kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Bersatu dalam kepelbagaian kaum, budaya, bahasa

  Kenyataan seorang negarawan ulung bahawa rakyat Malaysia akan terus terpisah dari segi kaum akibat kontrak sosial yang dimeterai, adalah benar. Ini kerana perjanjian etnik menjelang kemerdekaan itu mengkehendaki kita membina negara ini atas dasar kemajmukan etnik.


Dengan ini, negara yang berdaulat itu akan membenarkan setiap etnik terus menuturkan bahasa ibundanya, menganuti agamanya dan mengamalkan budayanya. Sehubungan ini, tiga ciri ini akan terus memisahkan rakyat Malaysia.

Inilah caranya negara ini dibina dan Malaysia akan terus begini untuk satu tempoh panjang. Dengan ini, kita akan terus meraikan kepelbagaian budaya seperti yang dibenarkan dalam kemajmukan etnik. Ini berbeza dengan asimilasi, yakni keperluan kelompok bukan asal berubah menjadi seperti kelompok asal. Asimilasi adalah asas pembinaan beberapa negara. Antaranya Indonesia, Thailand dan Filipina di rantau ini. Dengan ini, kaum Cina misalnya, yang pada mulanya berhijrah ke tiga negara ini, dan kemudiannya ingin terus menetap di sana, perlu meninggalkan cara hidup negara asal mereka.

Ini bermakna dalam ranah rasmi, mereka wajib bukan sahaja mempamer jati diri etnik asal. Mereka juga wajib mendukungnya dalam kehidupan sosial harian, termasuk dalam ranah domestik.

Kebebasan terus hidup

Keadaan ini amat berbeza dengan kaum Cina di Malaysia. Oleh sebab dasar kemajmukan etnik di sini, mereka diberikan kebebasan untuk terus hidup sebagai etnik Cina. Dengan ini, bukan sahaja budaya dan sistem kepercayaan mereka boleh terus diamalkan, pendidikan dalam bahasa ibunda mereka juga dibenarkan berkembang pesat.

Sesungguhnya kebebasan ini adalah ciri demokrasi Malaysia yang paling bestari. Selain ini, kerjasama dan akomodasi oleh kaum Melayu selaku kelompok etnik asal dan dominan, kepada kaum bukan asal dan minoriti, adalah ciri bestari yang lain.

Dengan ini, walaupun minoriti, kaum Cina di Malaysia, tidak sesekali diberi layanan tidak baik, seperti yang dialami sesetengah minoriti di tempat lain. Sehubungan ini, selain dibenarkan terus melestarikan warisan budaya dalam bentuk utuh, mereka ikut dibabitkan secara aktif dalam kesemua institusi politik, ekonomi dan pendidikan negara.

Inilah skemanya di Malaysia, iaitu kita cuba bersatu dalam kepelbagaian. Dengan ini, kita terus wujud sebagai kelompok berasingan pada tahap etnik dan berikhtiar menjadi satu komuniti nasional pada peringkat negara. Sehubungan ini, kita akan terus menganjurkan pluralisme dan bukannya asimilasi.

Asimilasikan budaya

Bagaimanapun, terdapat beberapa kumpulan kelompok bukan asal, yang telah mengasimilasikan warisan budaya Melayu dalam kehidupan harian mereka. Antaranya Baba-Nyonya Cina Melaka, Chetti India Melaka dan Peranakan Cina Kelantan.

Kumpulan ini yang memperlihat asimilasi budaya Melayu yang tinggi dengan menerima makanan, cara hidup dan bahasa Melayu, bukan sahaja sanggup mengidentifikasi diri dengan kaum Melayu. Mereka ini sebenarnya contoh terbaik mengenai percubaan bersatu dalam kepelbagaian yang ingin dicapai itu.

Pluralisme etnik adalah hakikatnya di Malaysia dan ia akan terus melandasi pemerintahan negara ini. Justeru, ia perlu ditangani bukan sahaja secara baik, tetapi bijak oleh kaum Melayu dan yang bukan Melayu.

Ini penting bukan sahaja untuk menjaga hubungan etnik yang baik, ia amat penting untuk kemajuan Malaysia sebagai negara maju.

Sehubungan ini, tidak dapat dinafikan bahawa kaitan antara hubungan etnik baik dengan kemajuan negara dinamik, adalah kepentingan nasional yang perlu diberi perhatian serius oleh semua kaum. Dengan ini, kita harus pintar menangani etnisiti sebagai faktor penting. Ini kerana ia mempunyai kedua-dua peranan menyatu dan memecah.

Walaupun pluralisme kita amalkan, ia sebenarnya pluralisme adil. Ini bermakna perbezaan antara kaum dikenal pasti dan diuruskan dalam kerangka yang dipersetujui bersama. Antaranya sistem ekonomi nasional yang membabitkan semua kaum dengan kesedaran perlunya tindakan afirmatif untuk kaum Melayu dan peribumi.

Kewujudan terus kaum Melayu, Cina dan India di Malaysia adalah sifat akibat pluralisme. Walaupun begini, tiga kaum ini boleh cuba disatukan. Antaranya oleh Rukun Negara. Ini kerana ia digubalkan untuk menyatukan rakyat Malaysia dalam kerangka pluralisme yang lebih adil.

Teo Kok Seong ialah Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosiobudaya, Majlis Profesor Negara. Berita Harian Rencana 27/08/2014

Tags: bahasa, bersatu, budaya, kaum, perpaduan
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments