kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Hari Perkabungan Negara satukan rakyat Malaysia

Walaupun sebahagian besar rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan keturunan, berkongsi kesedihan dan simpati kepada keluarga mangsa tragedi MH17 pada Hari Perkabungan Negara, ada suara sumbang yang mempertikaikan kewajaran kerajaan menyambut ketibaan jenazah mangsa dengan istiadat penghormatan itu Jumaat lalu.

Terbaharu, seorang Ahli Parlimen PKR mempersoal tindakan kerajaan menyediakan istiadat penghormatan seumpama itu, sewaktu berucap pada perhimpunan agung partinya kelmarin. Beliau juga mendesak kerajaan menjelaskan rasional di sebalik penggunaan anggota tentera dalam istiadat penghormatan kepada mangsa MH17.

Kenyataan seperti itu daripada parti pembangkang sememangnya sudah dijangka. Tiada siapa pun yang mengharapkan setiap perkara dilakukan oleh kerajaan, walaupun sebaik atau seikhlas manapun, diterima baik oleh pembangkang apalagi daripada PKR.

Hormati kematian orang awam

Hakikatnya, Hari Perkabungan Negara pertama diumumkan bagi menghormati kematian orang awam itu, terutama upacara bertafakur seminit, disertai oleh sebahagian besar rakyat yang mengikutinya melalui radio dan televisyen, dengan cara masing-masing.

Tidak sedikit pula, sama ada yang menyaksikan siaran secara langsung upacara Jumaat lalu atau ketibaan dua lagi jenazah pagi semalam, menitiskan air mata walaupun tidak pernah mengenali mangsa dan keluarga mereka.

Bahawa Malaysia mengalami dua tragedi membabitkan penerbangan kebangsaan yang mengorbankan ratusan nyawa dalam tempoh empat bulan belum pernah berlaku dalam sejarah dunia.

Belum pun selesai usaha pencarian kehilangan misteri pesawat MH370 dengan 239 penumpang pada 8 Mac lalu, negara dikejutkan dengan penembakan pesawat MH17 pada 17 Julai, yang mengorbankan semua 298 orang termasuk 43 rakyat kita.

Kedua-dua tragedi ini bukan saja menguji kemampuan kerajaan menanganinya tetapi memberi kesan psikologi kepada rakyat secara keseluruhan.

Justeru, Hari Perkabungan Negara pada Jumaat lalu dan istiadat penghormatan tentera bagi menyambut ketibaan mangsa tragedi harus dilihat dari sudut lebih luas iaitu untuk mengajak rakyat bersatu berkongsi kesedihan atas kedua-dua tragedi itu.

Barangkali, ramai juga daripada mereka yang mengikuti siaran langsung upacara itu melihat bahawa sebahagian besar rakyat negara ini, walaupun berlainan kaum dan fahaman politik, masih boleh bersatu ketika dilanda kesedihan.

Sambutan secara sederhana

Secara kebetulan, kurang seminggu lagi kita menyambut ulang tahun Ke-57 kemerdekaan negara. Walaupun kerajaan memutuskan menyambutnya secara sederhana kali ini bagi menghormati mangsa dua tragedi itu, ia bukanlah alasan kepada rakyat untuk tidak menunjukkan rasa cinta kita kepada negara.

Cara paling mudah untuk menzahirkan semangat itu ialah dengan memasang Jalur Gemilang pada kediaman dan premis perniagaan sepanjang Bulan Kemerdekaan yang disambut sekarang.

Walaupun semangat patriotik mungkin memberi pengertian berbeza kepada setiap rakyat, pengibaran bendera kebangsaan menjadi amalan di seluruh dunia bagi menunjukkan rasa cinta kepada negara.

Bagi kita rakyat Malaysia, Jalur Gemilang adalah lambang kebebasan, kepelbagaian bangsa dan agama serta kemakmuran yang dikecapi sejak negara mencapai kemerdekaan.

Hari Perkabungan Negara sudah membuktikan kita mampu bersatu dalam kesedihan. Semoga Bulan Kemerdekaan kali ini disambut oleh seramai mungkin rakyat melalui pemasangan Jalur Gemilang bagi membuktikan kita adalah bangsa yang mampu bersatu dalam waktu susah dan senang. Manja Ismail   Berita Harian Kolumnis ISNIN, 25 OGOS 2014 @ 9:00 AM

Tags: patriotik
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments