kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Kemelut jemaah akibat berbeza aliran fahaman

DATUK Seri Abdul Hadi Awang, Presiden Pas mengakui dalam status Facebooknya secara berkias bahawa ada masalah dalam jemaah parti yang dipimpinnya. Adab berjemaah dikiaskan dengan solat. Ianya menarik untuk direnungkan.

"Kalau sembahyang berjemaah ada adab sembahyang jemaah. Antaranya imam boleh baca kuat, makmum tak boleh baca kuat. Kalau kata amin tak apalah. Ini baca Fatihah sama kuat dengan tok imam juga."

Kias Hadi lagi, rukuk dan sujud tak boleh dahului imam.

"Mereka ini pantas rukuk dan sujud dulu (daripada imam). Ini yang berlaku.

Kita kena ada adab dalam jemaah. Kadang-kadang apabila berasa lambat sudah, nak suruh beri salam deras. Ini masalah yang kita hadapi."

Kias dan tamsil Hadi itu merujuk apa yang sedang berlaku dalam Pas. Pas, moto perjuangan 'membangun bersama ulama' berdepan dengan golongan yang mendukung aliran fahaman yang berbeza dan tidak sealiran dengan ulama.

Dalam Pas terdapat golongan yang dikatakan mengambil pendekatan syiah sebagai uslubnya. Terdapat juga kelompok yang memilih jalan republik dan anti kepada sistem monarki, wujud juga kelompok yang dulu dikenal sebagai IRC dan dikatakan mewakili imej Ikhwan Muslimin.

Masing-masing mempunyai agenda sendiri dalam wadah politik ini.

Apa yang dikiaskan oleh oleh Hadi itu ialah natijah akhir daripada proses pembinaan aliran fahaman walaupun dalam jemaah yang sama tetapi mempunyai agenda tersendiri.

Sebab itu keputusan Majlis Syura Pas sukar untuk diterima kerana wala' (ketuaan) pelbagai aliran fahaman ini bukan kepada Hadi dan Datuk Nik Aziz Nik Mat atau pada ulama tetapi pada wala' lain di luar Pas.

Apabila dua orang ADUN Pas terlebih dulu melakukan bai'ah menyokong Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor yang baru, inilah yang dimaksudkan oleh kias Hadi tadi. Sekiranya adab jemaah tidak dipatuhi, krisis dalam jemaah mudah terjadi.

Seeqah (kepercayaan) dalam jemaah adalah sesuatu yang penting. Ia akan jadi masalah sekiranya seeqah itu tidak diberikan kepada qiadah (kepimpinan) jemaah tetapi bersandarkan orang di luar jemaah. Inilah yang sedang berlaku dalam Pas.

Dikatakan hanya 20 % kepimpinan Pusat terdiri daripada golongan ulama dan 80% di kalangan mereka golongan yang bukan ulama di mana pandangan dan pendirian mereka selalu tidak sama.

Ia menyebabkan keputusan Majlis Syura di tolak dan keputusan Kepimpinan Tertinggi sering bermasalah.

Dalam sebuah jemaah siasah yang Islami, wehdatul fikr atau kesatuan fikrah amat penting. Tanpa kesatuan fikrah yang berasaskan syarak kecelaruan boleh terjadi.

Inilah yang sedang berlaku dalam Pas kerana aliran fahaman yang berbeza membawa kepada kecelaruan fikrah yang boleh meruntuhkan jemaah.

Lebih-lebih lagi apabila jemaah politik Pas berdepan dengan organisasi politik yang ideologinya bercanggah dengan perjuangan Pas itu sendiri.

PKR dikenali sebagai organisasi politik yang mendukung faham liberal dan pluralis. DAP sejak dulu lagi amat keras menentang konsep negara Islam dan hudud.

Tahalluf siasi yang dibina sekadar melanjutkan kebencian dan dendam terhadap UMNO dan Barisan Nasional. Takdirnya mereka membentuk sebuah kerajaan mampu tidak aliran dan ideologi yang berbeza menjadi landasan untuk mencapai cita-cita yang sama?

Mereka sering diibaratkan tidur sebantal tetapi igauannya lain-lain. Inilah yang terjadi dalam krisis politik Selangor.

Pas harus kembali kepada asas perjuangan Abu Bakar Baqir, Zulkifli Muhamaad, Burhanuddin al Helmy yang memberi tumpuan kepada membangun bangsa, agama dan negara. Bangsa, agama dan negara digarap sebagai satu kesatuan. Ianya bukan gagasan perkauman.

Menyisihkan kelompok yang wala'nya (ketua) bukan kepada kepimpinan ulama bukanlah suatu hal yang mudah. Pengaruhnya sudah terlalu kuat. Jika ini terjadi krisis akan berlaku dalam organisasi Pas itu sendiri.

Mengekalkan tahalluf siasi tanpa memilih regu yang betul menyebabkan hayat perjuangan terbazir semata-mata kerana dendam dan kebencian.

Pas harus meneliti semula waqi' (realiti) yang menuntut pendekatan kesatuan umat terjadi. Politik benci-membenci dan dendam kesumat menyebabkan perpecahan terjadi. Islam sebagai agama dakwah sifatnya meraikan dan menyantuni. Itulah siasah Islami. JENDELA TOK KI Utusan/Rencana/20140826

Tags: politik
Subscribe

  • Dari Sangkar Beruk Ke Pelacur Politik

    Wakil rakyat bukan pelacur politik. Ia nya bukan gelanggang menjual kerusi, maruah dan harga diri. (Salahuddin Ayub , 06/09/2021) Beliau…

  • Primat juga berpolitik?

    JANGAN cemarkan Dewan saya ini dengan perangai yang buruk. Ini adalah dewan yang mulia bukannya dewan sangkar beruk” ini adalah…

  • Penyu

    Akhirnya Penyu Kembali Ke Terengganu yang disiarkan di media 17 Ogos 2021 menarik perhatian. Selepas 16 tahun (sejak 2005) , penyu tidak lagi…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments