri pornografi

Walaupun hasil pornografi disebar luas di Barat sejak tahun 1980, penciptaan world wide web pada tahun 1991 membuka ruang lebih besar dan luas kepada ledakan pornografi online. Hari ini, negara yang menjalankan industri pornografi internet terhebat adalah China, diikuti Korea Selatan dan Jepun. AS menduduki tempat keempat dunia, manakala Britain tempat keenam selepas Australia di tempat kelima.

Malaysia kena sedar segera dalam hal ini. Statistik ini nyata membimbangkan, kerana gejala ini bukan hanya menular di Barat, malah mula dimonopoli orang Timur. Kemudahan penonton untuk melayari internet dari sehari ke sehari memberi peluang muat turun yang luas terhadap gambar dan video pornografi.

Di Barat hari ini, pornografi internet dilihat antara satu daripada masalah yang bukan saja mengancam individu dewasa, malah juga kanak-kanak. Misalnya, satu kajian yang dijalankan di Kanada mendapati 90 peratus pelajar berumur antara 13 hingga 14 tahun dilaporkan pernah terdedah kepada kandungan lucah sekurang-kurangnya sekali.

Hasil kajian juga menunjukkan remaja lelaki mempunyai kecenderungan untuk menonton laman web lucah secara sukarela. Jika dilihat di peringkat awal perkembangan pornografi di Britian pula, ia berkembang menerusi industri penerbitan majalah lucah yang dijual sehingga mencecah 20 juta pada tahun 1990 dan dibaca oleh sehingga lima juta orang. Hasil lucah ini dibentuk dan disebarkan dengan cara berbeza di Britain dan AS. Di AS misalnya, bahan lucah dihasilkan dalam bentuk jenayah terancang. Di Britain, ia dihasilkan oleh individu tertentu industri penerbitan yang turut menerbitkan hasil bukan lucah untuk umum.

Menariknya hari ini, pornografi dan impak negatifnya tidak dipandang ringan termasuk di Barat. Di Britain, kajian mengenai impak pornografi peringkat nasional diarah dijalankan untuk menambah baik dan melengkapkan hasil kajian terdahulu.

Penulis pernah membaca berita pada tahun 2005 melaporkan satu kajian menunjukkan bahawa sembilan daripada 10 kanak-kanak dan remaja berusia antara lapan dan 16 tahun melayari laman web lucah dan kebanyakannya secara tidak sengaja ketika mencari maklumat berkaitan kerja sekolah di Malaysia. Malahan kebanyakan laman web terbabit berselindung di sebalik penggunaan nama yang `bersih' daripada unsur kelucahan.

Sudah tiba masanya untuk permulaan yang drastik ini, kerajaan perlu melancarkan perang kempen perangi pornografi internet secara besar-besaran, diikuti perangi perjudian internet, kempen perangi fitnah, penipuan, penyelewengan dan perdagangan manusia secara internet. Rakyat pasti sokong dan lega dengan tindakan murni kerajaan dalam hal sebegitu.

Ahmad Fauzi Mustafa ialah Penganalisis Sosio Media-Politik dan Penyelidik kepada Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara. Berita Harian Rencana SABTU, 23 OGOS 2014 @ 9:24 AM

Tags: ict, internet, media, sosial
Subscribe

  • Online education must continue

    Learning sessions and approaches through educational television will be taken to provide students without access to the internet but access to…

  • There are more things than PPSMI 2.0

    The PPSMI issue is back in the news. The BM Linguistic group is again against the proposal. It is seen as a one-man show by an obsessed man and…

  • What students need to know

    Unwrapping standard is a simple strategy for teachers to identify the skills and content knowledge needed in a lesson to ensure students are…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments