kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Isu-Isu Akhbar Cina

SIAPAKAH ZHOU YU PKR?

AKHBAR Nanyang Siang Pau bertarikh 26 Ogos 2014 menyiarkan artikel mengenai kenyataan dua pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mengibaratkan kemelut yang berlaku dalam parti itu sekarang seperti kisah The Three Kingdoms dalam sejarah China.

Artikel yang ditulis wartawan akhbar berkenaan, Koh Kok Wei bertajuk 'Siapa panglima Zhou Yu dalam PKR?' disiarkan dalam ruangan Pendapat Yan Lun halaman W3.

Ketika Kongres Nasional PKR Ke-10 di Shah Alam, Selangor baru-baru ini, Timbalan Presiden, Azmin Ali dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd. Akin menyentuh mengenai sejarah China yang berlaku pada zaman Dinasti Han Timur.

Tidak kira sama ada pernah membaca atau tidak sejarah The Three Kingdoms, kedua-dua mereka terlalu berani untuk menceritakannya kepada para perwakilan.

Memang banyak peristiwa yang berlaku ketika era pemerintahan dinasti berkenaan dan salah satunya adalah mengenai peperangan yang terjadi dan kesetiaan para pahlawan.

Azmin mahu para perwakilan mencontohi kesetiaan pahlawan kepada ketua mereka, Sun Liu sehingga dapat mengalahkan tentera lawan yang diketuai Chao Chao. Menurut Timbalan Presiden PKR itu, ahli-ahli perlu bersatu bagi memastikan parti itu terus kuat.

Walaupun Azmin tidak menceritakan sepenuhnya apa yang berlaku ketika pemerintahan dinasti berkenaan, yang pasti ia hanya berkaitan apa yang terjadi sebelum dan ketika pertempuran di Lembah Chi Bi yang disertai pahlawan berkenaan.

Beliau tidak menceritakan apa yang terjadi selepas kemenangan tentera Sun Liu apabila semangat setiakawan di kalangan pahlawan telah hancur dan mereka membawa haluan masing-masing.

Kisah itu tidak diceritakan kerana ia tidak relevan dengan nasihat supaya ahli-ahli bersatu dan gabungan pihak pembangkang dikekalkan.

Dalam pada itu, Shamsul Iskandar dalam ucapannya pula menyebut isu pelantikan Menteri Besar Selangor baharu yang boleh diibarat serupa dengan kisah hulubalang Zhou Yu.

Walaupun Zhou Yu setia kepada Shun Quan, beliau tidak memberi maklumat yang benar kepada ketuanya sehingga timbul ancaman perpecahan di kalangan pahlawan.

Tindakan Zhou Yu itu bukan kerana beliau berniat untuk mengkhianati ketuanya sebaliknya kerana sikapnya yang agak kurang terbuka.

Beliau ialah orang muda yang bijak dan hebat tetapi kelemahannya kerana suka ikut pandangannya sendiri dan tidak dapat menerima hakikat ada orang lain yang lebih bijak daripada dirinya.

Jika begitulah huraian Shamsul Iskandar, pembaca sudah tentu mahu tahu siapakah individu seperti Zhou Yu yang dikatakan berada dalam PKR?

Berdasarkan perbandingan yang Shamsul Iskandar sebut, Zhou Yu PKR pastinya orang dalam yang menerajui dan berkuasa dalam parti itu.

Beliau juga ialah orang muda yang bertindak sebagai pemimpin yang berilmu dan bijak dalam parti.

Ketika isu untuk menukar Menteri Besar hangat diperkatakan, orang itu sudah pasti memainkan peranan penting untuk mempertahankan kepentingan parti dan lantang menentang mereka yang tidak sehaluan dengan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Boleh dipastikan bahawa orang itu bukan Azmin dan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

KECEWA PEMBOHONGAN PAS

AKHBAR China Press bertarikh 25 Ogos 2014 menyiarkan artikel mengenai isu pertukaran Menteri Besar Selangor yang sehingga kini belum menampakkan jalan penyelesaian.

Artikel bertajuk 'Licik Pas berleluasa' yang ditulis oleh San Sien disiarkan dalam ruangan Kedai Kopi Orang Ramai halaman C15.

Isu pertukaran Menteri Besar Selangor sehingga kini bercelaru seperti hantu puaka. Kemelut itu berpunca daripada perbuatan pemimpin PKR sendiri.

Bagaimanapun, yang cukup menarik perhatian semua adalah kelicikan Pas untuk mengambil kesempatan daripada kemelut itu.

Jika kita ikut amalan demokrasi, apabila Abdul Khalid tidak mendapat sokongan majoriti mudah ataupun menerima undi tidak percaya daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor, beliau perlu segera meletakkan jawatan Menteri Besar.

Bukan seperti sekarang apabila beliau terus menyandang jawatan itu dan cuba bermain sembunyi-sembunyi.

Berdasarkan persefahaman yang dicapai di kalangan pimpinan pakatan pembangkang sebelum ini, sepatutnya calon Menteri Besar ialah daripada PKR, seperti yang telah berlaku di Kelantan dan Pulau Pinang.

Tidak sepatutnya berlaku sebarang perbalahan berhubung persefahaman itu sehingga terjadi ribut dan ombak besar yang menyebabkan tanah rata terbongkar dan terbalik.

Kekecohan itu berpunca daripada tindakan Pas yang menyokong Abdul Khalid sebelum ini sehingga menyebabkan beliau bertegas tidak mahu meletakkan jawatan!

Selepas itu, Pas menukar fikiran untuk tidak menyokong Abdul Khalid. Tetapi parti itu tidak pula beralih menyokong Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sepenuhnya sebaliknya turut menamakan Azmin sebagai calon Menteri Besar.

Segala tindakan Pas ini adalah berpunca daripada pendirian golongan konservatif dalam parti itu yang tidak memberikan sokongan kepada Wan Azizah.

Golongan itu telah mempengaruhi parti berkenaan sehingga menyebabkan ia tidak lagi mengikut amalan demokrasi.

Kelakuan Pas adalah seperti manusia licik yang menyatakan pendirian seolah-olah mereka menyokong demokrasi walaupun di belakang mereka bertindak sebaliknya.

Jika benar parti itu menyokong demokrasi seperti yang didakwa, mereka sudah pasti akan bersetuju Wan Azizah menjadi calon tunggal Menteri Besar dan mengarahkan semua 13 ADUN Pas menyokong Presiden PKR itu.

Apa yang berlaku sekarang adalah sebaliknya. Ini merupakan satu pembohongan secara terang-terangan yang tidak sepatutnya dilakukan oleh Pas.   Utusan/Rencana/20140828

Tags: cina, isu
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments