kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Prasyarat kelestarian kemerdekaan

KITA mewarisi amanah untuk melestarikan kemerdekaan ini. Ia adalah tanggungjawab setiap rakyat Malaysia. Tanpa rakyat yang sedar dan komited untuk melestarikan kemerdekaan, masa depan negara akan pincang. Sejarah menunjukkan kelekaan dan pertelingkahan dalam negara memberi kesan buruk kepada tamadun biarpun ia telah terbina dengan agungnya selama ribuan tahun.

Untuk memastikan kemerdekaan ini lestari, mengurangkan konflik dalam negara dan menangani ancaman keselamatan dari luar adalah dua aspek penting.

Dua faktor ini jugalah yang telah mengheret Tanah Melayu ke era penjajahan kuasa asing.

Dalam negara pelbagai kaum, usaha bersepadu untuk mengelakkan konflik antara etnik amatlah penting. Banyak nilai dan norma kumpulan etnik warganegara diikat oleh faktor tradisi, kepercayaan dan agama.

Namun mereka semua adalah rakyat Malaysia yang menyokong citra sebuah negara merdeka. Maka, kompetensi kewarganeraan adalah satu kemestian dan menjadi tiang dalam membicara dan mengurus kelestarian kemerdekaan negara.

Kompetensi kewarganegaraan adalah merujuk kepada pengetahuan, keupayaan dan sikap rakyat Malaysia dalam memastikan kelangsungan keharmonian dan kemajuan sejajar dengan hasrat serta matlamat jangka panjang negara.

Ini bererti bahawa semangat dan perasaan bangga terhadap Malaysia tidak mencukupi untuk melestarikan kemerdekaan. Ia mestilah merangkumi domain dan elemen menyeluruh.

Sekurang-kurangnya terdapat tiga domain dalam kompetensi kewarganegaraan yang perlu ada pada setiap rakyat Malaysia.

Pertama, pengetahuan terhadap kewarganegaraan. Ia meliputi hak dan tanggungjawab sebagai seorang warganegara Malaysia. Kedua, kompetensi dalam kemahiran, keupayaan dan kebolehan kewarganegaraan iaitu tindakan fizikal yang menyumbang kepada keharmonian dan kelestarian negara merdeka. Ketiga, sikap terhadap kewarganegaraan iaitu merangkumi kepercayaan, nilai dan etika kehidupan individu sebagai seorang warganegara yang bertanggungjawab.

Ketiga-tiga dimensi ini adalah prasyarat kepada kompetensi warganegara dalam melestarikan kemerdekaan negara kita. Ketiga-tiganya perlu digembleng bersama.

Namun, banyak usaha dan kempen yang dilakukan hari ini tertumpu kepada dimensi sikap sahaja. Ya, ia bagus tetapi tidak mencukupi. Memupuk rasa bangga sebagai rakyat Malaysia adalah penting, namun ramai yang tidak sedar bahawa untuk memupuk perasaan tersebut perlu ada pengetahuan dan kemahiran. Ia hanya diperoleh menerusi usaha berterusan dalam pelbagai aspek termasuk melalui pendidikan.

Terdapat banyak model kompetensi yang diperkenalkan dalam ilmu pendidikan antaranya Iceberg Model for Competency oleh Hey MacBer (1996) dan model Kompetensi Kewarganegaraan oleh Profesor G.T.M Ten Dam dari Universiti Amsterdam untuk membicarakan kompetensi kewarganegaraan rakyat Malaysia.

Empat aspek penting dalam peningkatan kompetensi kewarganegaraan di Malaysia yang perlu diberi perhatian serius iaitu pengetahuan, kemahiran dan sikap individu terhadap (1) tindakan secara demokrasi, (2) tanggungjawab sosial, (3) pengurusan konflik, dan (4) pengurusan perbezaan.

Setiap rakyat Malaysia hendaklah mengetahui prinsip demokrasi yang menjadi amalan negara kita. Rakyat Malaysia yang kompeten adalah yang tahu prinsip demokrasi dan perbezaannya dengan amalan di negara lain. Keupayaan memahaminya akan mendorong kepada kesedaran untuk menghormatinya.

Sejauhmana pengetahuan kita terhadap Perlembagaan Malaysia? Adakah nilai yang kita berikan kepada Perlembagaan sebagai satu dokumen undang-undang tertinggi Malaysia? Sejauhmana kepentingan pembelajaran Perlembagaan Persekutuan dalam kurikulum di peringkat sekolah dan pengajian tinggi di Malaysia?

Persoalan ini boleh menjadi senarai semak untuk merenung kembali tentang kompetensi kewarganegaraan rakyat Malaysia. Dalam konteks interaksi sosial dengan masyarakat pelbagai latar sosiobudaya, kebolehan individu untuk mendengar pelbagai pendapat, menghormati pandangan serta berkebolehan menyuarakan pendapat sendiri adalah bukti kepada kemahiran kompetensi dalam bertindak secara demokrasi.

Rentetan daripada kepelbagaian itu, sikap terhadap keputusan yang dibuat berdasarkan suara majoriti adalah penting. Hal ini kerana ia adalah salah satu prinsip asas dalam demokrasi. Ini bererti bahawa rakyat Malaysia yang kompeten hendaklah memiliki kesediaan untuk mendengar pandangan orang lain, aktif dalam perbincangan serta menyumbang idea-idea kritikal.

Namun, sejauhmana rakyat Malaysia kompeten dalam hal ini? Dalam media sosial umpamanya, percanggahan pendapat antara rakan telah mengheret kepada perasaan tidak senang yang adakalanya menjadi masalah peribadi. Justeru, setiap rakyat perlu sedar bahawa dalam sebuah negara merdeka yang memilih demokrasi sebagai satu sistem, kepelbagaian pendapat dan perbezaan pandangan adalah satu lumrah.

Rakyat Malaysia yang kompeten juga hendaklah mempunyai pengetahuan terhadap nilai, norma dan peraturan sosial dalam masyarakat pelbagai kaum.

Pengetahuan terhadap sensitiviti pelbagai kumpulan etnik di Malaysia menyumbang kepada keharmonian hubungan etnik. Gurauan dan sindiran yang melukakan hati sahabat kita daripada etnik berbeza akan menyumbang kepada situasi tegang. Ya, benar dalam negara demokrasi, setiap individu boleh bersuara tapi ia masih terikat dengan nilai, norma dan peraturan negara.

Individu yang memiliki rasa kepunyaan bersama serta bertanggungjawab untuk berperanan dalam pembangunan komuniti sejahtera adalah watak bangsa yang diinginkan dalam konteks Malaysia. Keupayaan untuk menyesuaikan diri dalam masyarakat pelbagai kaum adalah satu kemahiran yang perlu sebagai rakyat Malaysia.

Rakyat yang kompeten juga hendaklah sentiasa bersedia untuk melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan. Banyak kajian akademik mendapati bahawa ikatan dan modal sosial di negara maju semakin longgar. Profesor Robert D. Putnam dalam bukunya Bowling Alone: The Collapse and Revival of American Community melahirkan rasa bimbang terhadap kelonggaran ikatan sosial komuniti di Amerika Syarikat yang boleh menggugat kemajuan negara itu.

Kita tidak mahu perkara tersebut berlaku kepada negara kita. Sebagai rekod, Legathum Prosperity Index menyenaraikan modal sosial (2013) di Malaysia pada tangga yang ke-80 daripada 142 negara yang terlibat dalam kajiannya.

Norway, New Zealand dan Denmark tersenarai sebagai negara paling baik kedudukan modal sosial rakyat masing-masing.

Pengetahuan, kemahiran dan sikap individu terhadap pengurusan konflik adalah aspek kompetensi kewarganegaraan ketiga yang mesti dipenuhi oleh setiap rakyat. Ia merangkumi pengetahuan individu dalam penyelesaian masalah di pelbagai tahap dan peringkat.

Hal ini bererti bahawa rakyat Malaysia yang kompeten tahu bagaimana untuk menyelesaikan masalah secara bijak. Keupayaan mendapat khidmat nasihat dan bantuan kaunseling untuk mengawal emosi adalah kriteria kompetensi kewarganegaraan. Elakkan berulang lagi kejadian bunuh diri kerana ia memberi impak negatif yang besar kepada banyak pihak.

Dalam mengurus konflik diri, kemahiran yang perlu ada pada setiap warganegara adalah kebolehan mendengar, keupayaan meletakkan diri dalam situasi orang lain, serta kemampuan membuat keputusan dengan baik.

Di samping itu, sikap terhadap konflik adalah penting. Individu merdeka adalah individu yang bersedia untuk meneliti konflik, membuat pertimbangan terhadap pandangan orang lain, berusaha jalan penyelesaian dan tidak berputus asa.

Aspek kompetensi yang keempat adalah pengetahuan, kemahiran dan sikap individu dalam mengurus perbezaan.

Hakikatnya, banyak perbezaan yang kita temui dalam kehidupan seharian. Pengetahuan terhadap perbezaan yang melingkari kehidupan kita adalah prasyarat kepada pengurusan perbezaan.

Ketidakupayaan mengurus perbezaan akan menjadikan rakyat Malaysia tertekan dan mundur. Prejudis dan persepsi stereotaip terhadap etnik lain adalah hasil daripada kecetekan pengetahuan terhadap perbezaan sosiobudaya etnik lain.

Melibatkan diri dalam aktiviti sosial yang terdiri daripada pelbagai kaum akan membantu individu untuk meningkatkan pengetahuan terhadap perbezaan. Menghantar anak-anak mengikuti sekolah kebangsaan yang rata-rata mempunyai etnik pelbagai kaum adalah usaha murni ke arah mendidik mereka untuk mengenali perbezaan sosiobudaya pelajar pelbagai etnik.

Interaksi sosial dengan komuniti pelbagai etnik membantu individu merdeka dalam meningkatkan tolak ansur, kompromi dan hormat-menghormati.

Seharusnya, setiap rakyat Malaysia perlu mempunyai keinginan untuk mengenali pandangan dan gaya hidup orang lain serta bersikap terbuka terhadap perbezaan agar pengurusan perbezaan dapat dilakukan dengan sempurna.

Semua rakyat Malaysia wajar merenung sejenak tentang sejauhmana kriteria kompetensi kewarganegaraan yang dibincangkan tadi telah dipenuhi. Lakukan sesuatu kepada diri dan orang di sekeliling kita untuk melestarikan kemerdekaan yang diwarisi.

Renung sejenak terhadap jasa pejuang negara dan lakukan sesuatu pada hari ini untuk negara kita Malaysia kerana 'di sini lahirnya sebuah cinta'.

DR. MOHD MAHZAN AWANG ialah pensyarah Sosiologi Pendidikan di Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan ahli penyelidik Program Kesepaduan Sosial Negara (PADU), UKM.   Utusan/Rencana/20140826

Tags: merdeka
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments