kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Pengajaran bagi mereka yang mahu berfikir

TANGGAL 22 Ogos 2014 harus dikenang oleh seluruh rakyat Malaysia. Hari yang menyedihkan seluruh negara bagi mengiringi 20 jenazah mangsa nahas pesawat Malaysian Airlines (MH17) yang berlaku 37 hari lepas.



Ketibaan jenazah di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) diberi penghormatan khas bukan sahaja oleh pembesar-pembesar negara, malah turut dizahirkan oleh lebih 27 juta rakyat Malaysia.

Penulis yakin ramai yang tidak melepaskan peluang untuk mengikuti siaran langsung yang disiarkan oleh stesen televisyen dan radio pada hari tersebut. Bagi yang bekerja, mereka tidak melepaskan peluang untuk mengikutinya melalui media-media sosial seperti WhatsApp dan Facebook.

Pada hari tersebut juga penulis mendapat banyak pertanyaan daripada rakan tentang mengapa kerajaan mengisytiharkan hari tersebut sebagai hari berkabung negara? Rakan-rakan media sosial juga turut bertanya perkara yang sama.

Dalam hal ini, penulis berpendapat pengisytiharan hari berkabung negara mengandungi hikmah yang tersendiri. Banyak perkara tersirat yang boleh sama-sama kita pelajari daripada perisytiharan hari tersebut secara amnya dan tragedi MH17 secara khususnya. Pengajaran ini hanya akan diperolehi bagi mereka yang mahu berfikir.

Pertama, ajal, maut, jodoh dan pertemuan semuanya dalam pengetahuan Allah. Kita sebagai manusia tidak diberikan pengetahuan mengenai bilakah masanya ajal akan datang menjemput kita. Namun, apa yang pasti ialah setiap benda yang hidup pasti akan merasai mati.

Seperti juga kita yang hidup ini, suatu hari apabila ajal kita tiba, kita juga akan mati. Di mana tempatnya? Itu juga adalah dalam rahsia Allah. Kita tidak tahu di mana kita akan mati. Namun, apa yang pasti apabila tiba masanya kita tetap akan mati walau kita berada di udara, di darat atau di dalam air.

Hal ini telah dinyatakan di dalam al-Quran Surah an-Nisa' ayat 78, yang bermaksud; "Di manapun kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu, walaupun kamu berada di dalam benteng yang tinggi dan kukuh."

Kedua, baik buruk sesuatu perkara adalah juga dalam pengetahuan Allah. Mungkin kita rasa sesuatu itu baik kepada kita tetapi Allah Maha Mengetahui kerana mungkin perkara tersebut tidak baik untuk kita. Begitu juga kita mungkin menyangka sesuatu perkara itu tidak baik untuk kita, namun sebenarnya ia adalah yang terbaik untuk kita.

Ketiga, jika kita mahu keluar untuk bermusafir ke suatu tempat yang jauh dan dalam tempoh masa yang lama, kita digalakkan untuk meninggalkan wasiat kepada waris-waris kita. Islam sangat menggalakkan perbuatan meninggalkan wasiat ini sebelum kita bermusafir.

Anjuran supaya peninggalan wasiat dilakukan mungkin ada hikmahnya tersendiri. Wasiat adalah penting bagi menzahirkan keinginan seseorang terhadap pembahagian harta yang dikumpul dan juga bagi tujuan kebajikan selepas kematian.

Keempat, bagi mereka yang akan bermusafir digalakkan untuk memohon maaf terlebih dahulu kepada semua ahli keluarga dan rakan taulan. Perkara ini boleh dilakukan sama ada secara bersemuka atau melalui telefon dan sebagainya.

Teringat penulis sewaktu hendak bermusafir dahulu penulis hanya mengambil mudah mengenai hal ini. Mujurlah ada yang menegur dan menasihati penulis supaya tidak lupa memohon maaf kepada ibu bapa, isteri, anak-anak dan ahli keluarga yang lain sebelum bermusafir.

Pada waktu itu penulis tidak terfikir akan pentingnya bermaaf-maafan sebelum bermusafir. Tapi sekarang baru penulis sedar betapa penting perkara ini dilakukan. Maklumlah dalam bermusafir macam-macam peristiwa boleh berlaku. Apatah lagi jika perjalanan musafir kita mengambil masa yang lama. Kita tidak tahu bila pulak dapat berjumpa dengan mereka semula.

Kelima, untuk bermusafir kita perlu tahu tujuan bermusafir. Pastikan musafir kita adalah untuk tujuan yang baik. Ia penting kerana ia menjadi penentu jika ditakdirkan musafir tersebut adalah pengakhiran hidup kita.

Dalam kes MH17, semua penumpang boleh dikatakan bermusafir bagi tujuan baik. Sebagai contoh, pekerja MAS bermusafir dalam keadaan melakukan tugas dan tanggungjawab terhadap pelanggan mereka. Kerja adalah satu ibadah. Jadi, tujuan musafirnya adalah baik.

Begitu juga dengan para penumpang. Ada yang dalam perjalanan untuk bertemu ibu bapa dan keluarga tersayang. Ada juga yang pulang ke kampung halaman bagi menyambut hari raya bersama-sama keluarga. Tujuan musafir mereka pastilah yang baik.

Natijahnya, apabila ditakdirkan ajal mereka sampai, kesudahan mereka adalah baik. Pemergian mereka bukan sahaja ditangisi oleh masyarakat di seluruh negara malah masyarakat dunia turut merakamkan ucapan takziah atas pemergian mereka. Mungkin ini sebagai petunjuk pemergian mereka adalah kesudahan yang baik.

Akhir sekali, Allah menguji seseorang dalam pelbagai bentuk. Namun, setiap ujian yang diberikan adalah berdasarkan kemampuan seseorang untuk meneriamanya. Begitu jugalah dalam hal ini. Allah telah memilih ahli keluarga penumpang dan kru MH17 untuk diuji dan mereka telah melalui ujian tersebut dengan baik. Pasti besar anugerah yang Allah berikan kepada mereka.

Sebagai kesimpulannya, hari berkabung negara bukan sahaja perlu ditangisi oleh seluruh rakyat namun apa yang lebih penting adalah hari untuk kita mengambil pengajaran daripada apa yang telah terjadi. Hidup ini tidak lama. Berbuat baiklah kepada semua orang terutamanya ibu bapa dan keluarga.

Sesuatu kejadian yang berlaku terkandung hikmah yang tersirat. Renungkan dan berfikirlah. Semoga kita mendapat pengajaran daripadanya.

Ramal Jafri Saad ialah Pensyarah Kanan Perakaunan Islam, Pusat Pengajian Perakaunan (SOA), Universiti Utara Malaysia.   Utusan/Rencana/20140827

Tags: fikir
Subscribe

  • Mat Kelubi pahlawan yang dilupakan

    MENGKAJI sejarah perjuangan gerakan menentang campur tangan Inggeris dalam pemerintahan negeri Pahang pada hujung abad ke-19, ia tidak lengkap jika…

  • Mengenang tokoh pendidikan berjasa

    BUKU ditulis oleh bekas Yang Dipertua Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM), Khailani A. Jalil, adalah mengenai latar belakang 15 Ketua Pengarah…

  • Zaaba pencetus kebangkitan Melayu

    ZAABA atau nama asalnya Zainal Abidin Ahmad, seorang tokoh ilmuwan yang sangat dikenali rakyat dan mendapat sanjungan sebagai seorang pendeta.…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments