kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Memahami dan mensyukuri nikmat kemerdekaan

DRAMATIS Ahmad Yatim dalam kenyataannya di Radio Klasik Nasional antara lain menyebut bahawa walaupun sudah banyak negara dilawatinya termasuk bekerja di Australia selama lima tahun, tetap tidak sama dengan Malaysia dan tempat kelahirannya di Rembau - aman dan indah.

Kenyataan ini menunjukkan betapa Malaysia menjadi tempat tumpah darah yang disanjung bukan hanya oleh beliau, tetapi juga oleh seluruh rakyat Malaysia yang memahami nikmat kemerdekaan.

Di sebalik kenyataan ini juga memperlihatkan bahawa sesiapa yang pernah ke luar negara dapat membandingkan situasi negara asing dengan negara sendiri kemudian merumuskan bahawa situasi di dalam negara lebih baik dan sesuai. Inilah nikmat kemerdekaan yang dikecapi setelah tuntutan kemerdekaan terlaksana.




Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Darul Ehsan bergambar kenangan di sisi Jalur Gemilang yang dihasilkan daripada batu kerikil. Sekolah berkenaan muncul johan peringkat daerah Kempen Kibar Jalur Gemilang sempena Hari Kemerdekaan Ke-57 anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN). - BERNAMA

Bagaimanapun perlu diinsafi bahawa nikmat kemerdekaan yang dikecapi kini bukannya datang bergolek, tetapi hasil jerit-perih pemimpin dan pejuang terdahulu kemudian diteruskan oleh pemimpin-pemimpin selepas negara mencapai kemerdekaan.

Sesetengah negara di Eropah Barat, Amerika dan beberapa negara lagi masih wujud masalah etnik, tetapi kita masyhur dengan perpaduan kaum yang dipupuk selepas kemerdekaan sampai kini. Pemimpin dan rakyat dari luar mengagumi perpaduan di negara kita sehingga dijadikan contoh untuk dipraktikkan di negara mereka.

Pelancong yang datang ke negara kita turut kagum apabila menyaksikan dan berpeluang meraikan perayaan pelbagai kaum di negara kita.

Mereka mudah bergerak ke sana-sini ketika berada di negara kita kerana kita bebas daripada sebarang krisis yang besar seperti pertelingkahan kaum, apatah lagi peperangan.

Keamanan negara kita menjadikannya antara destinasi pelancongan yang menerima kunjungan jutaan pelancong dari luar setiap tahun.

Nikmat kemerdekaan yang dikecapi oleh pelbagai golongan di negara kita mestilah disyukuri, dikekalkan dan terus dipupuk terutama dalam jiwa anak-anak muda.

Anak-anak muda mesti diberi pendedahan tentang pelbagai azab zaman kolonial, sehingga menyekat pelbagai kebebasan mutlak individu. Malah, pengisian kemerdekaan negara yang diterjemahkan menerusi pelbagai bentuk pembangunan mestilah dibuat perbandingan supaya generasi muda tahu dan faham akan perbezaan jelas antara situasi dahulu dan sekarang.

Di sesetengah negara yang merdeka di dunia pun, pengisian kemerdekaannya hambar, tetapi negara kita jauh maju ke depan dengan pelbagai bentuk kesenangan. Anak-anak muda kita mampu belajar sampai ke peringkat yang tinggi, kemudian bekerja dan membangunkan negara.

Di ceruk mana pun ada sekolah dan institusi pengajian tinggi awam dan swasta. Masjid dan surau ada di mana-mana sedangkan di sesetengah negara lain, jika ada masjid pun, belum tentu kemudahannya lengkap. Kadang-kadang untuk menunaikan sembahyang pun sukar kerana berlaku perang dan pelbagai bentuk krisis.

Zaman 60-an, di kampung-kampung, hendak lihat sebuah motosikal pun susah. Sekarang, petani pun sudah ramai yang memiliki kereta atau setidak-tidaknya sebuah atau dua buah motosikal di depan rumah.

Kemajuan pelbagai infrastruktur di dalam negara cukup membanggakan. Di kawasan pedalaman pun sudah ada jalan tar.

Setakat 2013, rangkaian jalan raya di Malaysia sepanjang 63,445 kilometer (km) manakala lebuh raya pula sepanjang 1,630 km.

Oleh hal demikian, kita mestilah mensyukuri nikmat kemerdekaan yang kita miliki sehingga kita mudah menjalani kehidupan seharian.

Paling penting, generasi sekarang mesti diingatkan tentang peri pentingnya mempertahankan kedaulatan negara agar tidak mudah diganggu gugat oleh orang asing.

Golongan muda mesti dididik tentang pentingnya mempelajari sejarah dan memahami intipatinya. Rasa sayang akan tanah air akan kukuh dalam jiwa mereka jika pemahaman tentang kekalutan sejarah lampau kental dalam fikiran.

Oleh itu, generasi lama tetap kita letakkan sebagai golongan yang mempunyai tanggungjawab penting memperingatkan generasi baru tentang sejarah silam agar mereka dapat lebih menghargai pelbagai pembangunan dan kemudahan yang dinikmati sekarang.

Dramatis Ahmad Yatim mungkin lebih mencintai tanah air selepas berpeluang ke luar negara. Begitu juga diharapkan kepada ramai anak Malaysia yang merantau sama ada untuk menuntut ilmu, bekerja mahupun sekadar melancong ke luar negara.

Buatlah perbandingan, nescaya kita mampu menilai dan mengukur sejauhmana cinta kita kepada Malaysia, tanah tumpah darah kita. Utusan/Rencana/20140828

Tags: merdeka
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments