kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Institusi beraja penentu kestabilan politik

KETIKA Jeneral Prayuth Chan-ocha melancarkan rampasan kuasa pada 22 Mei lepas dengan menamatkan pemerintahan kerajaan awam dan seterusnya menahan beberapa ahli politik termasuk bekas Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra, ramai yang mengandaikan Thailand bakal menjerumus kepada pemerintahan tentera untuk jangka masa yang agak panjang.

Memang benar Thailand dan rampasan kuasa adalah sinonim di antara satu sama lain kerana semenjak mengamalkan demokrasi raja berperlembagaan bermula pada 1932, negara tersebut telah melalui sebanyak 12 kali pertukaran kerajaan melalui rampasan kuasa tentera.

Begitu ironis sekali, kali terakhir tentera memainkan peranan dalam pertukaran kerajaan melalui rampasan kuasa adalah pada 2006 yang menumbangkan kerajaan Thaksin Shinawatra iaitu abang kepada Yingluck. Lebih menarik lagi, salah seorang pemimpin tentera yang terlibat secara langsung pada ketika itu ialah Prayuth.

Tetapi hakikatnya setelah tentera mengambil alih kuasa, terdapat sedikit kestabilan dalam pergolakan politik Thailand yang berlarutan selama tujuh bulan, antara lain mengakibatkan pertumbuhan ekonomi meleset kerana ketidaktentuan suasana politik.

Kemasukan pelancong dari luar berkurangan dan lebih kritikal lagi pelabur asing begitu berhati-hati membuat keputusan baharu kerana keadaan yang tidak begitu stabil.

Tidak dapat dinafikan bahawa Prayuth telah berjaya meraih kepercayaan sebahagian besar rakyat Thailand meskipun telah melaksanakan beberapa langkah yang menongkah arus kehendak sistem demokrasi negara tersebut.

Umpamanya beliau telah membentuk perlembagaan sementara yang memberi kuasa hampir mutlak kepada tentera untuk menentukan masa hadapan Thailand. Perlembagaan sementara ini memberi kuasa kepada Prayuth untuk membubarkan Dewan Perwakilan dan juga Senat serta menggantikannya dengan Dewan Legislatif Kebangsaan (NLA) yang perwakilannya dipilih oleh tentera.

Sebab itu tidak memeranjatkan beberapa hari lepas apabila NLA hampir sebulat suara dengan 191 perwakilan dari keseluruhan 197 ahli telah memilih Prayuth sebagai Perdana Menteri baharu sehingga pilihan raya yang dijangkakan dilaksanakan pada penghujung tahun 2015.

Bukan sahaja perwakilan NLA ditentukan oleh pihak tentera tetapi juga Majlis Reformasi seramai 250 ahli yang dipengerusikan oleh Prayuth sendiri juga dipilih oleh tentera. Majlis ini kritikal kerana tugas utamanya adalah untuk membentuk sistem politik Thailand yang baharu sebelum pilihan raya 2015.

Berjayanya Prayuth dan pihak tentera memberi kestabilan politik walaupun beberapa langkah yang diambil tidak bertepatan dengan kehendak demokrasi lazim adalah kerana sokongan yang diberikan oleh Raja Bhumibol Adulyadej.

Bermula dari rampasan kuasa pada 22 Mei lepas sehingga Prayuth dilantik Perdana Menteri Thailand, setiap langkah tersebut mendapat perkenan dan restu Raja Bhumibol.

Rakyat Thailand begitu menghormati institusi beraja negara tersebut kerana Raja Bhumibol dianggap sebagai simbol yang boleh menyatu padu kesemua rakyat walaupun mempunyai perbezaan ideologi politik yang begitu ketara.

Sebab itu, kumpulan penentang kerajaan Yingluck yang menggelar diri mereka kumpulan baju kuning seakan-akan tidak mampu membantah tindakan Prayuth. Begitu juga dengan penyokong Yingluck iaitu kumpulan baju merah terpaksa menerima tanpa bantahan ketara apabila kerajaan mereka dibubarkan.

Sudah agak lama Raja Bhumibol yang kini menjangkau umur 86 tahun tidak muncul di khalayak ramai kerana dikatakan gering. Tetapi kenyataan yang dikeluarkan melalui Gazet Diraja yang menzahirkan sokongan Raja Bhumibol terhadap Prayuth sudah cukup meyakinkan rakyat Thailand bahawa sokongan terhadap Prayuth adalah untuk kebaikan Thailand.

Walaupun sistem demokrasi Thailand berasaskan sistem raja berperlembagaan yang membawa maksud keputusan politik terletak pada ahli politik melalui Dewan Perwakilan dan Senat, tidak dapat dinafikan peranan yang telah dimainkan oleh Raja Bhumibol adalah begitu kritikal sekali. Ini adalah kerana jika pihak tentera merasai bahawa Raja Bhumibol tidak akan merestui rampasan kuasa, sudah pasti Prayuth tidak akan berani meneruskan rancangan tersebut.

Sudah agak pasti jika rampasan kuasa tidak berlaku, maka penyokong kumpulan baju merah dan kuning tidak akan berhenti melakukan protes. Selama tujuh bulan pentadbiran kerajaan Yingluck tidak dapat berfungsi kerana kemelut tersebut. Walaupun pertembungan banyak berlaku di sekitar kota Bangkok sahaja, tetapi kerana pusat pentadbiran kerajaan tertumpu di ibu kota tersebut, sebab itu penting kecelaruan politik itu diberhentikan secepat mungkin.

Kaedah demokrasi tulen sudah tidak mampu menenangkan Thailand kerana kedua-dua kumpulan yang bertentangan mahu menghapuskan antara satu sama lain. Umpamanya pilihan raya yang dilaksanakan pada Februari lepas didakwa sebagai tidak sah oleh pihak pembangkang kerana kerana kerajaan Yingluck tidak menuruti kehendak perlembagaan.

Jika Raja Bhumibol tidak campur tangan dalam kekalutan politik Thailand sudah pasti keadaan akan menjadi lebih buruk kerana kedua-dua belah pihak tidak mahu mengalah.

Sejak bermulanya kecelaruan politik pada November 2013, pertumbuhan ekonomi suku ke empat tahun tersebut hanya mencatat 0.6 peratus iaitu tidak serancak dua tahun sebelumnya. Industri pelancongan yang menyumbang hampir tujuh peratus terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setiap tahun paling teruk terkena tempias.

Memang benar institusi beraja Thailand tidak mempunyai kata akhir atau kuasa untuk menentukan perjalanan politik negara itu tetapi hakikatnya adalah Raja Bhumibol telah menyelamatkan Thailand daripada menjerumus kepada keadaan yang lebih tidak menentu.

Rakyat Thailand amat begitu memahami setiap keputusan yang dititah oleh Raja Bhumibol adalah untuk kesejahteraan rakyat dan negara pada masa hadapan dan bukannya kerana kepentingan peribadi institusi beraja.

Pengajaran daripada episod ini bukan sahaja menjadi iktibar kepada rakyat Thailand tetapi juga boleh dijadikan pedoman kepada negara jiran yang mempunyai sistem politik raja berperlembagaan yang hampir selari. Azmi Hassan ialah Geostrategis Institut Geospatial dan Sekolah Perdana UTM.   Utusan/Rencana/20140828

Tags: politik, raja
Subscribe

  • Ergonomi, Peranti Mudah Alih dan Tempat Kerja

    Sejak Mac 2020, kebanyakan institusi mula dan diarahkan untuk bekerja di rumah. Bagi institusi pendidikan terutamanya kerja mendidik dijalankan…

  • Perjalanan panjang telefon awam

    SEJARAH dan perkembangan telefon awam di negara ini bermula ketika zaman pemerintahan British sekitar tahun 1930-an. Menurut Ketua Muzium Telekom,…

  • Perlu bantuan operator

    A/B Black merupakan telefon awam buatan British yang dilengkapi dengan sebuah telefon lengkap dail bagi memberi kemudahan kepada sesiapa yang…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments