kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Makna kemerdekaan ekonomi

MENDENGAR bait-bait lagu Warisan - Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta nyanyian Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad mengingatkan kita betapa bertuahnya berada di negara yang merdeka ini. Tidak keterlaluan dikatakan bahawa Malaysia sebuah negara yang sesuai untuk sesiapa sahaja menghuninya.



Sejak dari dahulu lagi, bumi ini dicemburui oleh pelbagai bangsa di dunia. Bumi ini pernah dijajah oleh kuasa-kuasa dunia suatu ketika dahulu iaitu Portugis, Belanda dan yang terakhir British.

Kedudukan Malaysia yang strategik dengan pelbagai sumber ekonomi menjadikan ada pihak ingin menguasainya. Alhamdulillah, meskipun diasak dari pelbagai sudut, Malaysia masih berdiri teguh daripada penguasaan negara lain tatkala ini.

Rakyat Malaysia cukup bertuah, namun dalam diam-diam kita mungkin tidak menyedari negara kita mulai dikuasai oleh warga asing. Bukan secara langsung melalui ketenteraan, tetapi melalui ekonomi dan pekerjaan.

Sejak Malaysia berubah daripada sebuah negara berteraskan pertanian kepada industri pada penghujung 1980-an, sedikit demi sedikit, bilangan warga asing semakin meningkat di negara kita. Dahulu jumlahnya tidaklah begitu ketara. Kini, mereka terlalu ramai sehinggakan kadang kala kita merasakan bukan berada di negara sendiri.

Warga asing kini bekerja dalam banyak sektor. Dahulu, hanya warga Bangladesh dan Indonesia tetapi kini sudah kelihatan jelas warga Nepal, Myanmar, Vietnam, India dan China.

Saya difahamkan oleh kenalan yang merupakan pengurusan tinggi sebuah kilang bahawa warga kita tidak begitu kental bekerja berbanding pekerja asing.

Menurut kenalan saya itu, para pekerja rakyat Malaysia di kilangnya hanya tinggal beberapa kerat sahaja. Meskipun gaji minimum sudah dinaikkan sebanyak RM900, namun kebanyakan rakyat kita yang bekerja di tempatnya hanya mampu bertahan beberapa bulan sahaja.

Nampak seolah-olah pekerja kita tidak mampu membuat kerja berat. Benarkah? Atau sudah jadi satu fenomena rakyat kita memilih kerja? Atau lebih teruk lagi tidak mahu bekerja dan lebih suka berhibur dan terlibat dengan pelbagai masalah sosial seperti merempit dan gejala dadah? Terpaksalah mengambil para pekerja asing yang mana bayaran dan tanggungan untuk para pekerja asing ini lebih tinggi lagi berbanding rakyat Malaysia itu sendiri. Tetapi apa boleh buat, para pekerja kita tidak mahu bekerja. Melihat kesannya, kos operasi kilangnya sudah tentulah tinggi. Maka, mahu tidak mahu produknya terpaksa dijual dengan harga yang lebih tinggi berbanding mengambil rakyat Malaysia sebagai pekerja.

Akhirnya, keluaran produk berkenaan sudah tidak kompetitif dari sudut harga. Secara tidak langsung boleh memberi kesan terhadap ekonomi negara sekiranya mahu dieksport ke luar negara.

Bukankah baru-baru ini pencapaian Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dipacu oleh eksport yang tinggi? Jadi, kalau harga keluaran kita tidak lagi kompetitif akhirnya eksport barangan juga akan kena tempiasnya.

Itu baharu menyentuh mengenai pekerja asing yang bekerja di sektor perkilangan. Belum lagi kita membincangkan kesan mereka bekerja di sektor-sektor strategik negara seperti sebagai pengawal keselamatan. Selamatkah sesebuah kawasan perumahan yang dijaga oleh pengawal keselamatan warga asing? Sudah banyak kes jenayah pecah rumah dan merompak melibatkan warga asing dilaporkan oleh media massa.

Bagaimana pula warga asing yang berniaga? Kelihatan jelas, mereka ini sudah mula menguasai perniagaan di negara kita. Di gerai-gerai tepi jalan, pasar malam, hatta di premis-premis tetap seperti kedai-kecil kecil dan pusat beli-belah pun mereka sudah mula menjalankan operasi perniagaan. Ada antaranya sudah berjaya menjadi kontraktor besar di negara kita.

Cukup menggerunkan sampaikan pekerjaan seperti mengutip sampah melibatkan syarikat pengurusan sampah pun sudah mula tidak nampak batang hidung rakyat Malaysia. Kedai-kedai runcit dan kedai gunting rambut pun sudah mula dikuasai mereka. Mudah sungguh mereka berniaga di negara kita.

Peluang ekonomi yang cukup banyak membuatkan mereka tidak mahu balik ke negara asal. Ada yang sudah menetap di sini dan bersungguh-sungguh untuk menjadi warganegara Malaysia. Alasannya cukup mudah, di negara mereka, peluang ekonomi tidak sebegitu baik sebagaimana di Malaysia. Sudah ramai dalam kalangan mereka mampu membeli rumah. Bukan kepalang besar rumah mereka. Mengalahkan rumah milik warganegara.

Apa akan terjadi dalam tempoh lima dan 10 tahun akan datang? Adakah selepas ini setiap peluang pekerjaan dikuasai oleh warga negara asing? Adakah tatkala itu negara kita 'dijajah' sekali lagi dengan kehadiran mereka?

Mereka sudah membina empayar ekonomi di negara kita sendiri. Tidak adakah sekelumit pun perasaan bimbang terhadap pengaruh besar mereka ke atas ekonomi negara kita pada masa akan datang? Atau tidak mengapalah, biarkan mereka mula menguasai ekonomi kita.

Nanti sudah semakin teruk sampaikan rakyat kita pun sudah tidak boleh bekerja untuk mencari sesuap nasi baharulah kita fikirkan caranya. Mungkin waktu itu rakyat kita pula bekerja dengan mereka. Kita pekerja manakala majikannya warga asing. Tidak mustahil.

Tatkala itu juga mereka akan melebarkan pengaruh mereka dalam sektor-sektor lain. Warga asal Malaysia sekadar berputih mata melihat sahaja tanpa boleh berbuat apa-apa. Tatkala itu, kita mula mendendangkan kembali sebahagian bait lagu anak kecil main api, "bumi dipijak milik orang".

Pertahankanlah kemerdekaan bumi bertuah ini! Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Rohami Shafie ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan (SOA), Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia (UUM).   Utusan/Rencana/20140827

Tags: ekonomi, merdeka
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments